ALHAMDULILLAH! Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri hari ini telah dibenarkan keluar dari hospital.

Perkara tersebut dikongsikan sendiri oleh beliau di laman Facebook hari ini.

“Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga Hari Kebangkitan.

“Saya telah dibenarkan untuk keluar dari wad pada petang ini kerana telah disahkan pulih sepenuhnya daripada COVID-19.

الحمد لله الذي بنعمته تتم الصالحات
“Segala puji bagi Allah yang mana dengan nikmatnya sempurna segala kebaikan.”

Beliau berkata, pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menasihatkannya untuk mengutamakan rehat di rumah sehingga selesai Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Iklan

“Terima kasih kepada YAB Perdana Menteri, Ahli-Ahli Jemaah Menteri, para ulama’ di seluruh dunia yang menghantar pesanan mesej kepada saya dan semua rakyat Malaysia yang mendoakan saya.

“Tidak lupa kepada Menteri Kesihatan, Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia dan warga KKM khususnya di Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban.

“Buat masa ini, saya disarankan untuk tidak bertemu sesiapa,” katanya yang  disahkan positif Covid-19 pada 5 Oktober lalu.

Artikel berkaitan: “Kepada Allah saya berserah dan memohon pertolongan” – Dr Zulkifli Mohamad

Iklan

Menurutnya, sebarang pertemuan adalah melalui sidang video sahaja.

“Saya akan terus memantau semua gerak kerja dan laporan agensi-agensi agama di bawah tanggungjawab saya dari rumah. Apa-apa makluman umum akan disampaikan melalui media sosial saya.

“Fokus utama saya buat masa ini adalah penyaluran bantuan kepada kelompok sasar terutamanya di WP Kuala Lumpur, WP Putrajaya dan Selangor.

“Ini kerana PKPB telah bermula dan bantuan-bantuan perlu disalurkan dengan sesegera mungkin.

“Semoga Allah SWT melimpahkan kebaikan, keberkatan dan keharmonian kepada Malaysiaku yang tercinta. Moga perpaduan kita rakyat Malaysia terus terpelihara. Sentiasa ingat pepatah lama, “Carik-carik bulu ayam, lama-lama bercantum juga,” ujarnya.

Beliau turut mendoakan semoga rakyat Malaysia yang menghidap Covid-19, segera sembuh dan dapat kembali meneruskan kehidupan bersama-sama keluarga tercinta.