Tak sokong anak belajar subjek seni, kini hasil kaligrafi lunas hutang keluarga RM13 juta. 'Bakat boleh jana pendapatan...'

No Image Caption
A
A
A

BERMULA daripada sebuah impian, siapa sangka kemahiran dalam seni kaligrafi menjadi titik tolak perubahan hidup seorang lelaki di Wuhan, Wilayah Hubei, China.

Pemilik studio kaligrafi, Chen Zhao sebelum ini pernah mencuri perhatian warga maya apabila kisahnya tular di media sosial.

Mana tidaknya, lelaki berjiwa kental itu berjaya melunaskan hutang kedua ibu bapanya yang mencecah 20 juta yuan (anggaran RM13 juta) hasil titik peluh mengajar seni tulisan tangan dalam tempoh hanya tujuh tahun.

Menurut tuan empunya badan, minat terhadap seni kaligrafi mula berputik seawal usia lima tahun dan menunjukkan kecenderungan terhadap keindahan seni tulisan tangan.

Meskipun, minatnya itu pada awalnya tidak mendapat restu ibu bapa, Zhao tetap teguh dengan pendiriannya.

Namun, segalanya mula berubah sebaik sahaja beliau menamatkan peperiksaan gaokaon ujian penentu hala tuju pendidikan tinggi yang cukup penting di China.

Ketika ibu bapa mengharapkan anak lelaki mereka menyambung pelajaran dalam bidang perniagaan, Zhao sebaliknya memilih haluan berbeza.

Artikel Berkaitan:

Pada masa yang sama, ibu bapanya yang ketika itu mengusahakan sebuah kilang pakaian, berharap agar Chen Zhao dapat membantu mereka mengembangkan perniagaan keluarga.

Demi mengejar impian, beliau nekad mendaftar di Institut Seni Halus Hubei bagi memperhalusi bakatnya dalam seni kaligrafi.

Selepas menamatkan pengajian pada tahun 2016, Zhao mengambil langkah berani dengan membuka studio kaligrafinya sendiri.

Perjalanan itu bukan mudah, namun pengalaman itu menjadi batu loncatan kepada kejayaan studio miliknya.

Dari hanya seorang pelajar, kelasnya mula menjadi sebutan dan terus berkembang.

Pelajar pertama studionya adalah seorang murid sekolah rendah yang menulis dengan tangan kiri.

Walaupun mencabar, Chen berjaya mengajar pelajar tersebut menghasilkan tulisan kaligrafi yang indah dan kemas.

Pada tahun 2017, rezeki Chen Zhao semakin mencurah apabila menerima undangan untuk mengajar di sebuah institusi kaligrafi ternama di Perancis.

Namun, impian ke luar negara itu terpaksa diketepikan apabila keluarganya berdepan masalah kewangan dan terjerat dengan hutang hingga menyebabkan kilang pakaian milik mereka terpaksa ditutup.

Zhao kemudian bangkit dan memberikan sepenuh perhatian terhadap perniagaan kaligrafinya dengan mengembangkan operasi studio sedia ada dan menyaksikan pertambahan jumlah pelajar secara mendadak.

Selain aktif mengajar, Zhao turut mempelbagaikan sumber pendapatan dengan menjual produk berkaitan kaligrafi secara dalam talian serta menguruskan sebuah bilik teh.

Namun semua pengorbanan itu akhirnya berbaloi apabila pada September tahun lepas, Zhao berjaya melunaskan semua hutang keluarganya.

Apa yang paling menggembirakan, ibu bapanya kini menjadi penyokong utama dalam kerjayanya setelah melihat sendiri hasil usaha dan kejayaan yang dikecapi.

Kedua ibu bapa Zhao akhirnya mengakui bahawa seni juga mampu menjana pendapatan dan boleh dijadikan sebagai kerjaya.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang