BAHAGIA yang dicari untuk diri sendiri adalah satu kepuasan yang sangat bernilai.

Kebahagiaan adalah sesuatu yang sering didambakan setiap manusia. Lumrah individu yang normal sentiasa menginginkan sesuatu yang baik dan bahagia dalam kehidupannya.

Seperti seorang wanita ini apabila membuat keputusan untuk ‘bulan madu’ seorang diri tanpa menunggu lelaki yang tepat untuk berkahwin.

Lapor Mirror UK, wanita di Britain itu bertindak sedemikian dengan melawat senarai destinasi yang diimpikan olehnya.

Brittany Allyn, 36, ingin mengembara dan memanjakan dirinya tetapi enggan menunggu sehingga berkahwin untuk berbuat demikian.

Brittany berpindah dari New York, Amerika Syarikat (AS) ke London pada Oktober 2021 apabila rakan lamanya mempunyai bilik kosong. Dia kemudian memilih untuk mengembara ke Eropah sekerap mungkin.

Pada November 2021, dia melakukan perjalanan solo ke Rom dan jatuh cinta dengan makanan dan budaya Itali.

Selepas enggan membiarkan status bujang menghalang keinginannya, Brittany mengembara sendirian ke Selatan Perancis pada Jun 2022. Dia melawat Venice dan Verona di Itali pada Ogos tahun sama.

Semasa melancong, Brittany suka berdandan, memanjakan diri dengan menempah hotel butik dan mengunjungi restoran mewah seperti gaya seorang bintang Hollywood.

Ujarnya, dia mempunyai begitu banyak senarai tempat untuk berbulan madu dan berfikir mengapa menunggu?

Jadi, dia terus melakukannya dan suka mengembara bersendirian semasa berbulan madu.

“Saya telah melawat tempat-tempat yang menakjubkan seperti Hotel du Cap-Eden-Roc di Perancis dan hotel butik yang cantik seperti Hotel Provencal Villefranche dan Hotel il Palazzo Experimental.

“Buat masa ini, saya masih bujang dan bersendirian. Ia tidak menghalang saya untuk berseronok,” ujarnya.

Begitulah, bahagia boleh dicari untuk diri sendiri walaupun tanpa pasangan.

Baca juga 7 tip bujang cari jodoh Dr Fazilah Kamsah, pilihlah yang lihat waktu terburuk kita, tidak malas

cantik

Sementara itu, ini lima kunci kebahagian untuk diri sendiri;

1. Bersyukur

Kunci kebahagian yang utama adalah dengan kesyukuran. Bersyukur dengan apa yang dikurniakan ALLAH kepada kita. Berhenti mempersoalkan nikmat yang kita mahukan dan belum dikurniakan kepada kita.

Sesungguhnya ALLAH Maha mengetahui apa yang terbaik untuk kita. Dengan rasa syukur, kita akan lebih bahagia dan merasa sentiasa cukup dengan apa yang kita ada.

2. Jangan bersedih

Berasa tidak bahagia membuatkan diri rasa bersedih. ‘la tahzan’ ALLAH sentiasa bersama kita. Perasaan sedih juga membawa kepada rasa tertekan dalam diri.

Seterusnya, apabila sedih manusia mula merasakan kehidupannya tiada makna atau erti lagi dan membawa kepada pemikiran negatif.

Iklan

Sentiasa merasa diri tidak cukup bahagia kerana tidak memiliki apa yang dimahukan punca utama kita berasa tidak cukup bahagia dan membahagiakan.

3. Urus emosi, berbahagialah

Kita dikurniakan dengan akal fikiran. Urus emosi kita sebaiknya dengan akal fikiran yang dibberikan.

Elakkan tekanan dengan melakukan perkara yang baik dan yang kita sukai seperti mengerjakan ibadah, bertadabbur al-Quran, beriadah, memasak ataupun meluangkan masa bersama keluarga dan rakan-rakan.

4. Jadilah insan yang membahagiakan

Jika kita inginkan kebahagiaan, kita mesti mula dengan membahagiakan.

Apa maksud membahagiakan? Membahagiakan adalah di mana kita cuba sebaiknya memberi kebahagiaan kepada orang lain.

Insya-ALLAH kita juga akan turut rasa bahagia. Banyak yang kita boleh lakukan untuk membahagiakan keluarga contohnya dengan meluangkan masa bersama mereka, beri perhatian terhadap apa yang anak-anak atau ibu bapa cuba luahkan bukan hanya mendengar tanpa memberi perhatian.

Iklan

Baca juga Bukan jadi mangsa, sebaliknya remaja perempuan 17 tahun jadi dalang sindiket! Satu Filipina terkejut

5. Kemaafan ubat paling mujarab

Resepi penawar untuk penyakit hati adalah dengan kemaafan. Jika kita inginkan kebahagiaan dalam kehidupan, kita mestilah sentiasa memaafkan.

Ini kerana, dengan memaafkan orang lain, ia dapat memberi manfaat dalam hidup kita. Hidup akan lebih tenang dengan memaafkan orang lain kerana maaf akan hadir dengan keikhlasan dan tulus dari hati yang bahagia.

Semoga bermanfaat!

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah yang menginspirasikan.