Doktor pelatih di Korea Selatan mogok & letak jawatan, hospital tangguh pembedahan, pesakit diarah pulang
PERKHIDMATAN kesihatan di hospital bergantung kepada tenaga perubatan yang ada.
Sekiranya mereka mogok, ia pastinya menganggu operasi rumah sakit tersebut.
Demikian apa yang berlaku di Korea Selatan pada ketika ini.
Hospital di seluruh wilayah tersebut berada dalam situasi ‘huru-hara’ apabila banyak pembedahan dan temu janji antara pesakit dan doktor terpaksa dibatalkan, lapor akhbar The Korean Times baru-baru ini.
Situasi itu berlaku apabila lebih 70 peratus doktor pelatih menghantar surat peletakan jawatan secara beramai-ramai.
Mereka mengambil keputusan drastik tersebut kerana membantah rancangan kerajaan meningkatkan kuota kemasukan ke sekolah perubatan negara itu sehingga 2,000 pelajar pada tahun depan.
Susulan kejadian tersebut, beberapa hospital utama di Seoul dilaporkan terpaksa membatalkan atau menangguhkan operasi pembedahan.
Pusat Perubatan Asan, Pusat Perubatan Samsung, Hospital Severance, Hospital Universiti Nasional Seoul dan Hospital St. Mary Seoul merupakan antara fasiliti kesihatan paling teruk terjejas kerana ia menawarkan rawatan kepada pesakit kritikal.
Salah seorang jururawat di Pusat Perubatan Asan, Seoul berkata, beliau tidak pasti berapa lama doktor kanan boleh melakukan pembedahan dan rawatan lain tanpa bantuan doktor muda.
Beliau yang enggan mendedahkan namanya memberitahu, doktor pelatih lazimnya mengendalikan prosedur pemotongan kulit dan pembasmian kuman semasa pembedahan.
Mereka juga menguruskan data pada komputer hospital.
TANGGUH KEMASUKAN PESAKIT
Susulan mogok yang sedang berlaku, hospital berkenaan menangguhkan kemasukan sesetengah pesakit kanser dan meminta pesakit untuk balik ke rumah.
Seorang lagi sumber berkata, tidak dapat dipastikan berapa ramai doktor pelatih yang tidak hadir namun beliau menyatakan masih ada yang datang bertugas.
Pihak hospital juga sedang menyusun semula jadual pembedahan yang dirancang berdasarkan keadaan pesakit.
Baca juga: Isu doktor pelatih dibuli hingga tamatkan riwayat diri, Dr Amalina tampil bersuara
Sementara itu, Timbalan Menteri Kesihatan Kedua, Park Min-soo berkata, sejumlah 8,816 doktor pelatih atau 71.2 peratus daripada doktor pelatih telah menyerahkan peletakan jawatan mereka dengan 7,813 daripada mereka meninggalkan tempat kerja.
Setakat ini, kementerian menerima 92 aduan berhubung peletakan jawatan daripada doktor pelatih.
"Tiada negara di dunia yang melihat pekerja perubatan mengambil tindakan kolektif meninggalkan pesakit kritikal dan kecemasan.
"Saya kecewa dan bimbang dengan idea kumpulan doktor yang percaya bahawa hak doktor adalah lebih utama berbanding nyawa pesakit," kata Min-soo kepada pemberita.
Difahamkan terdapat kira-kira 13,000 doktor pelatih di Korea Selatan.
Baca juga: Warganet sedih, pertama kali tengok doktor mogok. 13 gambar ‘rare’ hospital Malaysia
Bagi menangani potensi gangguan kepada perkhidmatan perubatan itu, kerajaan telah melanjutkan waktu operasi di 97 hospital awam dan membuka bilik kecemasan di 12 hospital tentera kepada orang ramai.
Walaupun arahan untuk kembali bekerja telah dikeluarkan, golongan tersebut masih tidak menunjukkan sebarang tanda untuk berundur kerana menyifatkan cadangan itu sebagai tidak masuk akal.
Peningkatan dalam kuota kemasukan diperlukan untuk menangani kekurangan doktor terutamanya di kawasan luar bandar dan bidang perubatan penting seperti pembedahan berisiko tinggi, pediatrik, obstetrik dan perubatan kecemasan.
Bilangan doktor di Korea berbanding saiz populasi adalah antara yang terendah di dunia maju, demikian menurut pihak berkuasa kesihatan.
Pun begitu, kumpulan doktor mendakwa bahawa kerajaan belum mengadakan perundingan penuh mengenai perkara itu dan langkah berkenaan akan menjejaskan kualiti pendidikan dan perkhidmatan perubatan.
Sumber: abc news, The Korea Times
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, Threads, YouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mallsekarang!
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang