Ini langkah persediaan sebelum anak nak masuk asrama. Nombor 3 & 4 ramai ibu bapa terlepas pandang
BERTAHUN anak tinggal bersama ibu bapa tiba-tiba anak menyatakan hasrat untuk masuk ke asrama apabila tingkatan satu.
Rasanya macam masih kecil lagi untuk dilepaskan tetapi jika itu kemahuan anak-anak, ibu bapa boleh sahaja berikan dorongan kepada mereka.
Walaupun sedih bakal berpisah, namun ibu bapa kena alert dan lakukan beberapa persediaan kepada anak-anak dalam memastikan mereka mudah menyesuaikan diri dengan persekitaran baharu kelak.
Jom kita lihat apa persediaan yang boleh dipraktikkan daripada sekarang.
1) Belajar berdikari
Boleh mula dengan meminta anak membantu membuat kerja rumah. Ibu bapa tunjukkan kepada anak bagaimana untuk membasuh baju sendiri, cara yang betul untuk menggosok dan lipat baju serta cara untuk mengemas bilik dengan sebaiknya.
2) Disiplin dan tanggungjawab
Masih sempat untuk ibu bapa mengajar anak untuk menepati masa, bangun tidur awal, mengikut waktu makan dan tidur yang ditetapkan, solat berjemaah, menjaga barangan keperluan sendiri dan yang paling penting ikut segala peraturan yang telah ditetapkan.
3) Bersosial dengan cara baik
Adakalanya anak-anak sejenis suka menyendiri atau kurang peramah. Golongan ini agak sukar untuk bergaul dan ‘membuat’ rakan baru namun jika diasah sebaiknya mungkin mereka boleh berubah. Katakan pada anak untuk rajin bertegur sapa dengan rakan sebilik, rakan sekelas serta senior. Pilih rakan yang baik dan jangan adaptasi perkara negatif yang boleh membuatkan anak tersingkir separuh jalan.
4) Had pergaulan
Walaupun sudah berumur 13 tahun tetapi mereka tetap masih ‘kanak-kanak’. Ada antaranya yang kurang faham tentang adab pergaulan. Bila masuk asrama, anak-anak akan bertemu dengan rakan-rakan pelbagai latar belakang keluarga jadinya pesan sebaiknya kepada mereka untuk tahu dan faham tentang pergaulan bebas, jangan sesekali biar kawan sentuh bahagian sensitif anggota badan tanpa sebab walaupun untuk bergurau serta tahu pendidikan seksualiti.
5) Kongsi segalanya
Jika ibu bapa mempunyai hubungan yang akrab dengan anak-anak maka ianya tidak menjadi masalah tetapi jika sebaliknya, ibu bapa berperanan penting untuk berpesan pada anak agar kerap menghubungi ibu bapa untuk berkongsi segala cerita. Ada asrama yang boleh membawa telefon bimbit dan ada asrama yang hanya boleh menggunakan telefon awam. Sebelum anak masuk ke asrama, ibu bapa bolehlah usaha untuk merapatkan hubungan dengan mereka terlebih dahulu.
6) Rindu pada ibu bapa
Perkara biasa apabila berjauhan dengan keluarga ialah rasa rindu yang bukan kepalang. Apatah lagi jika anak-anak ditempatkan di asrama yang jauh beratus kilometer dari rumah. Pasti ada waktunya anak akan menangis menanggung rindu. Kadang-kadang mengambil masa dua ke tiga bulan untuk anak mengawal emosi. Apabila mereka sudah jumpa rakan-rakan yang sekepala, pastinya rasa rindu itu akan berkurangan.
Tinggal di asrama untuk anak-anak ada baik dan buruknya. Ibu bapa kena ingat, keyakinan dan doa yang baik pasti akan mengiringi anak-anak walaupun mereka tinggal berjauhan. Ini semua yang terbaik untuk pendidikan dan masa depan mereka. Tidak salah untuk memberi sokongan dan menghormati pilihan anak-anak.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang