TIADA sebarang bukti yang mengesahkan virus Covid-19 boleh tersebar melalui makanan atau bungkusannya, seperti yang dilaporkan media di China, baru-baru ini.

Teori yang menyatakan jangkitan penyakit Covid-19 boleh tersebar melalui bawaan udara juga belum mendapat ‘kata sepakat’ dalam kalangan saintis mahupun pakar perubatan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, berdasarkan kajian yang dilakukan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) virus itu hanya tersebar melalui titisan cecair atau kontak rapat dengan individu yang disahkan positif.

“Tidak mungkin seseorang itu boleh dijangkiti Covid-19 melalui makanan atau bungkusan makanan.

“Punca utama jangkitan ini adalah melalui titisan cecair atau kontak rapat. Sehingga kini tidak ada bukti yang menunjukkan Covid-19 boleh menular melalui makanan atau bungkusan makanan,” katanya.

WHO juga menasihati orang ramai agar tidak perlu bimbang virus tersebut boleh merebak melalui rantai makanan yang dibeli dari pasar raya.

Sebelum ini, isu itu menjadi perdebatan selepas dua bandar di China mendakwa menemui virus Covid-19 pada bungkusan ayam dan udang beku yang diimport dari Brazil.

Covid-19 belum terbukti mampu tersebar menerusi makanan!

Hal tersebut menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat sekiranya kiriman makanan boleh menyebabkan kluster baharu.

Sehubungan itu, apa yang perlu kita lakukan adalah mencuci tangan dengan bersih secara lebih kerap setiap kali mengendalikan makanan, memastikan peralatan memasak digunakan bersih dan sentiasa melakukan proses sanitasi pada permukaan tempat penyediaan makanan di ruang dapur.

Iklan

Makanan juga perlulah di masak dengan sempurna iaitu pada suhu yang mencukupi bagi mengelak makanan menjadi mentah.

Korang juga tidak digalakkan untuk menyimpan terlalu banyak bahan makanan di dalam peti sejuk dan perlu sentiasa melupuskan sisa makanan atau sampah bagi mengelak kehadiran haiwan perosak.

Pelbagai nasihat dan peringatan turut diberikan oleh kerajaan dan KKM kepada kita sepanjang menghadapi tempoh sukar ini.

Iklan

Antaranya memastikan kebersihan diri, kerap mencuci tangan dengan sabun, elak keluar rumah jika tidak ada urusah yang penting, amalkan jarakan sosial dan memakai penutup hidung dan mulut.

Bersama kita jalankan tanggungjawab bagi mencegah penularan Covid-19 ini!