Usia 58 tahun bukan halangan – Wanita ini selamat timang anak kedua menerusi IVF
SIAPA kata usia jadi penghalang untuk mengecap bahagia sebagai ibu? Kisah seorang wanita berusia 58 tahun, Chan Lai-lai nyata mencetuskan inspirasi apabila dia yang juga isteri kepada pelakon tempatan, Brian Wong Chak-fung selamat melahirkan cahaya mata kedua menerusi kaedah persenyawaan in vitro (IVF).
Memetik Sinar Harian, Lai-lai bukanlah asing dalam perhatian ramai. Enam tahun lalu, wanita tersebut pernah mencuri tumpuan apabila menyambut kelahiran anak sulung pada usia 52 tahun—usia yang dikategorikan sebagai ibu berisiko tinggi.

Dalam satu pengumuman di media sosial pada Sabtu, pasangan itu berkongsi berita gembira itu dengan penuh rasa syukur, malah memaklumkan bahawa ibu dan bayi berada dalam keadaan baik.
Bercakap kepada media, Brian mendedahkan bahawa bayi perempuan kedua mereka dilahirkan pada 22 Ogos lalu dengan berat 3.34 kilogram (kg).
“Seorang wanita berusia 58 tahun, Chan Lai-lai yang juga isteri kepada pelakon tempatan Brian Wong Chak-fung selamat melahirkan anak kedua menerusi kaedah persenyawaan in vitro (IVF),” kata Brian penuh bangga.
Menurut pelakon itu, isterinya melalui pembedahan caesarean berjadual pada usia kandungan 37 minggu.
Menariknya, bayi kedua mereka lebih berat berbanding kakaknya ketika lahir dahulu. Brian juga tidak dapat menyembunyikan rasa kagum terhadap isterinya yang mampu menyusukan bayi meskipun pada usia sebegini.
Mengimbas semula, Brian menjelaskan kehamilan kali ini berbeza kerana mereka memilih kaedah IVF dengan bimbingan pakar di Hospital Prince of Wales serta Pusat Perubatan CUHK.

USIA SEKADAR ANGKA
Lebih istimewa, nama Lai-lai turut tercatat sebagai ibu tertua di hospital berkenaan. Malah, para doktor dilaporkan berminat untuk mengkaji kesnya dengan lebih mendalam memandangkan ia cukup luar biasa.
Tidak sekadar itu, Brian juga berharap pengalaman mereka dapat menjadi rujukan dan inspirasi kepada pasangan lain yang sedang berusaha mendapatkan zuriat di Pusat Perubatan CUHK.
Pasangan ini mendirikan rumah tangga pada tahun 2010. Sejak awal lagi, mereka sudah menyimpan harapan besar untuk menimang cahaya mata. Namun perjalanan itu tidak mudah.
Ketika kehamilan pertama pada tahun 2019, Lai-lai yang berusia 52 tahun ketika itu pernah berdepan cabaran getir. Antaranya, masalah ekzema semasa hamil dan praeklampsia yang serius hingga memerlukan pemantauan di Unit Rawatan Rapi (ICU).
Namun berkat kekuatan mental dan fizikal, beliau berjaya melahirkan dengan selamat. Kini, enam tahun kemudian, beliau sekali lagi membuktikan bahawa usia hanyalah angka apabila berjaya menyambut kelahiran anak kedua dengan penuh syukur.

Kejayaan Chan Lai-lai melahirkan bayi pada usia 58 tahun bukan sekadar memenuhi hajat peribadi, malah ia menjadi bukti bahawa kasih sayang, doa dan kesungguhan mampu mengatasi segala cabaran. Bagi Brian, kehadiran bayi kedua ini melengkapkan impian mereka untuk memiliki sebuah keluarga kecil yang kini berempat.
Lebih daripada itu, kisah pasangan itu memberikan harapan dan motivasi buat ramai wanita serta pasangan yang masih menanti rezeki zuriat. Kadangkala, perjalanan ke arah impian itu mungkin sukar dan panjang, namun dengan usaha, keyakinan dan sokongan pasangan—apa sahaja boleh menjadi kenyataan.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

