Bukan sahaja tuntutan agama, ini 6 kelebihan puasa Ramadan dari sudut kesihatan

BULAN Ramadan yang dinantikan seluruh umat Islam telah tiba yang pastinya membawa rahmat dan keberkatan daripada ALLAH SWT.

Sudah menjadi kewajipan untuk merebut peluang dengan memanfaatkan sepenuhnya setiap detik dalam bulan Ramadan dengan perkara diredai ALLAH SWT.

Keberkatan bulan Ramadan bukan sahaja terletak pada waktu siang dengan berpuasa, tetapi berterusan dengan menghidupkan waktu malam dengan amal ibadah.

Selain manfaat dan ganjaran yang berlipat kali ganda di bulan mulia ini, rupanya berpuasa mempunyai manfaat dan kelebihan dari sudut kesihatan.

Beribadah sambil menyihatkan badan!

1. Membantu mengawal diabetes

Seperti yang kita tahu, diabetes adalah antara penyakit kronik paling kerap berlaku di Malaysia, bahkan dunia.

Kehadiran pelbagai jenis makanan kurang berkhasiat serta pengamalan gaya hidup kurang aktif atau sedentari banyak menyumbang kepada peningkatan kes diabetes.

Puasa sebenarnya mampu membantu mengawal penyakit diabetes. Satu kajian telah dijalankan di Qatar melibatkan 1301 pesakit diabetes muslim berumur lebih 18 tahun.

Hasil menunjukkan bahawa puasa di bulan Ramadan secara signifikan terkait dengan penurunan pada tahap kolesterol, tekanan darah dan glukosa darah dalam kalangan pesakit diabetes.

Namun, sebelum membuatkan keputusan untuk berpuasa, anda harus terlebih dahulu berbincang dengan doktor untuk melihat jika anda cukup sihat untuk berpuasa.

Ada beberapa keadaan yang membuatkan anda tidak digalakkan berpuasa bagi mengelakkan risiko tertentu.

Tapi jika doktor beri lampu hijau untuk berpuasa, jangan lepaskan peluang ini!

Baca juga Bukan saja manusia, kucing pun boleh dapat penyakit jantung, diabetes kalau obes

2. Mengurangkan faktor risiko penyakit kardiovaskular

Seperti diabetes, penyakit kardiovaskular juga merupakan penyakit kronik utama di Malaysia.

Antara contoh penyakit kardiovaskular ialah;

  • Penyakit arteri koronari (CAD), biasanya dimanifestasikan dengan serangan jantung.
  • Penyakit serebrovaskular (CVD) termasuk strok.
  • Penyakit arteri periferal (PAD).

Semua penyakit ini mempunyai faktor-faktor risiko termasuk;

  • Kolesterol darah
  • Tekanan darah sistolik
  • Berat badan
  • Indeks jisim badan (BMI)
  • Ukur lilit pinggang

Satu kajian telah dijalankan melibatkan 82 orang sukarelawan yang mempunyai sejarah penyakit kardiovaskular dalam tempoh 10 tahun yang lalu, berumur antara 29 hingga 70 tahun.

Keputusan kajian membuktikan penurunan yang signifikan pada faktor-faktor risiko yang disenaraikan di atas.

3. Menurunkan berat badan

Berat badan bukan sekadar penting bagi tujuan penampilan, tetapi juga untuk mengekalkan kesihatan badan.

Berat badan berlebihan sebagai faktor risiko bagi banyak penyakit termasuk kencing manis, tekanan darah tinggi dan masalah pernafasan.

Puasa telah terbukti mampu menurunkan berat badan. Sudah tentulah, anda menahan lapar lebih 10 jam.

Tapi jangan pula terkejut jika ada yang sebaliknya naik berat berat badan di bulan Ramadan sebab tidak menjaga pemakanan mereka.

Namun, cabaran yang lebih besar adalah selepas Ramadan untuk mengekalkan berat badan tersebut.

Baca juga Berkhasiat untuk otak, gigi & usus, kurma buah terbaik ibu boleh ajar anak makan

Iklan

4. Berpuasa melanjutkan usia kita

Siapa tidak mahu hidup lama? Kalau diberi peluang untuk hidup lebih lama sesaat pun, pasti kita akan ambil peluang tersebut.

Dalam satu kajian ke atas haiwan (monyet) menunjukkan bahawa puasa boleh melanjutkan usia dan mencegah penyakit yang terkait dengan penuaan.

Kajian ke atas manusia juga menunjukkan hasil yang sama. Jadi, berlaparlah hari ini untuk menikmati kehidupan di esok hari!

5. Mengurangkan simptom gastroesophageal reflux disease (GERD)

Penyakit GERD adalah disebabkan asid dan makanan di dalam perut tertolak semula ke saluran esofagus (tiub yang menghubungkan antara mulut dan perut) menyebabkan beberapa simptom, antaranya;

  • Pedih ulu hati
  • Mual
  • Muntah
  • Nafas berbau
  • Perut kembung

Puasa Ramadan ternyata mampu mengurangkan simptom-simptom ini berbanding bulan-bulan lain, menurut kajian yang dijalankan di Indonesia.

6. Sihat untuk otak

Iklan

Telah dibuktikan oleh banyak kajian bahawa kebaikan berpuasa dari segi kesihatan adalah bagus untuk otak juga kerana ia mampu meningkatkan daya tumpuan.

Fokus sebenarnya lebih baik semasa perut kosong berbanding dalam keadaan kenyang.

Perut yang penuh sebaliknya lebih membuatkan seseorang mengantuk. Puasa juga mampu mengurangkan risiko penyakit neurodegeneratif seperti penyakit Alzheimer, Parkinson dan Huntington. Begitu juga penyakit demensia atau mudah lupa.

Jadi, puasa hakikatnya membuatkan otak anda kekal segar dan lambat nyanyuk.

Terlalu banyak manfaat puasa yang ada, sama ada telah dibuktikan oleh kajian saintifik atau masih belum.

Jadi, jangan sia-siakan peluang yang ada di bulan Ramadan ini untuk merebut semua kelebihan berpuasa dari sudut kesihatan.

Sumber: Hello Health Group

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah yang menginspirasikan.