Beramal seperti Ramadan terakhir dalam hidup, Ustazah Asma’ kongsi checklist 10 amalan terbaik

PERNAHKAH kita terfikir, bagaimanakah agaknya andai Ramadan kali ini adalah yang terakhir dalam hidup kita?

Ramadan seterusnya, masih adakah peluang untuk kita mengumpul pahala berterawih dan bertadarus al-Quran?

Masih sempatkah untuk kita merebut peluang bertemu dengan malam al-Qadar?

Tiada siapa yang mampu untuk memberi kepastian, bagi setiap persoalan.

Jadi, mulakanlah persiapan kita seawal yang mungkin bagi bertemu dengannya.

Anggaplah ini kesempatan terakhir kita untuk menikmati setiap kemanisan ibadah di dalamnya.

Mulakan dengan melakukan 10 tip penting ini bagi menempuhi bulan Ramadan yang mulia;

1. Perbetulkan niat

Daripada Umar al-Khattab R.A :
إِنَّمَا الأَعْمَالُ بِالنِّيَاتِ، وَإِنَّمَا لِكُلِّ امْرِىءٍ مَا نَوَى

Maksudnya: “Sesungguhnya setiap amalan berdasarkan niat dan sesungguhnya setiap orang mengikut yang dia niat.
(HR Bukhari, hadis sahih)

• Jika hati dan niat kita telah terfokus hanya untuk mencari keredhaan ALLAH SWT, maka amal perbuatan kita selepas itu akan menjurus kepadanya juga.

• Persiapkan niat kita untuk menghadapi Ramadan ini hanya kerana ALLAH SWT.

LAFAZ NIAT PUASA BULAN RAMADAN

نَوَيْتُ صَوْمَ غَدٍ عَنْ أَدَاءِ فَرْضِ شَهْرِ رَمَضَانَ هَذِهِ السَّنَةِ لِلَّهِ تَعَالَى

Maksudnya: “Sahaja aku berpuasa esok hari pada bulan Ramadan tahun ini kerana ALLAH Ta’ala.”

2. Latih diri berpuasa

• Sebaiknya kita melatih diri untuk berpuasa sunat pada bulan sebelumnya; seperti puasa Isnin dan Khamis.

• Menurut sirah, Rasulullah SAW melipatgandakan kuantiti dan kualiti ibadat puasa.
Hal itu diriwayatkan oleh Saidatina Aisyah R.A yang bermaksud;

“Rasulullah banyak berpuasa (pada bulan Syaaban) sehingga kami mengatakan, baginda tidak pernah berbuka, dan kadang-kadang baginda terus-menerus berbuka hingga kami menganggap baginda tidak berpuasa langsung. Dan aku tidak pernah melihat Rasulullah berpuasa sebulan penuh kecuali puasa Ramadan. Dan aku tidak pernah melihat Rasulullah banyak berpuasa (di luar Ramadan) melebihi Syaaban.”(HR Muslim, hadis sahih)

Baca juga Kawal & elak serangan gastrik ketika puasa, doktor saran pesakit buat 6 perkara ini

Kredit foto : pexels

3. Pelajari hukum hakam puasa

• Dalami ilmu agama yang berkenaan dengan puasa contohnya hukum-hakam dan fadhilatnya. Jika ada kemusykilan, jangan malu atau segan untuk merujuk kepada mereka yang lebih arif.

• Tujuannya adalah agar apa yang akan diamalkan dalam ibadah puasa lebih bermakna dan bulan Ramadan lebih dihayati.

Umar bin ‘Abdul ‘Aziz menyebutkan, “Barangsiapa yang beribadah kepada ALLAH SWT tanpa ilmu, maka dia akan membuat banyak kerosakan daripada mendatangkan kebaikan.”

4. Lazimi Qiamullail

• Mujahadah untuk bangun malam sebelum tibanya Ramadan (beberapa kali seminggu).

• Hal ini bagi mengelakkan kita daripada liat untuk bangun malam di bulan Ramadan serta memudahkan kita untuk bangun bersahur.

Dr Sayyid al-Affani berkata;

“Kita mendapati golongan salaf yang terdahulu menyambut Ramadan dengan taubat nasuha kepada ALLAH SWT dan kembali kepadaNya dengan mengerjakan ketaatan, memperbaiki diri sama ada dalaman dan luaran, bersedia dengan bersungguh-sungguh untuk melakukan ibadah puasa, solat, membaca al-Quran, berzikir dan semua jenis ibadat.”

5. Berazam untuk tidak meninggalkan sahur

Daripada Anas bin Malik RA, beliau berkata, Nabi SAW telah bersabda yang bermaksud, “Bersahurlah kamu semua, sesungguhnya pada sahur itu terdapat keberkatan.” (HR Bukhari dan Muslim, hadis sahih)

Baca juga Buat sendiri solok lada tak susah pun, puas hati makan. Wanita tunjuk cara frozen untuk Ramadan

6. Bersederhana semasa berbuka puasa;

“Sesungguhnya orang-orang yang membazir itu adalah saudara-saudara syaitan dan syaitan itu adalah sangat ingkar kepada Tuhannya.” (Surah Al-Isra’ : 27)

7. Memperbanyakkan doa

• Berdoa supaya Ramadan kali ini dapat dimanfaatkan sebaiknya.

• Memohon pada ALLAH supaya diri dan keluarga sentiasa sihat sepanjang Ramadan.

Iklan

اللهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِي رَجَبٍ وَشَعْبَانَ، وَبَلِّغْنَا رَمَضَانَ

Maksudnya: “Ya ALLAH, berkatilah kami di bulan Rejab dan Sya’ban, dan sampaikanlah kami ke bulan Ramadan.”
(HR Ahmad, hadis sahih)

8. Melazimi sedekah

• Mulakan amalan bersedekah sedikit semi sedikit daripada sekarang.

• Sedekah tidak semestinya dalam bentuk harta. Ia termasuk dengan mempamerkan akhlak yang baik, senyuman dan raut wajah yang menyenangkan, meringankan beban dan membantu orang lain.

• Boleh juga kenal pasti jiran tetangga yang kurang berkemampuan dan hulurkan bantuan kepada mereka.

Daripada Ibnu Abbas radhiallahu’anhuma beliau berkata yang membawa maksud; “Rasulullah SAW adalah orang yang paling dermawan. Dan beliau lebih dermawan lagi di bulan Ramadan saat beliau bertemu Jibril. Jibril menemuinya setiap malam untuk mengajarkan al-Qur’an. Dan kedermawanan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam melebihi angin yang berhembus.” (HR Bukhari, hadis sahih)

Baca juga Wow! Rebut pelbagai diskaun menarik dalam buletin khas SinarPlus Istimewa Ramadan

Sunah Rasulullah sepanjang Ramadan
JANGAN lepaskan peluang untuk berdoa sepanjang bulan Ramadan kerana terdapat beberapa waktu mustajab di dalamnya.

9. Menghidupkan al-Quran di rumah

Nabi SAW bersabda, terjemahan: “Perumpamaan rumah yang disebutkan ALLAH SWT di dalamnya adalah seperti orang yang hidup (yakni rumah itu makmur), sementara rumah yang tidak disebutkan ALLAH SWT di dalamnya adalah seperti orang yang mati (yakni rumah itu terbiar).” (HR Muslim, hadis sahih)

• Mulakan membaca al-Quran dan lazimi zikir supaya ia menjadi satu kebiasaan.

• Memperkemaskan bacaan al-Quran dengan pelajari ilmu tajwid.

Iklan

• Bila Ramadan tiba, amalan ini diteruskan dengan beberapa penambahbaikan seperti membaca terjemahan dan mentadabbur ayat-ayatnya.

10. Merancang target Ramadan

• Target untuk khatam al-Quran (rancang berapa helai atau juzuk yang akan dibaca dalam sehari supaya dapat khatam sebelum Ramadan berakhir).

• Target untuk bersedekah di mana dan kepada siapa.

• Target untuk solat sunat (solat sunat rawatib, dhuha, tarawih, tahajud, taubat, hajat dan lain-lain).

Daripada Hasan al-Basri:

فَالْعَجَبُ مِنَ اللَّاعِبِ الضَّاحِكِ، فِي اليَوْمِ الَّذِي يَفُوْزُ فِيْهِ الْمُحْسِنُوْنَ

Maksudnya: “Maka amat menghairankan bagi mereka yang bermain-main dan bergelak ketawa (tidak bersedia untuk Ramadan) dalam hari orang-orang yang baik itu sedang berjaya (dalam mempersiapkan diri untuk Ramadan).
(Ibn Rajab, Bughya al-Insan)

Subhanallah. Nukilan Hasan al-Basri di atas sangat menyentuh sanubari. Maka sungguh rugilah bagi mereka yang tidak mempersiapkan diri untuk menuju bulan Ramadan al-Mubarak.

Semoga kita semua akan menempuh Ramadan kali ini dengan penghayatan yang berbeza.

Sumber: Ustazah Asma’ Harun

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.