Tun Mahathir, Tun Hasmah teruja bakal timang cicit, Ally Mukhriz hamil selepas derita endometriosis & lalui IVF. 'Alhamdulillah'
KHABAR gembira daripada cucu kepada negarawan ulung, Tun Dr Mahathir Mohamed iaitu Ally Mukhriz nyata mencuri perhatian apabila dia berkongsi berita kehamilan selepas melalui perjalanan mendapatkan zuriat selama setahun.
Pemilik nama Meera Alyanna Mukhriz itu menitipkan hantaran istimewa bersempena ulang tahun perkahwinan keenam bersama suami tercinta, Ezran Daud Cheah mengimbas kembali perjalanan rumah tangga mereka yang pada awalnya bahagia berdua.
"Anniversary ini membuatkan saya mengimbas kembali perjalanan rumah tangga.
"Beberapa tahun pertama kami gembira mencipta memori berdua sehinggalah merasakan masih banyak kasih sayang yang ingin dikongsi," titip Ally yang merupakan anak kepada mantan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Selepas beberapa tahun berumah tangga, pemegang Ijazah Sarjana dalam bidang Pemasaran Strategik, Imperial College Business School London itu memulakan pemeriksaan kesuburan dan disahkan mengalami masalah endometriosis pada tahun 2024.
"Selepas melalui rutin pemeriksaan fertiliti, saya didiagnosis endometriosis dan dimaklumkan untuk memulakan keluarga sendiri bukan perkara yang mudah.
"Cyst pada endometriosis saya menyebabkan folikel telur agak sukar untuk diakses. Saya menjalani prosedur laparoskopi untuk membuangnya pada April 2025," titip Ally.
Perjalanan rawatan kesuburan persenyawaan in-vitro hanya dimulakan selepas itu iaitu pada Jun 2025 dan seterusnya prosedur pengambilan telur pada 11 Julai 2025.
Ally tidak lama selepas itu menerima keputusan ujian air kencing positif hamil dan memerlukan pengesahan menerusi ujian darah memandangkan Ally kerana masih menggunakan ubat-ubatan.

"Saya sangat gembira tetapi bimbang akan kecewa jika keputusan ujian darah negatif. Saya akan beritahu suami saya bahawa kami akan memiliki anak," tutur Ally dalam sebak.
Ternyata rezeki zuriat sudah tertulis dan segala usaha membuahkan hasil. Ally kemudian mendapat pengesahan tentang kandungannya menerusi ujian darah dan imbasan.
Berita kehamilan berkenaan dimaklumkan pada penghujung tahun lalu sekali gus menjadi penutup paling istimewa 2025.

Berita kehamilannya dikongsikan kepada ahli keluarga termasuk datuk dan nenek tercinta, Tun Dr Mahathir dan Tun Hasmah.
Mengumumkan berita itu pada waktu makan bersama, Tun M sempat menepuk meja tanda gembira dan mengucapkan tahniah. Tun Hasmah pula tidak ketinggalan menuturkan kesyukuran kandungan Ally.
"Alhamdulillah," katanya.
Ally menerusi hantaran yang sama memaklumkan bakal menyambut kelahiran anak sulungnya pada Ogos 2026.
"Ezzy, enam tahun lalu saya bersama awak melalui percintaan yang begitu berliku.
"Saya tak pernah mencintaimu lebih dari sekarang ini dan tidak sabar untuk melihat awak menjadi seorang ayah," titip Ally.
Terdahulu, Ally dan Ezran melangsungkan perkahwinan pada 20 Februari 2020 selepas mengikat tapi pertunangan pada 20 April 2019.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
