Tak sempat bergelar ustazah, Nurul Alya Fatnin maut kemalangan. 'Arwah hafizah 30 juzuk al-Quran, anak yang baik'
TERNYATA ALLAH lebih menyayanginya. Belum sempat mencurahkan bakti, pelajar Insititut Pendidikan Guru (IPG) yang juga bakal ustazah maut dalam kemalangan di Kilometer 16, Jalan Gua Musang-Kuala Lipis di sini, pada Rabu.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.45 pagi itu, Nur Alya Fatnin Mohd Mawardzi, 22, yang merupakan pelajar semester akhir di IPG Kampus Sultan Mizan, Besut (IPGKSM), Terengganu bersama tiga lagi rakannya dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menghala ke IPG berkenaan.
Bagaimanapun Allahyarham Nurul Alya Fatnin yang menaiki kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Proton X50 dirempuh treler.
"Seluruh warga IPG dan IPGMKSM mengucapkan takziah kepada ahli keluarga Allahyarhamah Nurul Alya Fatnin, pelajar 10 PISMP PAI 2 yang kembalinya ke rahmatullah.
"Marilah kita mendoakan dan menyedekahkan al-Fatihah agar beliau ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman," kongsi TikTok rasmi IPGMKSM.
Menerusi ruangan komen, rakan-rakan mengucapkan takziah dan mendoakan agar Allahyarham.
"Hafizah 30 juzuk al-Quran, orang yang baik. Semoga ditempatkan dalam kalangan orang beriman."
"Tak sempat bergelar ustazah. ALLAH lebih menyayanginya. Takziah untuk keluarga."
"Al-Fatihah buat arwah anak solehah Alya (al-hafizah). Semoga ditempatkan di syurga tertinggi, aamiin."
Sementara itu, dua lagi pelajar IPGKSM yang terlibat kemalangan iaitu Muhammad Adam Haikal Mohd Nazim dan Muhammad Izz Ikhwan Mohd Jefri dilaporkan kritikal.
ANAK YANG BAIK, HAFIZAH 30 JUZUK AL-QURAN
Ibu Allahyarham, Azizah Harun, 63, berkata anak bongsu daripada lima beradik itu dalam perjalanan pulang ke IPG selepas lawatan ke Indonesia bersama pensyarah dan rakan-rakannya.
Kata Azizah, Allahyarham sempat berbalas WhatsApp dengan bapanya, Mohd Mawardzi Akhir, 65, kira-kira jam 6.29 pagi tadi yang bertanyakan lokasi.
"Dalam pesanan itu, arwah kata baru masuk Gua Musang dan itu adalah pesanan terakhir arwah yang kami terima.
"Namun pada kira-kira jam 7.58 pagi kami menerima panggilan daripada rakan arwah berkaitan kejadian yang berlaku dan bergegas datang ke Hospital Gua Musang," katanya.
Menurut Azizah, Allahyarham sepatutnya menduduki peperiksaan akhir pada keesokan hari dan s akan menghabiskan cuti di rumah keluarga di Bukit Panau, Tanah Merah, Kelantan.
"Arwah seorang anak yang sangat baik dan dia adalah hafizah yang sudah menghabiskan hafazan 30 juzuk al-Quran," katanya.
Jenazah bakal ustazah itu dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Panau.
TRELER HILANG KAWALAN
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo berkata, siasatan awal mendapati semasa kejadian treler jenis Volvo yang dipandu lelaki berusia 28 tahun dari arah Kuala Lipis, Pahang menghala ke Gua Musang.
"Semasa tiba di lokasi pemandu treler tersebut telah hilang kawalan lalu melanggar dua buah kereta masing-masing jenis Perodua Axia dan Proton Saga.
"Kemudiannya, treler tersebut melanggar belakang sebuah Perodua Axia dan Proton X50 yang berada di bahu kiri jalan," katanya.
Menurut beliau, kesan pelanggaran itu menyebabkan pemandu Proton X50 mengalami kecederaan di bahagian kepala manakala penumpang hadapan cedera ringan.
Ujarnya, penumpang belakang di sebelah kiri mengalami kecederaan pada bahagian pinggul dan seorang lagi maut di lokasi.
Kemalangan pada awal pagi itu dipercayai melibatkan 13 mangsa termasuk pemandu treler.
Choon Foo memaklumkan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kemalangan boleh menghubungi talian 09-9121222 bagi membantu siasatan.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang