SUASANA di Dataran Dewan Mawar, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Shah Alam, Selangor pada pagi Sabtu lalu meriah dengan kehadiran lebih 700 peserta yang mengambil bahagian pada program Sarong Heritage Fun Run X SinarPlus.

Sarong Heritage Fun Run X SinarPlus merupakan sebahagian daripada Mighty MPP X College Fest yang berlangsung selama tiga hari berturut-turut.

Tidak hanya warga UiTM Shah Alam dan UiTM Puncak Alam, malah penyertaan turut disemarakkan dengan penglibatan masyarakat sekitar.

Kali ini bukan hanya sekadar memakai seluar sukan dan berbaju-T semata-mata, namun setiap peserta membawa kain sarung masing-masing untuk berlari.

Si gadis terutamanya tampil ayu apabila menggayakan kain batik dengan cara menjadikannya sebagai kain selempang dan mengikat pada pinggang.

Begitu juga dengan si jejaka yang tampak stail dengan kain pelikat variasi rona.

Seawal pukul 7 pagi, kelibat peserta sudah kelihatan dan semangat mereka begitu menyala-nyala.

Sebelum terlupa, para peserta turut ‘dibekalkan’ dengan pistol air yang boleh digunakan ketika berlari bagi merancakkan lagi adrenalin kegembiraan. Getarannya persis ala-ala Pesta Songkran di Thailand!

Seperti biasa, sebelum bermandi peluh, para peserta sakan berswafoto dengan senyuman meleret.

Baca juga: Warga UiTM berlari 3 kilometer berkain sarong. Memang happening, masing-masing tampil gaya tersendiri

Tentatif acara dimulakan dengan senaman ringan dan aktiviti berzumba.
Ia disusuli dengan ucapan Pengarah Pembangunan Pelajar Bahagian Hal Ehwal Pelajar, UiTM, Prof Madya Dr Shahsuzan Zakaria.

Dr Shahzuran berkata, Sarong Heritage Fun Run X SinarPlus yang bertemakan Mahasiswa Bertenaga dan Bersemangat merupakan salah satu inisiatif yang positif dan berjaya menterjemahkan konsep seni kreatif bersulamkan teknologi.

Baca juga: SinarPlus anjur peraduan ‘Live Your Life’ sempena ulang tahun ke-3, tawar hadiah menarik

“Penganjuran program ini haruslah dimanfaatkan untuk pembangunan dan kemajuan para pelajar dalam meningkatkan kualiti yang dimiliki,” ujarnya sebelum acara pelepasan bermula.

Hadir sama Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Negeri Selangor, Mohd Najwan Halimi; Editor Eksekutif Gaya Hidup Sinar Harian, Meen Taharin dan Pengarah Sarong Heritage Fun Run X SinarPlus, Nur Athira Kamilia Abdul Rahim.

Serentak dengan itu, sebanyak RM3,000 yang berjaya dikumpul termasuk sebahagian wang pendaftaran peserta diserahkan kepada Unit Perkhidmatan Orang Kurang upaya (OKU), UiTM.

Sumbangan itu diharap dapat membantu mahasiswa OKU untuk bersaing sama hebat dalam mendapatkan kualiti pendidikan tinggi di kampus tersohor itu.

Baca juga:Tahniah! Penuntut UiTM raih tempat pertama Malaysia, dunia peperiksaan ACCA

Teruja & kagum

Bagi melengkapkan misi, setiap peserta diminta berlari sejauh 3 kilometer bermula dan berakhir di Dataran Dewan Mawar.

Peserta pertama yang sampai ke garisan penamat ialah Irfan Fahimi Suhairi dengan catatan masa 11 minit.

 

Iklan

“Saya sangat kagum dengan acara ini kerana ia mengetengahkan tema pemakaian kain sarung. Ia sama sekali berbeza dengan penganjuran larian lain.

“Idea yang digarap sangat unik kerana ia sekali gus mengangkat martabat seni warisan Melayu agar tidak tenggelam dek zaman,” kata pelajar Fakulti Seni Bina itu.

Baca juga: Sambutan Ulang Tahun SinarPlus kali ke-3 Live Your Life havoc habis! Semua peserta teruja

Perasaan sama turut dirasai Tengku Noor Fariha Tengku Noor Hisham yang muncul sebagai johan bagi kategori wanita.

Kelebihan sebagai pemain ragbi universiti nampaknya memberi kelebihan kepada beliau apabila sampai melakukan larian selama 17 minit sahaja!

“Pada awalnya, saya hanya mengikut saranan rakan untuk menyertai program ini, saya fikir mengapa tidak?

“Saya turut menganggap program Sarong Heritage Fun Run X SinarPlus ini sebagai platform pemanas badan sebelum terlibat dalam siri pertandingan ragbi tak lama lagi,” katanya.

Bukan mereka berdua sahaja yang teruja, malah peserta lain yang tidak mencapai apa-apa kemenangan pun turut berasa sukacita.

Iklan

Antaranya ialah Muhammad Yushaiqal Daniel Zulkifli yang merupakan mahasiswa jurusan Ijazah Kejuruteraan Elektrik.

“Apa yang seronoknya, selain dapat jersi dengan rekaan menarik, kami semua berpeluang menyerlahkan lagi pemakaian dengan kain sarung,” ungkapnya yang mencadangkan program seumpama itu diangkat menjadi acara tahunan di UiTM.

Pendapat sama turut diutarakan rakan seuniversitinya, Alia Irdina Azman.
Pun demikian, beliau berharap aspek pematuhan masa dapat diimplemenkan.

Apa pun tahniah kepada penganjur kerana berjaya menghidupkan sebuah program berskala besar dan boleh diteruskan pada masa akan datang.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramThreadsYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang