PENULARAN Covid-19 benar-benar memberikan kesan kepada masyarakat kita. Setakat 25 Ogos 2021, sebanyak 14, 818 kes kematian pesakit Covid-19 direkodkan di negara ini.

Manakala jumlah keseluruhan kes positif pula ialah sebanyak 1,616,244 kes.

Wabak ini tidak sekadar memberikan tamparan hebat dari sudut ekonomi negara, malah turut meragut kasih sayang dan perhatian yang diperlukan anak-anak.

Menurut Kementerian Pendidikan Malaysia menerusi laporan Berita RTM, seramai 1,517 pelajar sekolah disahkan kehilangan ibu bapa sejak Mac 2020 hingga hingga Ogos 2021.

Ia termasuk sama ada kehilangan kedua-dua ibu bapa atau salah seorang daripadanya akibat virus Covid-19.

KPM berkata fakta tersebut amat mendukacitakan dan perlu diambil langkah pembelaan sewajarnya.

Menurut Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), jumlah tersebut dianggap amat mendukacitakan dan perlu diambil langkah pembelaan sewajarnya.

KPM melalui Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) serta pihak pengurusan sekolah sentiasa peka terhadap nasib pelajar yang kehilangan ibu bapa ini.

Sehubungan itu, KPM telah menubuhkan pasukan khas iaitu Kebajikan Murid Guru di peringkat kementerian bagi memastikan tindakan dan bantuan segera disalurkan kepada golongan terbabit.

Pelbagai bantuan akan disalurkan dengan segera antaranya bantuan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin dan bantuan bekalan makanan di bawah Rancangan Makanan Tambahan bagi mereka yang layak serta penempatan pelajar ke asrama di bawah kelolaan KPM.

Iklan

Dalam masa sama, kementerian turut mengambil inisiatif membuka penempatan kanak-kanak yang memerlukan perlindungan akibat COVID-19 di tujuh institusi mengikut zon seluruh negara.

Terdahulu, Datuk Seri Rina Harun yang menjawat jawatan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat memaklumkan 33 orang kanak-kanak di seluruh negara dikenalpasti kementerian itu sebagai yatim piatu susulan kematian ibu bapa akibat jangkitan Covid-19.

Katanya, berikutan itu pihaknya akan memastikan kebajikan kanak-kanak itu terjaga dengan memberi perlindungan kepada mereka bagi memastikan masa depan mereka terjamin.

Menurutnya, kementerian mengambil inisiatif membuka penempatan kepada kanak-kanak yang memerlukan perlindungan akibat Covid-19 di tujuh institusi mengikut zon seluruh negara.

Institusi itu adalah di Rumah Kanak-Kanak (RKK) Pokok Sena, Taman Sinar Puteri (TSP) Batu Gajah, Melaka, TSP Cheras, Rumah Budak Lelaki (RBL) Melaka, RKK Mini Kelantan, TSP Kota Kinabalu dan TSP Kuching sebagai penempatan kanak-kanak sama ada secara sementara atau tetap.

Iklan

Kematian ibu bapa memberikan kesan yang besar kepada kanak-kanak dan remaja. Paling buruk ialah kesedihan dan keperitan yang terpaksa dilalui mereka.

Kesan seumur hidup kehilangan ibu bapa semasa kecil bergantung kepada hubungan mereka dengan ibu bapa sebelum ini dan sokongan yang diterima selepas kematian.

Sumber: Berita RTM, Sinar Harian, Parenting For Brain

Foto: Skuad Pengurusan Jenazah – SPJ Malaysia