Berkebun suka-suka di rumah, rupanya ini yang akan anda dapat
SEMENJAK Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan awal Mac lalu, pelbagai hobi baru, aktiviti peribadi mahupun sekeluarga mula dikongsikan melalui media sosial.
Antara aktiviti yang dilakukan kalangan masyarakat kita adalah memasak, beriadah seperti hiking, jogging, berbasikal dan sebagainya.
Seperti satu perkongsian oleh Pensyarah Jabatan Bahasa Inggeris dan Komunikasi, Fakulti Pengurusan dan Muamalah KUIS, Rahmahtunnisah Sailin ini.
Katanya, aktiviti yang agak popular adalah berkebun. Selain dapat menjana pendapatan sekurang-kurangnya ia boleh menambahkan keakraban hubungan keluarga, mengekalkan kesihatan dan tenaga mahupun menghilangkan kebosanan tempoh PKP yang berpanjangan.
"Sesuatu yang sangat menggembirakan sebenarnya, apabila anak-anak menjadi aktif bertanya ketika sama-sama berkebun. Bagi anak-anak seawal usia empat hingga 15 tahun, keinginan yang tinggi untuk mengetahui banyak perkara perlu disantuni sebaiknya.
"Ini sangat membantu tumbesaran sahsiah dan membina sudut pandang yang betul terhadap alam yang disaksikan.
"Soalan seperti ‘kenapa nak kena tanam sayur?, yang disertai dengan jawapan ‘beli je kan senang’, ‘selalu kan mama dan abah beli je sayur-sayur ni?’ adalah hasil kelaziman anak-anak meihat rutin kedua ibu bapanya dalam kehidupan seharian. Sungguh jawapan itu adalah suatu pantulan cermin besar dalam keluarga kita.
"Soalan-soalan begini akan berterusan ke fasa seterusnya seperti ‘kenapa perlu dapat cahaya?’, ‘kenapa kena siram dua kali sehari?’ ‘kenapa tanam sama-sama tapi ada yang mati dan ada yang hidup?’"katanya.
Menurutnya, selain daripada keperluan bersekolah dari rumah, melalui medium yang ditetapkan oleh pihak sekolah, ibu ayah juga perlu memberikan peluang untuk perkembangan potensi diri anak-anak.
"Ia boleh dilakukan melalui pelbagai aktiviti yang boleh mengembangkan potensi diri mereka."Ketika anak-anak menyelesaikan dan membantu kerja-kerja rumah, melaksanakan bantuan yang diminta oleh ibu ayah, bersoal jawab, berkumpul dan bermain sebenarnya ia adalah suatu proses komunikasi yang sangat penting; mereka sedang membina kepercayaan sosial dalam diri.
"Oleh yang demikan ketika inilah masa yang terbaik untuk ibu ayah terus menanamkan sikap positif, menguatkan keinginan anak-anak disertai keyakinan bahawa memulakan tindakan betul dengan ilmu dan cara yang betul pasti akan membuahkan hasil yang mengembirakan. Ketika inilah komunikasi keluarga dapat diperkemaskan," katanya.
Kata Rahmahtunnisah, konsep asas berkebun boleh diperkenalkan kepada anak-anak bagi memupuk kefahaman dan motivasi.
"Anak-anak perlu didedahkan kepada rantaian bekalan makanan sebagai ikhtiar hidup terutamanya ketika kecemasan."Menariknya aspek ini dapat diterangkan beserta praktikal bagaimana proses dan keperluan bekalan makanan asas dalam sesebuah keluarga.
"Walaupun sedikit pengenalan berkaitan rantaian bekalan makanan telah dimasukan dalam kursus Sains dan Pendidikan Kesihatan sekolah rendah secara umum, pastinya dengan aktiviti berkebun di rumah ia dapat memberi gambaran jelas bagaimana rantaian ini berlaku," ujarnya.
Menurutnya, anak-anak boleh diterangkan dengan keperluan sebenar makanan di rumah.
"Misalnya bagi keperluan makan tengahari sekeluarga sayur-sayuran adalah hidangan wajib dan ia adalah bertepatan dengan keperluan piramid makanan yang dipelajari di sekolah malah kebanyakan pelajar menghafal malah boleh memberi visual jelas carta piramid ini."Untuk menyediakan menu sayur misalnya seorang ibu atau kakak perlukan sayur seperti sawi, kangkung, bayam atau salad, bawang merah, bawang putih dan ikan bilis atau udang kering.
"Maka dengan bercucuk tanam di rumah sesebuah keluarga boleh memetik cili api dan sayuran di belakang dapur atau di hadapan rumah sahaja.
"Begitu juga bagi bahan menyediakan gulai ikan atau ayam, mahupun menu asam pedas, Laksa Johor atau Laksa Utara; keadaan menjadi lebih mudah dan menyeronokkan apabila sebahagian besar bahan telah ada di belakang rumah. Contohnya, daun kari, daun kesum, bunga kantan, salad, terung dan kacang panjang," kata Rahmahtunnisah.
Rahmahtunnisah turut mengatakan pada fasa ini, mesej komunikasi dengan anak-anak akan berkembang dengan mula memasukan elemen matematik dan congakan/kira-kira kos yang dapat dijimatkan.
"Ini akan membantu sel-sel otak terus berhubung dan terus melihat bahawa berkebun bukan sekadar hobi ibu ayah, namun dapat menjimatkan kos perbelanjaan dapur."Minat dan potensi anak-anak boleh dikenalpasti bagi mengagihkan tugas membantu proses menyemai, memindahkan anak pokok, membaja dan menyiram.
"Perlu difahami bahawa proses komunikasi bukanlah sekadar menyampai dan menerima maklumat atau dalam hahasa mudahnya bercakap dan berbual-bual sahaja sesama manusia.
"Lebih luas lagi sebenarnya komunikasi tahap tertinggi adalah apabila kita berkomunikasi dengan Allah; bukan sekadar melalui ibadah solat, membaca al-Quran, berdoa dan berzikir sahaja, namun dengan berkebun juga kita sedang melalui proses komunikasi dengan Allah," ujarnya.
Menurutnya, proses komunikasi yang hidup dalam jiwa seluruh ahli keluarga terjadi apabila;
1. Memulakan proses menyemai biji benih bersama anak-anak, akan membantu mereka memahami fungsi tanah, air dan cahaya yang kewujudannya adalah dari sumber semulajadi ciptaan Allah SWT, Subhanallah! Kita akan bersyukur dengan nikmat Allah.
2. Walaupun berkebun di bandar agak mencabar kerana perlu membeli tanah dan sayur-sayuran perlu ditanam dalam pasu ataupun melalui sistem hidroponik.
Kekangan ruang yang hanya ‘sekangkang Kera’, turut membuatkan keyakinan dan kerbergantungan kepada Allah menjadi lebih tinggi.
3. Tanamkan keyakinan kepada anak-anak bahawa Allah sedang memandang usaha yang sedang dijalankan.Pecahnya mata biji benih dalam tempoh beberapa hari, kemudian terus membesar menjadi pecahan daun berbentuk dua-tiga helai sehinggalah apabila telah dipindahkan dan membesar dapat disaksikan dengan penuh keterujaan dengan mengucapkan syukur, alhamdulillah dan Subhanallah secara langsung memuji kehebatan dan kebesaran Allah.
Baca juga Kemalangan ragut nyawa 3 anak dan ibu parah, ini kronologi kejadian
4. Sayur-sayuran ini terus membesar dengan air, tanah, cahaya dan baja yang mencukupi.
Di setiap awal pagi dan petang aktiviti menyiram pokok dan memantau jika ada serangga yang menumpang makan juga adalah proses komunikasi dengan Allah dan alam secara langsung.
Sering kali kita akan ‘memanjakan’ pokok-pokok ini dengan siraman air dengan penuh kasih sayang, sambal mengucap salam, senyum dan ‘berbual-bual’ dengan tanaman.
Ini bukanlah sesuatu yang pelik kerana semua kejadian (makhluk) Allah adalah hidup.
Mereka turut berzikir dan bertasbih menginggati Allah, seperti keterangan dalam Surah al-Israa ayat 44 yang bermaksud; ‘Langit yang tujuh dan bumi serta sekalian makhluk yang ada padanya , sentiasa mengucap tasbih kepada Allah. Dan tidak ada suatu pun melainkan bertasbih dengan memujiNya, tetapi kamu tidak mengerti tasbih mereka. Sungguh Dia Maha Penyatun, Maha Pengampun”.
5. Kesabaran dan ketekunan berkebun dengan melalui proses dan langkah demi langkah menyuburkan sifat sabar dan tidak berputus asa.Apatalah lagi apabila anak-anak boleh melihat bahawa tidak semua semaian menjadi, kadang kala terpaksa dibuang dan disemai kembali.
6. Malah ada ketikanya apabila anak culas dengan tanggungjawab menyiram tanaman, sayur akan layu dan mati.
Mereka akan menyedari apabila satu-satu proses penjagaan diabaikan maka ada kesannya kepada tanaman.
Keadaan ini akan menerbitkan rasa insaf, malah mereka akan belajar menghargai bekalan makanan yang ada serta wujud rasa belas kasihan kepada para pekebun terutamanya penanam sayur-sayuran.
Begitulah indahnya proses komunikasi yang hidup dalam jiwa seluruh ahli keluarga melalui aktiviti berkebun di rumah hikmah pandemik Covid-19 yang belum berakhir.
7. Lebih manis dan menggembirakan apabila anak-anak mula berkeinganan untuk makan menu sayur-sayuran yang terhidang di meja makan.Bacaan doa makan menjadi lebih bermakna. Mereka makan dengan berselera sambil berkata ‘sedaplah sayur abah tanam’.
Ini pastinya kerana mereka menjadi saksi kepada usaha dan penjagaan tanaman yang rapi di hadapan mata setiap hari.
Menariknya, rezeki Allah hasil menanam ini bukan sekadar untuk bekalan makanan seisi keluarga, malah dapat bersedekah kepada jiran tetangga dan pada fasa penanaman seterusnya sayur-sayur ini mampu dijual kepada komuniti setempat.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang