DOA senjata buat orang-orang beriman manakala doa ibu bapa kepada anaknya merupakan salah satu bentuk doa yang mustajab. Justeru, ketika anak menghadapi situasi genting dan mencabar seperti peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang sedang berlangsung, angkatlah tangan berdoa kepada ALLAH agar urusan mereka dipermudahkan.

Bersama ini SinarPlus kongsikan doa, zikir dan amalan khas untuk calon peperiksaan serta ibu bapa daripada pendakwah Ustazah Asma’ Harun, pakar motivasi, Datuk Dr Mohd Fadzilah Kamsah dan penceramah bebas, Ustaz Don Daniyal Don Biyajid seperti berikut:

DOA IBU BAPA KETIKA ANAK HADAPI PEPERIKSAAN

Ustazah Asma’ berkongsi rantaian Asmaul Husna khusus sebagai amalan ibu bapa dan pelajar yang akan mula menduduki peperiksaan bertulis Sijil Pelajaran Malaysia 2023.

“Allahumma Ya Alim Ya Hakim Ya Roshid, sesungguhnya Engkaulah yang Maha Memiliki Ilmu, Maha Bijaksana dan Maha Cerdas.

“Kurniakanlah kepada anak kami keberkatan dan kefahaman terhadap ilmu yang mereka pelajari, kebijaksanaan dalam menjawab setiap soalan dengan betul dan kecerdasan dalam menyelesaikan kertas peperiksaan mengikut waktu yang ditetapkan.

“Allahumma Ya Baasit Yang Maha Melapangkan, lapangkan dada anak-anak kami Ya ALLAH agar mereka tenang ketika di dewan peperiksaan dan jelas ketika melihat soalan.

“Allahumma Ya Salam Ya Mukmin, Yang Maha memberi keamanan dan kesejahteraan, berikanlah kesihatan yang sempurna dan keamanan sepanjang tempoh ini.

“Allahumma Ya Mani’ (Yang Maha Mencegah), cegahlah mereka daripada penyakit lupa, lalai, cuai, was-was, resah gelisah, lemah semangat dan ketakutan yang berlebihan.

“Allahumma Ya Aziz Ya Qowiy Ya Matin, Ya ALLAH Yang Maha Perkasa, Maha Kuat dan Maha Teguh. Kurniakan kekuatan kepada jiwa, minda, mata telinga dan seluruh jasad mereka dalam mengharungi ujian dan cabaran peperiksaan ini.

“Allahumma Ya Quddus Ya Jalil, Yang Maha Suci dan Maha Jernih, bersihkan dan jernihkan hati dan fikiran mereka daripada bisikan syaitan dan nafsu yang melemahkan semangat mereka.”

Kredit foto: Bernama

DOA RASULULLAH SAW KEPADA IBNU ABBAS RA

Daripada Ibnu Abbas RA beliau berkata:

فَقَالَ: اللهُمَّ فَقِّهْهُ فِي الدِّينِ، وَعَلِّمْهُ التَّأْوِيلَ

Maksudnya: Rasulullah SAW mendoakan Ibnu Abbas dengan doa yang masyhur. “Ya ALLAH! Berikanlah kepadanya (Ibnu Abbas) kefahaman dalam agama serta ajarkanlah kepadanya takwil.” (Hadis Riwayat Ahmad)

Dalam pada itu, Ustazah Asma’ turut berkongsi doa yang diamalkan sendiri.

Doa daripada Nabi SAW, menjadi amalan saya sendiri daripada zaman belajar sehingga kini:

اللَّهُمَّ أَلْهِمْني رُشْدِي ، وَأَعِذْنِي مِنْ شَرِّ نَفْسِي

“Ya ALLAH, berilah ilham kepadaku berupa petunjuk yang jelas dan lindungi aku daripada keburukan diriku.” (Hadis Riwayat Tirmizi)

“Ya Rahman Ya Rahim Ya Ro’uf Ya Karim, jadikan peperiksaan ini sebagai medan untuk mereka dan kami menjadi hamba-MU dan khalifah-MU di bumi. Semoga dengan kecemerlangan peperiksaan ini membawa mereka dan kami lebih hampir kepada-MU.

“Aamiin Ya Mujib (Yang Maha Memakbulkan)

Baca juga: Doa dan zikir ibu bapa untuk anak hadapi peperiksaan, kekuatan daripada Asmaul husna

Baca juga: Waktu berdoa paling mustajab hari Jumaat, ibu-ibu jangan lupa gunakan sebaiknya

AMALAN IBU BAPA KETIKA ANAK MENJAWAB PEPERIKSAAN

Sementara itu, Datuk Dr Mohd Fadzilah Kamsah berkongsi 10 perkara amalan kepada ibu bapa kepada pelajar yang menghadapi peperiksaan.

Ujarnya, ketika anak-anak sedang menghadapi ujian besar amali atau menjawab kertas soalan di dewan peperiksaan, pada masa yang sama ibu bapa dan penjaga boleh melakukan amalan berikut:

1. Mengambil wuduk

2. Menghadap kiblat

3. Membaca dua kalimah syahadah (tiga kali) -“Daku mengakui bahawa tiada tuhan yang sebenarnya melainkan ALLAH dan daku mengaku bahawa Nabi Muhammad itu Pesuruh ALLAH!”

4. Membaca Surah Al-Fatihah (10 kali)

5. Baca Surah tiga Qul ( sekali)

6. Baca Surah Insyirah (sekali)

7. Membaca Selawat (10 kali)

8. Baca Surah Yaasin (sekali)

9. Baca Surah Insyirah (100 kali)

10. Niatkan di dalam hati supaya ALLAH SWT mempermudahkan anak-anak menjawab soalan dengan tenang, betul, tepat dan sempurna.

Amalan ini boleh dilakukan di mana sahaja seperti di rumah, tempat kerja atau mana-mana lokasi ketika anak-anak sedang berada di dewan peperiksaan.

Insya-ALLAH segala urusan akan dipermudahkan dan anak-anak akan dapat menjawab dengan tenang, menepati kehendak soalan dengan mudah serta baik.

Iklan

Baca juga: Ini tip kerohanian yang dianjurkan Islam ketika menghadapi peperiksaan

Baca juga: Ini doa ringkas ibu bapa boleh amalkan untuk anak menghadapi peperiksaan

IKHTIAR CALON KETIKA TERLUPA ATAU BUNTU

Terlupa apa yang sudah dipelajari atau tiba-tiba buntu tiada idea, Ustaz Don Daniyal Don Biyajid amalan yang boleh dilakukan para calon.

Menurutnya, amalan berselawat adalah ikhtiar untuk membuka ilham ketika menjawab soalan peperiksaan.

Ujarnya menerusi sebuah video tular, calon digalakkan untuk berselawat sebanyak 10 hingga 100 kali.

Iklan

“Letakkan pensel dan berSelawatlah sebanyak 100 kali. Ia mungkin (mengambil masa) kira-kira empat minit.

“Insya-ALLAH ALLAH akan memberikan ilham untuk menjawab,” kongsi ustaz don.

Selamat menjalani peperiksaan buat semua calon Sijil Pelajaran Malaysia 2023. Moga bermanfaat!

Sumber: Ustazah Asma’ Harun, Datuk Dr Mohd Fadzilah Kamsah, Ustaz Don Daniyal Don Biyajid (via Jentik Hati)

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramThreadsYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang!