BILA sebut pasal lalat, automatik kita akan fikir kotor dan jijik. Memang geram kalau ada lalat dekat dapur, cukup seekor sahaja dah buat rasa tak tenang!

Nak-nak pula ada bau yang menggoda macam belacan, ikan kering, budu, atau yang sewaktu dengannya. Memang meriahlah ia datang.

Dalam sekelip mata daripada seekor boleh jadi 10 ekor datang menghurung. Musykil betul, sensor apa lalat ni pakai untuk berkomunikasi dan panggil kawan-kawan dia datang sekali.

Bayangkan tengah syok-syok masak, tiba-tiba berkerumun datang lalat masuk dapur, duk hurung lauk-pauk semua.

Aduh! Risau betul kalau lalat tu hinggap pastu bertelur kat mana-mana dan kita pula tak nampak kan. Kalau termakan telur lalat tu, jawabnya memang sakit perutlah.

Lalat ini sejenis serangga terbang yang memang mengganggu kehidupan seharian kita. Rumah kalau dah ada lalat, memang rasa cam semua benda lalat tu hinggap dah kotor.

Sebabnya, lalat ni bukan berterbangan di udara je, tapi kat tong sampah, dalam longkang, atas bangkai dan macam-macam lah lagi.

Kat Malaysia ni, ada beberapa jenis lalat yang kita boleh jumpa seperti;

1) Lalat Rumah

Lalat ni yang selalu kita nampak kat dalam atau sekeliling rumah. Warna dia hitam dan ada empat garis gelap memanjang di bahagian atas badan.

Lalat rumah ni boleh dikatakan yang paling banyaklah dalam dunia ni. Kalau siapa yang tak pernah nampak tu, memang pelik amat!

2) Lalat Buah

Lalat ni dapat nama sebegitu sebab memang kerjanya menyerang buah-buahan dan sayur-sayuran yang mereka suka.

Siapa yang berniaga memang kena hati-hati dengan lalat buah ni. Silap hari bulan habis semua buah atau sayur tak boleh nak jual.

Lalat ni juga yang salah satu paling menjengkelkan, sebab dahlah ganggu orang bila masak atau makan, saiz kecil lebih sukar untuk bunuh kalau tangan
tak tangkas.

Boleh melihat apa yang ada di belakang, ini fakta tentang lalat

3) Lalat Hijau (Langau)

Selalunya lalat ni orang panggil langau atau langau hijau. Saiznya lagi besar daripada lalat biasa dan warnanya hijau berkilat.

Bunyi dengung dia pun lagi kuat daripada lalat rumah. Lalat hijau ni selalu ada dekat tong sampah luar rumah.

4) Lalat Daging

Lalat ni seperti namanya, adalah sejenis lalat yang memakan daging. Abdomennya berjalur hitam dan kelabu. Saiznya pula lebih kecil jika dibandingkan
dengan langau.

5) Lalat Kandang

Lalat ni selalu ada di kawasan penternakan macam kandang ayam. Berbeza dengan lalat yang lain, mulut lalat kandang ni lebih tajam dan boleh menghisap darah haiwan dan juga manusia.

Penternak kena memastikan yang lalat ni tak mengerumuni haiwan sebab ia boleh menyebabkan haiwan ternakan anemia dan lemah.

Ini pula fakta tentang lalat rumah;

  • Boleh membiak dengan cepat
  • Waktu hidup yang singkat
  • Ada sepasang sayap
  • Tak ada gigi
  • Aktif di siang hari
  • Ada makanan kesukaan tersendiri
  • Ada tempat istirahat yang disukai
  • Boleh melihat apa yang ada di belakangnya
  • Selalunya membiak di tempat yang kotor
  • Boleh mengotorkan dan mengkontaminasikan makanan

Cara halau lalat pula memang ada bermacam-macam. Paling senang sembur sahaja racun serangga, gerenti mati terus semua.

Tapi, kalau tengah masak kat dapur atau tengah rehat di ruang tamu, tak boleh nak sembur macam tu kan.

Antara cara yang boleh digunakan untuk menghalau atau menangkap lalat adalah;

1) Perangkap lalat

Perangkap lalat ni datang dalam pelbagai rupa. Yang biasa kita tengok dekat kedai tu, ada tergantung dekat siling dan menggunakan elektrik.

Perangkap tu ada lampu biru yang membuatkan lalat tertarik untuk pergi ke situ, dan bila lalat pergi, mereka akan di bunuh oleh kejutan elektrik.

Ada juga yang menggunakan jenis bekas yang menarik lalat menggunakan bau makanan, dan bila lalat masuk, mereka tak akan dapat keluar lagi.

Perangkap lalat buah pun menggunakan bekas juga tapi untuk memerangkap lalat buah jantan. Perangkap ni mengandungi feremon yang berfungsi untuk menarik lalat jantan untuk masuk ke dalam bekas.

Boleh melihat apa yang ada di belakang, ini fakta tentang lalat

2) Pelekat lalat

Pelekat ni menggunakan gam yang sangat kuat jadi bila lalat hinggap, mereka tak boleh lari terbang lagi. Ada yang sapu je gam tu pada kertas dan letakkan pada tempat yang lalat selalu datang.

Selain tu, ada juga yang gunakan pelekat yang siap sedia digunakan. Anda hanya perlu membuka perangkap yang memang dah ada gam dan letakkan di mana yang anda rasa selalu nampak lalat.

Pelekat ni pun berguna untuk cicak juga, boleh lah korang settle dua jenis perosak kat rumah!

3) Pemukul lalat

Selalunya pemukul lalat ini orang guna yang plastik tu. Nampak je lalat, terus siap sedia tunggu dia hinggap mana-mana dan ‘pap’ terus tepuk lalat tu dengan pemukul.

Kalau kena puas hati, tapi kalau tak kena sakit hati!

Iklan

Bagaimanapun, sekarang dah ada pemukul yang jenis boleh cas. Bentuknya macam raket badminton dan jaring-jaring tu bila dihidupkan akan ada eletrik.

Bila nampak lalat terbang, terus pukul lalat tu, dan mereka akan terus mati sebab kena eletrik.

Baca juga Mudah belanja tanpa tunai, peniaga dan pengguna jom ubah rentak!

Sementara itu, ini pula petua halau lalat menggunakan bahan semulajadi;

1) Limau purut dan cengkih

Potongkan limau purut kepada dua bahagian dan cucukkan cengkih pada limau tersebut. Letakkan di atas meja makan atau tempat banyak lalat.

2) Serai wangi

Banyak serangga termasuk juga lalat memang alah dengan bau serai wangi ni. Kalau dapat tanam pokok serai wangi ni kat kawasan luar rumah lagi bagus.

Caranya, kisar kering segenggam serai wangi yang dah dibasuh dan campurkan dengan secawan air. Biarkan semalaman sebelum ditapis dan masukkan air tapisan ke dalam botol spray.

Sembur sahaja pada pintu, tingkap, meja atau mana-mana tempat yang anda tak nak lalat datang dekat.

3) Hirisan timun

Tak sangka timun rupanya dibenci oleh lalat. Kalau tak nak lalat bertelur dalam tong sampah, letakkan beberapa hirisan timun di atas, di dalam atau di sekitar tong sampah.

Nak letak hirisan timun atas meja, atau tepi tingkap dan pintu pun boleh juga untuk menghalang lalat daripada masuk menghurung.

Iklan

4) Kulit kayu manis

Tumbukkan kulit kayu manis dan gunakan sebagai pewangi di dalam rumah. Bau daripada kayu manis ni akan menghalau lalat yang ada.

5) Daun kari

Lalat juga tak suka dengan bau yang datang daripada daun kari. Anda hanya perlu ambil secekak daun kari dan rendamkan dalam air.

6) Lilin

Petua halau lalat guna lilin ni selalu nampak di kedai makan. Bila lilin dinyalakan, haba tu yang akan membuatkan lalat lari.

7) Gantung air dalam plastik

Cara ni katanya boleh mengganggu penglihatan lalat. Masukkan air ke dalam bekas plastik jernih dan gantungkan pada tempat banyak lalat, atau di pintu dan tingkap untuk mengelakkan lalat daripada masuk. Ada juga yang meletakkan duit syiling untuk menambahkan silau.

8) Gantung CD lama

Kaedah ni sama macam menggantung air dalam plastik untuk menghasilkan silau. Mata lalat amat sensitif terhadap arah cahaya yang sentiasa berubah, jadi  pantulan cahaya dari CD boleh mengeliru dan menghalau mereka.

Sangatlah penting untuk menghalau lalat yang ada di rumah kerana ianya boleh membawa penyakit kepada korang dan juga keluarga.

Bolehlah mencuba cara-cara di atas, semoga bermanfaat!

Sumber: Propertyguru