Aidiladha: Penyembelih lembu korban sedia patuhi SOP

A
A
A

KEMAHIRAN menyembelih lembu sering menjadi tumpuan menjelang tibanya Hari Raya Aidiladha, namun tahun ini tumpuan itu beralih kepada penyembelihan korban dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) pula.

Memetik laporan portal media tempatan, seperti salah seorang penyembelih dan penjual daging yang dikenali sebagai Zakaria Awang, sejak 35 tahun mengendalikan sembelihan lembu korban dan harian, pada tahun ini ia diakui berbeza berbanding tahun sebelumnya.

"Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) sudah mengeluarkan arahan supaya melakukan penyembelihan mengikut SOP, antaranya perlu memakai pelitup muka, menyediakan cecair pembasmi kuman, pemeriksaan suhu badan dan peralatan penyembelihan tidak boleh dikongsi.

“Keadaan ini digambarkan agak sukar, tetapi sebagai langkah keselamatan, penganjur, penyembelih dan orang ramai wajib patuh arahan demi menjaga kesihatan dan keselamatan," katanya.

Zakaria yang dikenali sebagai Pok Ya Daging yang berusia 65 tahun itu berkata, petugas aktiviti korban diberi syarat iaitu bagi seekor ternakan ruminan besar seperti lembu atau kerbau tidak melebihi 14 orang, manakala bagi ruminan kecil seperti kambing atau bebiri pula tidak melebihi dua orang. Mereka juga tidak digalakkan menunggu sehingga selesai majlis.

Aidiladha: Penyembelih lembu korban sedia patuhi SOP

Tambah Zakaria, petugas penyembelihan korban juga diingatkan supaya mengambil kira soal penjarakan sosial yang perlu diamalkan iaitu tidak boleh terlalu sesak, sempit dan bersembang (3S) semasa berada di lokasi sembelihan.

"Jarak di antara ruminan yang akan disembelih di kawasan lapang adalah tidak kurang lima meter antara satu sama lain, selain jumlah maksimum dihadkan sebanyak 10 ekor bagi satu-satu masa.

“Kanak-kanak berusia bawah 12 tahun tidak dibenarkan hadir di kawasan ibadah korban yang dijalankan," katanya.

Bapa kepada lapan anak itu turut memberitahu, biarpun pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) masih berlangsung bagi menghalang penularan penyakit Covid-19, permintaan terhadap penyembelihan korban bagi Hari Raya Aidiladha kali ini terus meningkat.

"Setakat ini saya sudah menerima tempahan menyembelih lembu korban hampir 10 rumah, berbanding tahun sebelumnya purata empat hingga lima rumah sahaja," katanya.

Sebagai tukang sembelih ruminan, beliau mempunyai permit dan lesen menyembelih korban, manakala bagi penyembelihan harian, beliau turut memiliki Sijil Kesihatan Veterinar, begitu juga anaknya yang terlibat dalam penternakan 30 ekor lembu, Mohd Syahir Syazwan, 24 dan Mohd Syahmin, 19 serta isteri, Fatimah Kasim, 63.

"Saya sudah bersedia untuk menjalankan tanggungjawab sebagai penyembelih ruminan korban dan semua peralatan menyembelih, melapah dan memproses daging sudah berada dalam keadaan baik, bersih dan tajam.

“Sekarang ini kita sudah guna mesin hidraulik bagi memudahkan urusan penyembelihan. Lebih 10 ekor lembu ditempah untuk kenduri kahwin selepas hari raya korban," katanya.

Zakaria turut mendedahkan beberapa petua yang diamalkan bagi membolehkan sembelihannya tidak berbau antaranya, perlu masuk ke kandang secara perlahan-lahan sambil meminta izin, menggosok badan dan menenung mata lembu yang akan disembelih.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca