MELINTAS jalan raya yang sesak di hadapan sekolah saban hari tidak mustahil mengundang rasa gerun dalam kalangan ibu bapa.

Lebih-lebih lagi pada waktu puncak, kenderaan yang lalu lalang termasuk muatan berat biasanya akan ‘mendominasi’ jalan.

Mahu memperlahankan kelajuan? Rasanya tidak sama sekali kerana masing-masing mahu segera dan cepat ke destinasi masing-masing.

ibu bina jejantas sekolah

Dalam keadaan sebegitu, bayangkan, bagaimana keselamatan murid sekolah mahu melintas jalan sesak untuk ke sekolah? Pasti bahaya, bukan?

Barangkali disebabkan itu, seorang ibu di Henan, China membuat sesuatu di luar jangkaan demi memastikan nyawa anaknya dan kanak-kanak lain terjamin.

Artikal berkaitan: Ujian Ramadan. Ibu hilang 2 anak, lemas terjatuh jambatan. 5 kes lemas ini wajar dijadikan teladan

Lapor scmp.com, wanita tersebut membelanjakan sebanyak $154,000 (RM632,129) untuk membina sebuah jejantas bagi menghubungkan sekolah anaknya, Xiayi County Experimental Middle School.

Ya! Bukan sikit-sikit ya jumlah wang yang diperuntukkan untuk membina jambatan buat pejalan kaki di Selatan Bandar Shangqiu tersebut.

Pengorbanan wanita yang mahu dikenali sebagai Meng itu wajar diiktiraf ibu terbaik dunia sempena sambutan Hari Ibu yang disambut semalam.

ibu bina jejantas sekolah

Menurut scmp.com lagi, wanita itu mengambil pendekatan luar biasa tersebut disebabkan situasi jalan yang tiada lampu isyarat untuk memudahkan orang melintas jalan.

“Kalau musim hujan, jalan tersebut akan dinaiki air menyebabkan murid sekolah yang melintas akan basah-kuyup termasuk kasut sekolah.

“Saya cukup kasihan apabila melihat kaki anak menjadi pucat lesi disebabkan kasut dan stoking yang basah. Jadi, saya fikir perlu membuat sesuatu demi mereka,” katanya yang merahsiakan “projek mulia” tersebut daripada pengetahuan anaknya.

Artikal berkaitan: [VIDEO] Lelaki menangis terima bungkusan istimewa daripada ibu bapa di kampung

Iklan

Projek jejantas yang dilaporkan hampir siap itu juga menerima kelulusan pihak berkuasa tempatan.

Kata Meng, jambatan penjalan kaki tersebut juga dinamakan sebagai Wisdom Bridge supaya murid sekolah yang melaluinya akan menjadi bijak setiap hari.

“Saya tidak pernah memberitahu mengenai projek yang diusahakan itu kerana tidak mahu anak menjadi riak dan menunjuk-nunjuk dengan rakan-rakannya.

“Cuma saya berharap sumbangan ini dapat membantu menjamin keselamatan murid ke sekolah untuk mendapatkan pendidikan lebih baik,” kongsinya.

ibu bina jejantas sekolah

Iklan

Hebat bukan pengorbanan seorang ibu? Bukan saja bertarung nyawa ketika melahirkan anak, tatkala anak sudah membesar pun, beliau tegar memastikan zuriatnya dalam keadaan selamat.

Kisah wanita itu turut menerima perhatian seluruh Tanah Besar itu apabila tular di dalam media sosial kerana membelanjakan wang yang banyak demi anaknya.

Kalau difikirkan, jumlah wang yang beratus-ratus ribu itu boleh dijadikan modal untuk membeli rumah atau apartmen atau kereta mewah, namun ibu hebat tersebut bertindak sebaliknya.

Barangkali, usaha murni itu boleh dijadikan contoh buat golongan yang berkemampuan untuk menyumbang sesuatu kepada komuniti.

Tidak perlu jejantas, jalan yang berlopak pun sudah memadaikan? Apapun, belum terlambat untuk SinarPlus mengucapkan Selamat Hari Ibu kepada semua wanita hebat di luar sana.