Demi insurans, suami sanggup subahat dengan penyamun rompak isteri, ini kejadiannya

BUKAN di luar negara, tapi kejadian di Pahang. Seorang lelaki sanggup merompak isterinya sendiri demi nak buat tuntutan insurans!

Dia bertindak bersubahat dengan tiga penyamun untuk memecah masuk rumahnya sendiri supaya dapat membuat tuntutan insurans palsu, di Taman Hijau, Karak, kelmarin.

Menurut Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar, ini kejadian sebenar;

1. Pihaknya menerima laporan daripada mangsa yang juga isteri kepada dalang rompakan itu jam 3.20 petang.

2. Mangsa berusia 42 tahun itu didatangi tiga lelaki tidak dikenali yang memakai topeng bertindak mengacukan parang terhadap mangsa lalu menggeledah rumah wanita terbabit.

3. Suspek kemudian melarikan diri menaiki kenderaan jenis Perodua Alza berwarna putih yang diletakkan di hadapan rumah terbabit.

4. Suspek berjaya melarikan sejumlah barang kemas dianggarkan bernilai RM16,000.

5. Ketika kejadian mangsa tinggal bersendirian sementara ibu, anak, dan suaminya pergi ke rumah saudara mereka.

6. Bertindak atas maklumat 12 jam selepas menerima laporan, polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong dan IPD Nilai menahan dua lelaki tempatan berusia 33 dan lelaki warga asing berusia 24 tahun.

Baca juga Kejamnya! Dirompak dan dirogol sebelum dihumban ke kebun, ini kronologi kes jenayah mengejutkan

kronologi kes rompak

7. Serbuan dijalankan jam 9.30 malam sekitar Nilai, Negeri Sembilan itu berjaya merampas kenderaan digunakan suspek semasa kejadian.

8. Semakan mendapati kedua-dua suspek warga tempatan terbabit mempunyai rekod lampau membabitkan kes rompak.

9. Hasil soal siasat mendapati suami mangsa seorang lelaki tempatan berusia 47 tahun disyaki bersubahat dalam kejadian rompakan itu. Suami mangsa dipercayai menjadi dalang utama rompakan ini dipercayai semata-mata bagi tuntutan insuran.

10. Suaminya turut ditahan dan kesemua mereka direman tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan (rompakan berkumpulan menggunakan senjata). Jika disabit bersalah boleh dihukum penjara mencecah 20 tahun dan disebat.

INFO

7 kelebihan memiliki insurans nyawa;

1. Membayar hutang

Kebanyakan individu memiliki hutang pinjaman perumahan, bantuan perniagaan, pinjaman peribadi, pinjaman PTPTN dan sebagainya. Hutang-hutang ini berkemungkinan besar akan diwariskan kepada ahli keluarga untuk dijelaskan setelah kematian anda. Oleh sebab itu, perancangan teliti perlu dibuat bagi mengelakkan ahli keluarga yang ditinggalkan tidak terbeban dengan hutang yang banyak.

Di sinilah peranan insurans nyawa – pampasan insurans yang diterima boleh digunakan untuk membayar atau menyelesaikan hutang tinggalan anda dan lebihan yang ada boleh digunakan untuk menampung kehidupan ahli keluarga buat sementara.

Baca juga Tergamaknya! Tolak isteri hamil 7 bulan tepi tebing untuk kaut duit insurans, lelaki dipenjara 30 tahun

2. Menanggung kos pengebumian

Selepas seseorang individu meninggal dunia, perkara pertama yang perlu disegerakan ialah urusan pengebumian jenazah.

Proses pengebumian jenazah boleh menelan kos dan belanja yang tinggi dan kos-kos ini perlu ditanggung oleh pusaka si mati.

Jika anda mempunyai perlindungan insurans nyawa, sekurang-kurangnya ahli keluarga anda boleh menggunakan wang tersebut untuk menanggung kos pengebumian anda tanpa perlu mengeluarkan wang simpanan yang ada ataupun membuat pinjaman peribadi untuk tujuan ini.

3. Kurangkan kadar cukai pendapatan

Sekiranya anda memiliki insurans nyawa, ia melayakkan anda untuk mendapat pengecualian cukai pendapatan sehingga RM3,000 untuk tahun semasa. Ini bermaksud, anda boleh jimatkan perbelanjaan anda setiap tahun jika anda beli insurans nyawa termasuk insentif pengurangan cukai lain yang diberikan oleh kerajaan seperti skim persaraan, caruman KWSP dan sebagainya.

Iklan

4. Kehidupan lebih tenang

Anda tidak boleh menjangkakan perkara yang akan berlaku kepada anda. Dengan memiliki insurans hayat, anda tidak perlu risau tentang ahli keluarga di bawah jagaan anda lagi sekiranya berlaku apa-apa musibah kepada anda seperti kecacatan kekal akibat kemalangan jalan raya dan sebagainya.

Secara asasnya, insurans hayat boleh dikatakan bertindak sebagai pelampung sekiranya kapal yang dinaiki karam. Ini bermaksud, ahli keluarga anda masih ada tempat untuk bergantung harap sekiranya anda tidak boleh kembali bekerja seperti biasa akibat kemalangan.

Meskipun jumlah pampasan yang diterima tidaklah terlalu besar, sekurang-kurangnya amaun yang diterima boleh membantu ahli keluarga anda berdiri semula dan meneruskan kehidupan seperti biasa.

Gambar fail.

5. Boleh guna sebagai pelan simpanan

Ada pelan insurans nyawa yang turut menawarkan gabungan antara perlindungan dan simpanan jangka panjang. Biasanya, jumlah simpanan adalah lebih tinggi jika dibandingkan dengan premium yang perlu anda bayar.

Anda boleh rujuk syarikat insurans anda untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai ciri simpanan tersebut sama ada pulangan simpanan tersebut dijamin atau tidak. Pencarum boleh mengeluarkan simpanan tersebut sebaik sahaja polisi tersebut matang.

Baca juga Insurans hayat, penyakit kritikal, ini 10 fakta berkenaan i-Lindung wanita wajib tahu

6. Tabung pendidikan anak-anak

Iklan

Insurans nyawa juga boleh dijadikan salah satu alternatif tabung simpanan pendidikan anak-anak anda. Sesetengah pelan insurans hayat ada menawarkan ciri simpanan yang menguntungkan. Sama seperti simpanan-simpanan lain, dana yang disimpan akan berkembang atau bertambah banyak saban tahun.

Jika anda memiliki pelan ini sejak anak anda kecil, dana ini semestinya mencukupi untuk membiayai pendidikan pengajian anak-anak sebaik sahaja usia anak anda meningkat dewasa. Meskipun begitu, setiap produk insurans nyawa menawarkan syarat dan tempoh yang berbeza. Pastikan anda semak dengan ejen insurans anda untuk penjelasan lanjut.

Namun biasanya, pencarum perlu menunggu sehingga pulangan tersebut melebihi jumlah premium yang perlu dibayar (biasanya ambil masa lebih kurang 30 tahun). Jika anda ambil keputusan untuk keluarkan wang simpanan tersebut sebelum tempoh matang, anda tidak boleh memaksimumkan keuntungan daripada simpanan tersebut.

7. Melindungi aset dan simpanan

Insurans hayat merupakan langkah persediaan jangka panjang yang amat penting untuk mengelakkan ahli keluarga atau waris terkesan dengan pemergian anda. Sekiranya anda memiliki insurans hayat, keluarga atau waris anda tidak perlu jual rumah atau menggadaikan apa-apa aset atau simpanan anda semata-mata untuk menjelaskan hutang-hutang anda.

Malah, keluarga anda berkemungkinan akan menerima lebihan dana (setelah hutang-hutang dijelaskan) jika premium yang anda ambil menawarkan perlindungan yang tinggi. Oleh sebab itu, rancang pelan perlindungan dengan betul.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramThreadsYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang!