Tiada rekod hospital, wanita Afrika Selatan lahir bayi kembar 10 jadi tanda tanya

A
A
A

KESAHIHAN cerita mengenai wanita kelahiran Ekurhuleni, Gauteng, Afrika Selatan, Gosiame Thamara Sithole yang dikatakan melahirkan kembar 10 baru-baru ini mula menjadi tanda tanya.

Memetik laporan abcnews.go.com, setakat hari ini kerajaan Afrika Selatan masih belum menerima dan tidak menemui sebarang rekod kelahiran daripada mana-mana hospital berhubung perkara tersebut.

Walhal, kelmarin media tempatan di sana melaporkan mengenai keistimewaan 'luar biasa' Sithole melahirkan 10 bayi pramatang serentak melalui pembedahan caesarean di sebuah hospital di Pretoria.

Bagaimanapun, Jabatan Pembangunan Sosial Wilayah Gauteng menjelaskan, pengumuman rasmi akan dibuat sebaik sahaja urusan pertemuan bersama Sithole dan suami, Teboho Tsotets dilakukan.

MENURUT Pretoria News, Sithole selamat bersalin melalui pembedahan caesarean di sebuah hospital di Pretoria tatkala usia kandungannya mencecah tujuh bulan tujuh hari.

Sementara itu, jurucakap wilayah, Thabo Masebe turut mengesahkan pihaknya tidak menemui rekod yang mendakwa kelahiran kembar 10 atau decuplets baik di hospital swasta mahupun kerajaan.

Artikel berkaitanLuar Biasa! Wanita Afrika Selatan Lahir Kembar 10, Hasil Scan Mendapati Kembar Lapan

“Berdasarkan laporan media pihak kami (wilayah Gauteng) segera melakukan pemeriksaan di semua hospital bagi mendapatkan pengesahan.

“Namun begitu, tiada satu hospital di wilayah ini merekodkan kelahiran kembar 10 seperti mana cerita yang disiarkan.

“Bahkan, mengikut laporan bayi-bayi itu adalah pramatang jadi seharusnya mereka berada di hospital untuk pemantauan lanjut," ujarnya seperti dipetik menerusi sabcnews.com.

Terdahulu, Sithole meraih perhatian ramai apabila dikatakan mencipta rekod melahirkan tujuh bayi lelaki dan tiga perempuan secara serentak.

Menurut wanita tersebut pada awalnya doktor memaklumkan beliau hamil kembar lapan, tetapi tidak menyangka apabila dikurniakan kembar 10.

Pun begitu, kelahiran anak kembar bukanlah sesuatu yang baharu bagi Sithole dan suami memandangkan cahaya mata pertama mereka juga merupakan sepasang kembar kini berusia enam tahun.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang