Dari baju ke dunia game: ABKL buktikan kebolehan anak muda Malaysia tiada sempadan!
SIAPA sangka jenama pakaian tempatan yang bermula dengan fesyen jalanan kini menawan dunia maya?
Adik Beradik Kuala Lumpur (ABKL) mencipta sejarah apabila pelayan permainan ciptaan mereka, GTA ABRP (Grand Theft Auto Adik Beradik Role Play) berjaya menduduki tangga teratas dunia di platform FiveM.net.
Kejayaan ini bukan sekadar angka, ia bukti bahawa anak muda Malaysia memiliki kreativiti, visi dan keberanian untuk bersaing di pentas global.
Dari baju ke dunia permainan, ABKL mengangkat budaya tempatan ke alam maya dengan gaya tersendiri yang kini menjadi sebutan komuniti pemain seluruh dunia.

Menjelang akhir tahun 2022, pasukan ABKL menerusi Ketua Pegawai Eksekutifnya, Muzammil Mudzakir, mula bergiat aktif dalam industri permainan dalam talian, khususnya platform FiveM berasaskan Grand Theft Auto V (GTA V).
Walaupun persaingan di pasaran tempatan sengit, ABKL tampil berbeza. Pada tahun 2023, mereka melancarkan permainan simulasi GTA ABRP (Grand Theft Auto Adik Beradik Role Play), iaitu pelayan permainan yang mengetengahkan budaya dan identiti tempatan.
“Bukan sekadar hiburan, ABRP memberi ruang kepada pemain menjadi karakter yang berbeza daripada doktor, polis, usahawan hinggalah pelumba jalanan, sambil berinteraksi dalam dunia maya yang menyeronokkan dan penuh kreativiti,” ujarnya lagi.
Muzammil Mudzakir atau lebih dikenali sebagai MelRomeo menegaskan, platform tersebut bukan sekadar permainan biasa.
“Pemain berlakon sebagai karakter sendiri dalam dunia yang sudah disusun, menghasilkan kandungan spontan dan menarik.
“Malah, ramai penstrim (streamer) menjadikan ABRP sebagai sumber pendapatan tetap melalui YouTube, TikTok dan laman donasi yang disediakan,” dedahnya lagi.


RANKING NOMBOR SATU DUNIA
Kejayaan ABKL semakin terserlah apabila pelayan GTA ABRP berjaya mencapai ranking nombor satu dunia di FiveM.net.
Kini, mereka menguruskan tiga pelayan utama iaitu AdikBeradik East, AdikBeradik West dan AdikBeradik Mobile, dengan komuniti Discord yang besar dengan lebih 100,000 ahli aktif dari Malaysia, Indonesia, Brunei, Singapura, Thailand dan Australia.
Sudah tentu perjalanan ini tidak mudah. ABKL pernah berdepan serangan siber atau Distributed Denial-of-Service (DDoS) serta isu hak cipta yang menggugat operasi pelayan mereka. Namun, mereka berjaya mengatasinya dan memperkukuh kestabilan pelayan.
“Dari sudut perniagaan, ABKL menggunakan konsep pembelian maya dan donasi, membolehkan pemain membeli barangan digital serta kenderaan menggunakan sistem sumbangan yang kemudiannya ditukar kepada mata wang maya dalam permainan,” kongsinya.

Diminta berkongsi perancangan masa depan, MelRomeo mengakui ABKL merancang untuk menganjurkan kejohanan antarabangsa setiap tahun, sama ada secara maya atau fizikal.
“Tujuannya bukan sekadar meraikan komuniti, tetapi juga mengangkat jenama ABKL supaya lebih dikenali secara meluas.

“Kami mahu membuktikan bahawa keberanian mencuba dan kreativiti tanpa sempadan mampu mengubah minat menjadi peluang.
“Lebih daripada sekadar jenama, ABKL ialah simbol bagaimana anak muda Malaysia mampu membina komuniti, mencipta peluang dan mengangkat budaya tempatan ke pentas antarabangsa,” ujarnya lagi sambil memberitahu Dy Pablo, Adam Hilman, ChipNiBoss, Jaa Suzuran dan Harris Alif antara streamer tetap ABKL.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

