Doktor kongsi detik cemas lihat wajah biru bayi tersedak susu. Berikut nasihatnya kepada semua ibu bapa
PASTINYA, bagi ibu bapa yang baru dikurniakan cahaya mata, persiapan kendiri termasuklah ilmu keibubapaan perlu dititik beratkan.
Penulis yakin, urusan menjaga bayi tidaklah semudah yang disangkakan.
Jika tersilap langkah, sudah tentu akan mengundang bahaya.
Begitulah satu kisah yang dikongsikan oleh Pegawai Perubatan Pediatrik, Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), Johor, Dr Redza Zainol menerusi Twitternya mengenai seorang bayi yang berusia 28 hari kerana tersedak susu.
Cerita Dr Redza, beliau telah menerima panggilan dari sebuah jabatan kecemasan di hospital yang memaklumkan kes berkenaan sebelum terus berangkat ke sana bersama seorang lagi rakan sekerjanya.
Tulis pegawai perubatan itu, wajah bayi sudah bertukar biru dan pernafasan juga menjadi laju.
"Apabila sampai sahaja, saya lihat dada bayi sudah 'berombak'.
"Nampak susah sangat bayi itu hendak bernafas, saya terus rasa berdebar-debar," kongsinya.
Kata Dr Redza, melalui imbasan X-ray telah membuktikan bahawa bayi itu sememangnya tersedak susu dan menunjukkan tanda-tanda aspiration pneumonia.
"Sebenarnya, aspiration pneumonia berlaku apabila anak kecil tersedak susu dan minuman itu terus masuk ke bahagian atas paru-paru.
"Bahagian berkenaan kemudiannya 'meradang' lalu dijangkiti kuman dan akan menyebabkan fungsi paru-paru merosot teruk," tulisnya lagi.
Bukan itu sahaja, Dr Redza turut memberitahu, jika keadaan itu menjadi sangat serius, bayi perlu segera diberi bantuan pernafasan.
Oleh itu, pesannya, ibu bapa perlu peka dan sentiasa beringat serta mengambil iktibar daripada kes tersedak susu kerana ia kerap berlaku ke atas bayi berusia enam bulan ke bawah.
Menerusi perkongsian yang sama, beliau turut melontarkan beberapa tip yang boleh diikuti oleh ibu bapa dan pengasuh bayi.
Berikut empat saranannya:
i) Jangan tinggalkan bayi bersendirian ketika sedang menyusu.
ii) Tegakkan badan bayi selepas selesai menyusu kerana saki-baki susu yang ada pada mulut akan ditelan oleh bayi.
iii) Baringkan bayi dalam keadaan mengiring sebelah kanan selepas menyusu.
iv) Sendawakan bayi selepas menyusu.
"Saya akui amalan-amalan tersebut nampak sedikit remeh, tetapi sebenarnya sangat ia penting untuk bayi anda," ujarnya.
Jadi, buat ibu bapa di luar sana, pastikan masalah tersedak susu tidak diambil mudah. Banyak kes sudah berlaku dan semuanya sangat menakutkan kita.
Artikel berkaitan: Jangan goncang susu beku yang telah dicairkan sebelum diberikan kepada bayi
Kena lebih berwaspada. Ambil pusing kata pepatah yang mengatakan jangan sudah terhantuk, baru nak terngadah.
Semoga perkongsian di atas memberi manfaat kepada anda semua.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang