Sarat dengan pin dan perhiasan rare, padanlah peminat fanatik ini jadi tumpuan di Sukan Olimpik Paris 2024
BUKAN saja aksi atlet yang bertanding di Sukan Olimpik Paris 2024 menjadi sorotan seluruh dunia, bahkan peminat fanatik dengan gaya tersendiri pun tak nak kalah.
Mana tidaknya, bukan saja sanggup berhabis duit semata-mata mahu menonton secara live setiap acara yang dipertandingkan, malah mereka datang dengan fesyen unik.
Lapor AP News, Vivianne Robinson antara susuk dalam kebanyakan manusia yang membanjiri Kota Cinta itu berjaya mencuri perhatian media ketika penampilan di laluan utama Paris.
Busana unik itu disiapkan dalam tempoh setahun dengan ratusan perhiasan termasuklah Menara Eiffel pada topinya dan anting-anting dengan logo gergasi Olimpik.
Disebabkan fesyen luar biasa tersebut, ramai yang teruja untuk bergambar dengan beliau.
“Ia agak menggembirakan. Saya tidak boleh nak ke mana-mana kerana semua orang menahan untuk bergambar. Ia mengambil masa yang lama untuk sampai ke venue, tetapi tidak mengapa.
“Memang seronok sebab ramai teruja dengan pakaian saya dan pada masa sama, dapat lihat selebriti yang saya minati seperti Tom Cruise, Lady Gaga dan Snoop Dogg pada acara gimnastik,” katanya.
Wanita berusia 66 tahun dari Los Angeles, Amerika Syarikat itu sanggup melabur $10,000 (RM44,981) untuk menghadiri sukan antarabangsa yang berlangsung setiap empat tahun tersebut.
Untuk rekod, peminat tegar berkenaan sudah mengikuti tujuh penganjuran sukan berprestij itu dalam tempoh 40 tahun.
Untuk kumpul duit sebanyak itu bukan mudah. Robinson sanggup berhempas-pulas melakukan dua kerja demi membiayai kos perjalanan dan 38 tiket acara yang diminati.
Warga emas itu yang sudah menggunakan kad kredit pada had paling maksima itu berkata, beliau perlu bekerja untuk tempoh dua tahun lagi bagi melunaskan semua hutang.
“Memang ia satu kerja gila. Susah nak menyimpan dan memerlukan bajet yang besar tapi saya rasa berbaloi seribu kali ganda.
“Cuma saya kecewa bila hanya dapat lihat majlis perasmian hanya daripada skrin di atas jambatan. Tahukah saya perlu bayar kos $1,600 (RM7,197) hanya untuk itu?,” soalnya.
Pun demikian, penampilan Robinson yang sarat dengan pin klasik dan pelbagai perhiasan bertemakan Olimpik menjadi sensasi di media sosial sekelip mata.
Disebab itu, ramai yang mencadangkan beliau supaya menggunakan peluang tersebut untuk membuka akaun khas sebagai crowd funding untuk membiayai minatnya.
Namun jawab wanita tersebut, itu semua tidak penting kerana dirinya masih mampu menjana pendapatan sendiri.
Pengaruh ibu
Rupa-rupanya, ketaasuban Robinson sudah dipupuk sejak kecil memandangkan ibunya bekerja sebagai penterjemah untuk atlet di Universiti California yang bertanding pada Sukan Olimpik 1984.
Ibunya akan pulang dengan buah tangan seperti pin yang dihadiahkan oleh atlet sebelum diberikan kepadanya sebagai tanda kenangan.
Sejak daripada itu, hobi baharunya yang suka mengumpul pin telah mendorongnya untuk terbang ke Sukan Olimpik Atlanta pada tahun 1996 yang mana beliau menukar rantai beras homemade sebagai pertukaran pin.
“Bukan saja dapat semua pin tapi saya dapat bertemu semua atlet seorang demi seorang pada zaman itu. Namun sekarang ini susah sebab tahap keselamatan sudah ketat.
“Nak pergi ke perkampungan atlet pun tak boleh,” katanya yang sudah mengikuti Sukan Olimpik Sydney 2000, Athens 2004, London 2012 dan Rio 2016.
Apa yang membuatnya sedih apabila tidak dapat menyertai Sukan Olimpik Beijing 2008 disebabkan tak mampu nak tampung kos perjalanan ke sana meski sudah lulus visa.
Sementara Olimpik Tokyo 2019 pula, ditakdirkan beliau hanya dapat refund jer ketika berlaku pandemik wabak Covid-19 yang mana sukan tetap diadakan tanpa penonton.
Selepas tamat temasya sukan tersebut, Robinson memberitahu dirinya akan terus bekerja untuk penganjuran seterusnya demi persiapan koleksi baju baharu, kos tiket dan sebagainya.
“Saya akan tetap teruskan hobi ini selama-lamanya. Semua duit akan saya simpan demi Olimpik seterusnya,” katanya nekad.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang