Temasya Oghang Kedah 2024 lebih meriah, cipta Malaysia Book of Records Pengiring Tetamu Kehormat Teramai 1,000 pesilat
TEMASYA Oghang Kedah (TOK) 2024 kini kembali lebih meriah dengan pelbagai pengisian baharu seperti festival makanan tular, penampilan pempengaruh dan TikToker terkenal.
Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Mohd Amran Mohd Haris berkata, pihaknya menyasarkan kehadiran seramai 250,000 pengunjung bagi menggamatkan lagi temasya tersebut.
“Secara keseluruhan TOK 2024 bukan sahaja bertujuan melestarikan warisan budaya Kedah tetapi untuk memperkukuhkan sektor pelancongan dan ekonomi tempatan.
“Program ini menggalakkan penyertaan komuniti tempatan termasuk penggiat seni dan usahawan kecil untuk menyumbang kepada usaha mempromosikan warisan budaya negeri,” katanya.
Temasya anjuran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Kumpulan Bangsawan Sri Kedah dengan kerjasama Kerajaan Negeri Kedah, JKKN Kedah, Persatuan Seni Silat Cekak Pusaka Hanafi Negeri Kedah serta Nabilah Bahrin Group Sdn Bhd itu berlangsung dari 7 hingga 10 November, bertempat di pekarangan Stadium Darul Aman, Alor Setar, Kedah.
Seiring kempen Tahun Melawat Kedah 2025 dan langkah awal memperkenalkan Tahun Melawat Malaysia 2026, ia bukan sahaja memberi manfaat kepada rakyat di negeri tersebut.
Malah, ia membawa impak positif kepada pelancong dalam dan luar sebagai salah satu usaha merancakkan lagi industri pelancongan negeri Kedah.
BORAK SELEBRITI - AINA ABDUL
Menarik lagi, majlis perasmian TOK 2024 pada 8 November lalu disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan Negeri Kedah, Datuk Salleh Saidin.
Hadir sama, Ketua Setiausaha MOTAC, Datuk Roslan Abdul Rahman.
Selepas lima tahun tiada pelaksanaan, temasya tersebut kembali dengan kerjasama Fantastic Food Festival By Kak Nab 8.0.
Paling mencuri tumpuan, sekali gus menjadi kelainan utama TOK 2024 kali ini ialah pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBR) Pengiring Tetamu Kehormat Teramai yang melibatkan himpunan 1,000 pesilat daripada pelbagai perguruan.
Selain itu, temasya berkenaan diserikan lagi dengan persembahan Tarian Tradisional Inang Ghenek oleh 30 penari cilik dan persembahan muzik tradisional pelbagai kaum.
Bagi merancakkan lagi halwa telinga, TOK 2024 mempersembahkan barisan artis jemputan seperti Usop Mentor, Datuk Nash, Hakiem Rosli, Kumpulan Kristal, Cat Farish, Syikin Maembong dan artis tempatan iaitu Along Mentor, Zatul Mentor serta DJ Ed.
Pelbagai aktiviti sampingan turut diadakan termasuk Pameran Tanjak Negeri Kedah, Demonstrasi Masakan Oghang Kedah, pencungkilan bakat melalui sukan rakyat dan permainan tradisional.
Antara pertandingan yang dianjurkan seperti Lenggok Oghang Kedah, sepak raga tuju, silambam, congkak, batu seremban dan banyak lagi.
Segmen interaktif seni ‘Drum Circle’ juga menjadi tarikan pengunjung apabila mereka berpeluang mempelajari teknik bermain gendang.
Santapan Rohani Malam Kedah Berselawat Serata-Rata juga mempersembahkan ulama terkemuka seperti Syeikh Zainul Asri Romli, Syeikh Mahmoud Al Wasobi, Abdul Rahman, Mohamad Moqti Ahmad dan Wan Muhammad Amir Wan Abd Razak.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang