Karipap sejuk beku air tangan penghuni penjara jadi ‘kegilaan’ ramai, rupanya boleh masuk membeli, peguam ini kongsi ‘tour’

No Image Caption
A
A
A

KITA sudah pun masuk 12 Ramadan hari ini. Tak mahu pening-pening nak berebut dan beratur panjang untuk beli biskut raya, lebih baik anda mula beli sekarang. Masalahnya tengah bulan pula, gaji belum masuk lagi. Apa kata anda beli biskut raya di Penjara Kajang.

Sebut penjara sahaja, ramai yang pelik. Bolehkah masuk ke dalam sesuka hati? Bukan untuk Ramadan sahaja. Untuk bulan lain juga anda boleh masuk ke kawasan galeri di Penjara Kajang untuk membeli hasil pembuatan penghuni penjara di sini.

Melalui perkongsian seorang pempengaruh TikTok dan juga peguam, Tun Laila, orang awam boleh masuk ke kawasan ini untuk membuat belian. Bukan hanya di Penjara Kajang malah di semua penjara seluruh Malaysia terdapat pusat jualan untuk membeli barangan yang dibuat oleh penghuni di situ.

“Seluruh penjara di Malaysia ini, ada produk-produk yang dihasilkan oleh penghuni seperti hasil masakan, hasil jahitan, hasil buatan seperti perabot dan perhiasan rumah, hasil tenunan dan semua ini dibuka untuk belian oleh orang awam.

“Bila anda membeli produk-produk mereka, dalam masa yang sama, anda memberi sokongan kepada mereka dalam bentuk kewangan. Jika ada lebihan hasil jualan, penghuni penjara dapat lah merasa makanan yang sedap masa raya nanti” ujarnya.

No Image Caption

Harga biskut raya yang dijual juga pada harga mampu milik. Biskut cinta hati dahlia RM15 sahaja sebalang. Lebih murah daripada yang dijual di luar sana. Terdapat juga jualan baju batik dan hiasan rumah. Untuk pengetahuan anda, mereka juga menerima tempahan untuk membuat baju raya.

Produk yang paling popular di penjara ini adalah makanan sejuk beku. Melalui komen-komen netizen dalam video tersebut, karipap sejuk beku merupakan jualan paling laris sehingga ada yang perlu menunggu berbulan-bulan untuk mendapatkan stok.

Bukan sahaja biskut raya, mereka juga membuka mini bazar Ramadan di khemah yang kecil yang menjual pelbagai jenis juadah berbuka puasa seperti bihun sup, daging harimau menangis, kari ikan tongkol dan telur serta minum-minuman seperti jus tembikai, air tebu dan bermacam lagi.

Di dalam penjara itu sendiri, ada bengkel dan juga kelengkapan untuk menghasilkan semua produk ini. Bukan sahaja dapat mengisi masa lapang penghuni malah ia juga memberi kemahiran baru buat mereka. Sekaligus dapat membantu mereka untuk menjana pendapatan apabila keluar dari penjara kelak.

Jadi, tunggu apa lagi? Segera datang ke sini kerana hari Sabtu dan Ahad juga dibuka untuk orang awam. Datang awal supaya tidak perlu bersesak dengan orang lain.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang