HASRAT seorang wanita untuk mengambil pakaian sumbangan penduduk setempat tidak kesampaian apabila beliau ditemui maut selepas terjatuh di dalam timbunan pakaian yang berada di dalam sebuah tong.

Ibu tunggal malang itu, Alarrah Lawrance, dilaporkan telah pergi ke pusat beli-belah Stockland Baldivis, Rockingham, Barat Australia sebelum meletakkan kenderaan di kawasan pakir premis pada awal pagi Selasa.

Pihak berkuasa tempatan menemui Lawrance, 33, dalam keadaan separuh badannya dari bahagian kepala ke pinggang terperangkap di dalam tong manakala selebihnya lagi berada di luar.

“Hasil rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati kali terakhir Lawrence dilihat sekitar pukul 1.40 pagi (waktu tempatan) iaitu ketika beliau ingin mengambil pakaian sumbangan amal, Good Sammys itu.

“Beliau menggunakan sebuah tong plastik untuk berdiri di atasnya sebelum tergelincir dan jatuh ke dalam tong pakaian terbabit. Mayat Lawrence kemudian ditemui oleh orang awam pada pukul 5 pagi (waktu tempatan),” kata pihak berkuasa.

Iklan

Kejadian itu nyata telah mengejutkan ahli keluarga Lawrence termasuk penduduk tempatan yang bersimpati dengan nasib anak mangsa yang berusia 15 bulan.

“Ini satu kejadian yang mengejutkan dan tidak sangka ia boleh berlaku. Saya mengucapkan takziah kepada keluarga beliau dan diharapkan semoga roh Lawrence akan tenang di syurga,” ujar individu itu.

Iklan

Pemasangan CCTV di pusat beli-belah tersebut mula dipasang beberapa minggu lalu selepas berlaku kejadian serupa pada bulan April apabila mayat seorang wanita dijumpai dalam tong sumbangan pakaian di pusat beli-belah Stockland Burleigh, Gold Coast, Australia.