'Babah & mama ada di sini.' Saksikan tragedi tembakan di Thailand, TMJ bina perisai lindungi keluarga
"BABAH dan mama ada di sini." Demikian kata Tengku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim (TMJ) dalam hantarannya di Facebook menceritakan detik cemas berada di hotel berhampiran semasa insiden tembakan berlaku di Siam Paragon Mall di Bangkok, Thailand.
Baginda berada di Bangkok untuk perlawanan Liga Juara-Juara AFC antara JDT dan BG Pathum United bersama keluarganya.
Menerusi kemas kini di media sosial, TMJ menceritakan situasi cemas yang dilalui mereka sekeluarga apabila penembak mula melepaskan tembakan dan orang ramai mula meluru masuk ke dalam lobi hotel di mana mereka menginap bagi mendapatkan perlindungan.
"Kami membawa kanak-kanak dan keluarga ke tempat yang selamat, berlari ke ruang bawah tanah bersama pasukan saya, fikiran saya tertumpu kepada berapa ramai penembak di luar sana, apa senjata digunakan dan apa situasinya.
"Kami perlu berjaga-jaga dan bersedia untuk sebarang kemungkinan kerana yang kami tahu ketika itu hanyalah bunyi tembakan yang kedengaran. Kami tidak mempunyai maklumat lain dan perlu bersedia untuk apa-apa perkara yang boleh berlaku.
"Saya masih terbayang waktu saya memberitahu anak-anak saya, "semuanya akan kembali okay. Babah dan Mama ada di sini" dan menyuruh mereka tunduk sementara menunggu kenderaan tiba," titip TMJ.
Ayahanda kepada empat cahaya mata itu menambah, apa yang difikirkannya ialah membawa keluarga dan pasukannya keluar dari situasi bahaya itu secepat mungkin.
"Saya dan pasukan keselamatan kami berdiri di hadapan keluarga, membina perisai manusia untuk melindungi mereka walau apa pun berlaku."Apa yang di fikiran adalah untuk membawa keluarga dan pasukan saya keluar dari tempat itu. Isteri memeluk anak-anak kami, menundukkan diri dan cuba menenangkan mereka kerana ketakutan dan menangis.
"Saya menjerit sekuat hati kepada pasukan keselamatan kami untuk membawa kereta ke ruang bawah tanah dan membawa kami ke lokasi yang selamat jauh dari tempat tersebut. Saya memberitahu mereka untuk membawa kami ke Kedutaan Malaysia, dan pemandu memberitahu kami Kedutaan Singapura lebih dekat dan ketika itu saya menghubungi Konsul Jeneral Singapura di Johor," katanya yang berada di kedutaan Malaysia selepas menghubungi Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hassan untuk memaklumkan situasi semasa.
Baca juga: Warganet puji cara Ustaz Ebit belanja duit sumbangan RM200,000 TMJ beli 500 buah tab
Menyifatkan insiden yang dilalui sebagai pengalaman terburuk, pemilik pasukan Johor Darul Takzim menitahkan syukur.
"Setelah semuanya selamat, kami akan ke lapangan terbang dan terbang pulang ke Johor.
"Malangnya, saya terlepas perlawanan JDT tetapi saya bersyukur keluarga saya dan pasukan kami selamat.
"Ini adalah pengalaman terburuk yang pernah saya lalui. Melindungi nyawa anak-anak saya daripada pembunuh. Dua orang meninggal dunia. Semoga ALLAH merahmati roh mereka yang tidak berdosa.
"Alhamdulillah, kami selamat. Terima kasih kepada pasukan keselamatan saya dan rakan-rakan kami dari Singapura dan Malaysia. Saya akan selamanya berterima kasih kepada anda semua," titipnya.
Media tempatan melaporkan tiga individu dilpercayai maut selepas seorang individu berusia 14 tahun melepaskan tembakan.
Selain itu, empat dilaporkan mengalami kecederaan akibat tembakan dalam insiden yang berlaku pada 4.50 petang (waktu tempatan).
Seorang lelaki telah ditahan usulan insiden tembakan berkenaan. Visual yang dirakam kamera litar tertutup menunjukkan suspek dipercayai tidak melawan ketika ditahan pihak berkuasa.
Kompleks membeli belah tersebut telah ditutup susulan laporan berlaku serangan bersenjata.
Ketua Polis Thailand, Torsak Sukvimol berkata, suspek merupakan remaja lelaki bawah umur dan sedang disiasat oleh Unit Jenayah Kanak-Kanak Polis Thailand.
Baca juga: #SiBibirMerah Isu perbicaraan kes tragis Bella makin panas, TMJ tawar peguam pemerhati percuma
Sumber: Facebook HRH Crown Prince of Johore
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, Threads, YouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang!
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang