Gempa bumi 8.8 magnitud: Rusia isytihar darurat di Kepulauan Kuril, beberapa negara lain keluar amaran tsunami
GEMPA bumi kuat berukuran 8.8 magnitud menggegarkan perairan timur Semenanjung Kamchatka di Rusia pada jam 9.25 pagi waktu tempatan (7.25 pagi waktu Malaysia).
Susulan itu, amaran dan pemantauan tsunami telah dikeluarkan di seluruh rantau Pasifik termasuk Rusia, Jepun, pantai barat Amerika Syarikat, Alaska, Hawaii, Peru, Indonesia, China dan Filipina.
Memetik laporan Sinar Harian, Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) melaporkan gempa itu berlaku pada kedalaman cetek iaitu sekitar 19.3 kilometer.

Magnitud kejadian itu turut disemak semula daripada 8.0 kepada 8.8, diikuti satu gempa susulan berukuran 6.9 magnitud tidak lama selepas itu.
Pihak berkuasa di Kamchatka memaklumkan, gelombang tsunami setinggi tiga hingga empat meter telah dikesan melanda beberapa kawasan pantai di rantau tersebut.
Sementara itu, agensi meteorologi Jepun turut mengesahkan gelombang tsunami setinggi kira-kira 30 sentimeter telah tiba di bandar Nemuro, Hokkaido di bahagian timur negara itu.

Pihak berkuasa Jepun turut menaik taraf amaran tsunami dan menjangkakan gelombang setinggi tiga meter boleh melanda kawasan pesisir timur.
Penduduk di sepanjang pantai Pasifik termasuk di pulau Hokkaido dipindahkan ke kawasan tinggi, selain di loji nuklear Fukushima yang menjadi lokasi tragedi tsunami 2011 turut diarahkan beredar sementara.
Dalam pada itu, pihak berkuasa wilayah Sakhalin di timur jauh Rusia telah mengisytiharkan darurat di daerah Kuril Utara susulan gelombang tsunami yang tercetus akibat gempa bumi kuat.

Menurut agensi, gelombang tsunami itu telah merosakkan bangunan dan menyebabkan banjir melanda di kawasan terbabit.
Gempa bumi ini dilaporkan sebagai yang terkuat melanda kawasan tersebut sejak 1952 apabila gegaran sekuat 9.0 magnitud menyebabkan kerosakan besar di Kamchatka dan menghasilkan gelombang tsunami setinggi 9.1 meter di Hawaii tetapi tiada kematian yang dilaporkan dalam kejadian tersebut.

Dalam pada itu, Kementerian Luar Negeri (KLN) memaklumkan sedang memantau dengan teliti situasi di Jepun dan setakat ini tiada laporan mengenai rakyat Malaysia yang terjejas.
Bagaimanapun, Wisma Putra menasihatkan kepada semua rakyat Malaysia yang berada di kawasan terlibat untuk berjaga-jaga, mematuhi arahan keselamatan pihak berkuasa tempatan dan mengikuti perkembangan situasi semasa melalui saluran rasmi.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
