AKHIR-akhir ini kes baharu Covid-19 mencapai puluhan ribu dengan kadar kematian yang tinggi. Tahukah korang berkongsi kenderaan meningkatkan risiko untuk mendapat jangkitan Covid-19?

Berkongsi kenderaan mungkin jarang dilihat sebagai aktiviti berisiko yang mendedahkan kepada jangkitan.

Bagi yang memandu kenderaan persendirian atau berkhidmat sebagai pemandu e-hailing atau teksi, korang sebenarnya mempunyai risiko untuk mendapat Covid-19 di dalam kereta jika terdapat penumpang lain yang membawa virus berkenaan.

Menurut Ketua Jabatan dan Pakar Perunding Kanan Obstetrik & Ginekologi di Jabatan O&G, Hospital Sultanah Bahiyah, Datuk Dr Mohd Rushdan Md Noor, virus Covid-19 boleh berjangkit menerusi titisan halus atau droplet di udara.

“Droplet yang dikeluarkan daripada pernafasan, pertuturan, batuk dan bersin seseorang yang dijangkiti.

“Droplet yang besar akan jatuh ke permukaan, tetapi droplet yang kecil dan aerosol akan berterbangan di udara sehingga satu jam,” tulisnya.

Justeru, beliau berkongsi beberapa tip boleh dilakukan untuk mengurangkan risiko dijangkiti Covid-19 apabila berkongsi kereta berdasarkan hasil kajian penyelidik di Universiti Swansea seperti berikut:

1.PAKAI PELITUP MUKA DAN FACESHIELD

Memakai pelitup muka tidak memberi jaminan 100% tidak dijangkiti tetapi ia sangat bermanfaat. Katanya, pembawa virus yang memakai topeng muka dapat mengurangkan penyebaran partikel virus sebanyak 90%.

“Pemakaian mask menurunkan kadar jangkitan dengan banyak.

“Memakai faceshield atau face cover juga dapat menurunkan lagi kadar penyebaran partikel virus dan jangkitan. Jadi anda ada hak untuk menyarankan penumpang lain memakai pelitup muka,” katanya.

Baca juga Pelitup Muka Jenis N95, Double Mask Lebih Cekap Tapis Zarah. Elak Jangkitan Covid-19

2. DUDUK SEJAUH MUNGKIN

Selain itu, setiap individu dalam kenderaan disaran menjarakkan kedudukan dengan penumpang lain.

“Duduk pada kedudukan sejauh mungkin daripada penumpang lain. Jangan kongsi kenderaan dengan ramai penumpang,” tulisnya.

3. CUCI TANGAN DAN PEMUKAAN DALAMAN KERETA

Dr Rushdan menyarankan pengguna kenderaan untuk mencuci tangan sebelum dan selepas menumpang kereta.

“Jika itu adalah kereta anda, cuci permukaan dan bahagian yang dipegang oleh penumpang termasuk handle dan tali pinggang keledar,” kongsi beliau.

4. BUKA TINGKAP 10 SAAT SEKALI

Kongsi beliau, kajian menunjukkan membuka tingkap selama 10 saat sekali sekala dapat mengurangkan pengumpulan partikel virus sebanyak 97%.

Katanya, apabila tingkap kereta dibuka, akan berlaku perbezaan tekanan di dalam dan luar kereta sehingga partikel di dalam kereta akan disedut keluar.

5. JIKA MEMANDU KURANG 30KM/JAM, BUKA SEMUA TINGKAP

Memandu kereta secara perlahan memberi peluang yang lebih besar kepada partikel virus untuk berkumpul. Jika seseorang memandu kurang daripada 30 km/jam, adalah lebih baik membuka kesemua tingkap

Jelasnya lagi, pemanduan yang perlahan juga menyebabkan perbezaan tekanan luar dan dalam lebih kecil, jadi kesan sedutan lebih rendah. Tetapi perlu ingat bahawa membuka kesemua tingkap boleh pula membawa mudarat lain iaitu pencemaran luar yang masuk.

6. BUKA TINGKAP BERTENTANGAN SETIAP 10 – 15 MINIT, SEMASA PENUMPANG BERSIN, BATUK

Beliau juga menjelaskan jika individu memandu kenderaan lebih laju, tidak perlu bertindak membuka kesemua tingkap.

Langkah membuka sekali sekala sudah memadai katanya. Ia boleh dilakukan dengan membuka dua tingkap yang bertentangan, misalnya satu di depan kanan dan satu di belakang kiri.

Langkah tersebut perlu diulangi setiap 10-15 mint selama 10 saat atau semasa penumpang bersin dan batuk.

Baca juga Saran Pakai Double Mask Di Tempat Sesak, Ini Cara Pakainya

Iklan

7. TEMPAT DUDUK HADAPAN RISIKO JANGKITAN RENDAH

Menurut Dr Rushdan, individu duduk di kerusi hadapan kereta mempunyai risiko jangkitan Covidd-19 yang lebih rendah di dalam kenderaan.

Katanya, ia adalah kerana arah pergerakan udara dari depan ke belakang akan mengumpulkan partikel di bahagian belakang kereta. Jika terpaksa duduk di belakang, pilih tempat duduk yang bertentangan dengan tingkap yang dibuka.

8. VAKSIN MINIMUM RISIKO JANGKITAN

Di samping kaedah-kaedah di atas, katanya pengambilan vaksin Covid-19 oleh pemandu dan akan menurunkan risiko jangkitan kepada tahap minimum.

9. ELAK KONGSI KERETA DENGAN ORANG TIDAK DIKENALI

Beliau berkata tidak berkongsi kereta dengan orang yang tidak kenali adalah langkah terbaik lebih-lebih lagi jika korang berada di tempat yang virus ini sudah merebak di dalam komuniti.

Namun jika terpaksa dilakukan, sebaik-baiknya gunakan topeng muka berlapis (double mask) atau digabungkan dengan faceshield. Berdoalah semoga tidak ada penumpang lain yang membawa virus.

Iklan

10. ELAK PASANG PENDINGIN HAWA

Katanya, Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat (CDC) juga mencadangkan jika perlu indivudu mengamalkan ‘car pooling,’ lakukannya bersama orang yang sama dan lebih digalakkan tidak memasang pendingin hawa.

Sebaliknya, kata beliau menggunakan aliran angin sahaja lebih baik untuk mengurangkan risiko jangkitan iaitu dengan membiarkan tingkap sentiasa dibuka.

Bagi korang yang tidak dapat mengelakkan diri daripada berkongsi kenderaan seperti pemandu e-hailing, pemandu teksi atau kenderaan awam lain perlu mengambil langkah berhati-hati.

Lakukan  sepuluh langkah di atas sebagai langkah berjaga-jaga bagi mengurangkan risiko perebakan dan jangkitan koronavirus.

Ikuti kami di Instagram!

Sumber: Facebook Kementerian Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Rushdan Noor