Cecair pelik menitis dari siling, jiran bongkar kisah tragis ayah dan anak ditemui mati di rumah

Kredit foto: Shin Min Daily News
Kredit foto: Shin Min Daily News
A
A
A

BAU pelik dan titisan cecair merah yang menitis dari siling menjadi petanda kepada satu penemuan menyayat hati di Sengkang, Singapura.

Segalanya bermula apabila seorang wanita warga emas di Blok 324D Sengkang East Way menyedari ada sesuatu yang tidak kena di rumahnya. Bau busuk menusuk hidung dan dari siling dapur, kelihatan cecair merah pekat menitis perlahan.

Anak lelaki kepada penghuni terbabit, yang dikenali sebagai Zeng, berkata ibunya menghubunginya sekitar jam 6 pagi untuk memaklumkan tentang kejadian tersebut.

“Apabila saya tiba kira-kira jam 9 pagi, saya cuba bersihkan cecair itu dengan tisu. Cecair berwarna merah, melekit dan berbau amat busuk,” katanya.

Selepas keluar bekerja, dia kembali menghubungi ibunya dan mendapati bau itu semakin kuat sebelum akhirnya menghubungi pihak polis.

Beberapa anggota polis dilihat mengawal kawasan koridor manakala sebahagian kawasan flat terbabit ditutup bagi tujuan siasatan.

Polis mengesahkan menerima laporan pada jam 1.35 petang berhubung kes kematian tidak semula jadi di blok berkenaan. 

Artikel Berkaitan:

Titisan darah yang menitik menerusi celah rekahan membongkar kematian dua beranak. (Foto : Shin Min Daily News)
Titisan darah yang menitik menerusi celah rekahan membongkar kematian dua beranak. (Foto : Shin Min Daily News)

Mayat seorang lelaki dan wanita berusia 47 tahun ditemui dalam keadaan tidak bernyawa dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Laporan turut menyebut bahawa mayat lelaki itu sudah reput teruk sehingga memerlukan proses pengecaman lanjut.

Menurut jiran bersebelahan, seorang wanita berusia 51 tahun, unit itu sebelum ini didiami tiga sekeluarga, namun wanita tua yang tinggal bersama mereka tidak lagi kelihatan sejak 2017.

Sejak itu, hanya si ayah dan anak perempuannya menetap di rumah tersebut. Lelaki itu digambarkan sebagai seorang yang pendiam dan jarang bertegur sapa dengan jiran.

“Saya pernah menegurnya, tetapi dia hanya berlalu begitu sahaja. Kali terakhir saya nampak dia sekitar bulan Julai, manakala anak perempuannya kali terakhir muncul ketika sambutan Tahun Baru Cina,” katanya.

Seorang lagi jiran, Jia Lan, 69, berkata pasangan beranak itu jarang bergaul dan lebih suka menyendiri. Dia turut memaklumkan bahawa anak perempuannya dipercayai mempunyai masalah kesihatan mental.

“Kadang-kadang saya nampak dia bercakap dan ketawa sendirian, malah pernah bertepuk tangan dan menyanyi di depan lif. Beberapa kali juga saya nampak dia berjalan tanpa arah di jalan raya,” ujarnya.

Sementara itu, beberapa jiran lain berkata bau pelik sebenarnya sudah dapat dihidu sejak sebulan lalu.

Seorang wanita berusia 75 tahun memberitahu bahawa dia menyangka bau itu datang daripada belacan kerana baunya kuat dan menusuk. Malah, pihak berkuasa dikatakan pernah mengedarkan risalah kepada penduduk sekitar bagi menanyakan jika ada yang menghidu bau aneh.

Polis masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kes berkenaan.

 

Sumber: mothership

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang