SEORANG pekerja rumah mayat dipecat serta-merta setelah mengambil gambar selfie di sebelah peti terbuka mendiang legenda bola sepak Argentina, Diego Maradona.

Dalam foto yang tular, kelihatan pekerja tersebut menunjukkan mayat Diego Maradona.

Seperti diketahui umum, Diego Maradona, meninggal dunia Rabu lalu pada usia 60 tahun kerana serangan jantung.

Menurut laporan Fox News, pekerja itu seharusnya menyiapkan mayat Maradona namun, dia dilaporkan berselfie di sebelah keranda.

Pemilik rumah mayat di Buenos Aires, Argentina, Sepelios Pinier memberitahu media tempatan bahawa pekerja tersebut telah dipecat.

Kematian Maradona mendapat penghormatan seluruh dunia terhadap bekas pemain tengah yang membawa Argentina meraih kemenangan di Piala Dunia 1986.

Dia baru-baru ini menjalani pembedahan otak untuk mengeluarkan darah beku tetapi telah keluar dari hospital pada 11 November lalu.

Kematian legenda bola sepak Diego Maradona, salah seorang pemain terhebat sepanjang masa, meninggalkan kesedihan bahkan di seluruh dunia.

Iklan

Baca juga Model hijab terkenal, Halima Aden ucapkan selamat tinggal kepada dunia peragaan

Iklan

BBC turut melaporkan, penyerang Argentina di kelab Barcelona, ​​Lionel Messi, memberi penghormatan kepada Maradona, dengan mengatakan dia ‘abadi’.

“Hari yang sangat menyedihkan bagi Argentina dan bola sepak. Dia meninggalkan kami tetapi dia ‘tetap ada’, kerana Diego ‘abadi’.

“Saya menyimpan semua momen indah yang tinggal bersamanya dan saya mengucapkan takziah kepada semua keluarga dan rakannya,” ujar Messi.

Legenda Brazil, Pele turut memberi penghormatan kepada Maradona, dengan menulis di Twitter miliknya mengatakan dia kehilangan teman baik.

“Berita menyedihkan. Saya kehilangan seorang teman baik dan dunia kehilangan legenda. Masih banyak yang dapat dikatakan, tetapi buat masa ini, semoga Tuhan memberi kekuatan kepada anggota keluarga,” katanya.