MASUK hari ke-15 kematian pelajar Tingkatan Enam, Siti Nur Surya Ismail dalam satu pembunuhan kejam di Kampung Lubok Batu, Telemong Hulu Terengganu.

Akhirnya hari ini, penantian individu terlibat pembunuhan kejam Siti Nur Surya didakwa oleh pihak mahkamah.

Menurut laporan media tempatan;

1. Seorang pelajar perempuan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Marang, Terengganu hari ini atas tuduhan membunuh kenalannya, Siti Nur Surya Ismail, 19.

2. Tertuduh, Siti Nur Athirah Azmi, 19, didakwa di hadapan Majistret Engku Nurul Ain Engku Muda, mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

3. Siti Nur Athirah mengangguk tanda faham selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan.

4. Mengikut kertas pertuduhan, pelajar Tingkatan Enam itu didakwa membunuh Siti Nur Surya di sebuah rumah di Kampung Lubuk Batu, Jalan Bukit Tadok, Telemong, pada 1 November lalu antara jam 8.30 hingga 9.30 pagi.

5. Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh dan tiada jaminan ditawarkan.

Artikel berkaitan: 9 hari selepas pembunuhan Siti Nur Surya…

Iklan
Iklan

6. Seksyen 302 memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

7. Engku Nurul Ain kemudian menetapkan 10 Januari depan untuk sebutan semula kes di Mahkamah Majistret Kuala Berang.

8. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Amer Abu Bakar Abdullah, manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Mazlan Md Zain.

9. Siti Nur Athirah yang memakai pakaian lokap berwarna ungu dan bertudung hitam, tiba di perkarangan Mahkamah Majistret Marang, kira-kira jam 9.40 pagi.

10. Beberapa ahli keluarganya termasuk ayah dan ibu dilihat turut berada di pekarangan mahkamah berkenaan dan melambai tertuduh.

Terdahulu, Siti Nur Surya dibunuh kejam dengan beberapa kesan tikaman dipercayai senjata tajam di beberapa bahagian badan termasuk putus pergelangan tangan kiri ditemui tertiarap tidak bernyawa oleh adik perempuannya, Siti Nur Syuhada yang baru pulang dari sekolah.