AMALAN dowri atau hantaran kahwin sebenarnya berasal daripada masyarakat India yang berkasta tinggi.

Ia adalah pemberian perkahwinan sama ada dalam bentuk wang tunai atau barang berharga daripada keluarga pengantin perempuan kepada keluarga pengantin lelaki.

Lazimnya, ia ditentukan oleh status sosio ekonomi pihak lelaki.

Jika tinggi dowri yang diberikan dan pihak lelaki bersetuju, maka wanita tersebut akan dipandang tinggi.

Baca juga Jodoh beza umur 47 tahun, pengantin perempuan terima hantaran lumayan. Ramai yang ternganga

Jika sebaliknya, berkemungkinan besar wanita itu akan dianiaya oleh keluarga pengantin lelaki selepas berkahwin.

Seperti yang berlaku di Rajasthan, kes bunuh diri disebabkan dowri melibatkan tiga adik beradik perempuan iaitu kakaknya Kalu Meena, 25, dan dua adik beliau dikenali sebagi Mamta, 23, dan Kamlesh, 20.

Paling menyedihkan, seorang daripada mereka membunuh diri bersama dua anak lelakinya berumur empat tahun dan bayi berusia 27 hari, sementara dua daripadanya sedang hamil.

Mengikut laporan NDTV, ketiga-tiga mereka berkahwin dengan tiga beradik lelaki daripada keluarga sama yang berasal daripada Kampung Chapiya, Dudu Jaipur.

Ahli keluarga perempuan mendakwa mereka selalu diganggu dan dipukul keluarga mertua disebabkan dowri tersebut.

Hal itu turut diceritakan oleh sepupu kepada ketiga-tiga wanita tersebut, Hemraj Meena.

“Saya juga telah membuat aduan di balai polis tempatan dengan menelefon talian bantuan wanita dan Suruhanjaya Kebangsaan Wanita, tetapi hanya menerima sedikit bantuan sahaja,” katanya.

Dalam pada itu, ahli keluarga tiga wanita malang itu tidak ketinggalan berkongsi kisah sedih sebaik membaca WhatsApp Kamlesh. Antaranya berbunyi: “Kami pergi sekarang, terus gembira, alasan kematian kami disebabkan keluarga mertua, lebih baik mati sekali daripada mati setiap hari."

"Jadi, kami memutuskan untuk mati bersama. Kami berharap, kami bertiga akan bersama dalam kehidupan seterusnya. Jangan salahkan ibu bapa kami atas kematian kami."

Susulan itu, pihak polis menemui mayat ketiga-tiga mangsa dan dua kanak-kanak itu dari sebuah perigi di Kampung Dudu pada pagi Sabtu, empat hari selepas mereka hilang.

Sumber polis turut memberitahu NDTV, pertuduhan kes telah difailkan ke atas suami dan mertua mangsa.

Punca kematian disebabkan mas kahwin diletakkan sebagai aduan yang pertama dan olis sedang menyoal siasat ketiga-tiga suami, ibu mertua termasuk ahli keluarga lain berikutan kematian itu.

Sementara itu, aktivis wanita di Rajasthan menuntut siasatan peringkat tinggi terhadap kes itu.

Kata mereka, Rajasthan perlu malu dengan kes sebegitu kerana memperlihatkan nyawa wanita tidak penting.

Sedih melihatkan kejadian sebegini yang berlaku. Di Malaysia, kes seumpama itu memang pernah terjadi.

Mana tidaknya, nilai hantaran yang diminta adakalanya memang tidak masuk akal. Ingat, pemberian yang wajib ialah mahar bukannya hantaran. Fikir-fikirkan.

Jangan lupa follow kami di Instagram dan lawati portal SinarPlus

Dapatkan info daripada SinarPlus! Join grup Telegram kami DI SINI