BARU-BARU ini negara digemparkan isu berkaitan laman web Sugarbook.

Ia sekali gus mendedahkan ramai pelajar pengajian tinggi yang terlibat dengan aktiviti sosial sehingga membawa kepada kancah pelacuran melalui aplikasi tersebut.

Namun, tinjauan terhadap laman web sensasi tersebut tidak lagi boleh diakses kerana disekat oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKKM).

Turut terpapar di pautan tersebut “laman ini disekat kerana atas kesalahan didakwa melanggari peruntukan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998”.

Berikutan itu, SKMM turut meminta orang ramai berhati-hati ketika melayari laman web mencari teman seperti Sugarbook yang kini sedang disiasat.

SKMM mengambil berat dengan gimik pemasaran laman cari teman Sugarbook baru-baru ini yang mendakwa semakin ramai wanita Malaysia, terutamanya penuntut universiti, menawarkan diri sebagai Sugar Baby di laman aplikasi tersebut.

Iklan

“Dakwaan seperti yang terdapat dalam gimik pemasaran itu perlu disiasat untuk disahkan kerana profil pengguna boleh diolah sesuka hati untuk tujuan-tujuan yang berlainan termasuk untuk memperdaya mangsa.

“Selain daripada Sugarbook, terdapat pelbagai aplikasi lain yang menawarkan perkhidmatan “dating service” atau percintaan dalam talian.

“Pengguna harus sedar bahawa mereka mudah tertipu dan terdedah kepada risiko jenayah siber sekiranya tidak mengambil langkah keselamatan siber dan kawalan kendiri.

“Risiko scam percintaan (love scam) akan tertambah dengan terdedah juga kepada malware dan spyware, kebocoran maklumat peribadi dan gangguan seksual,” katanya dalam satu kenyataan.

Hati-hati terjebak laman pencarian teman seperti Sugarbook, berisiko terkena 'love scam'

Sehubungan itu, SKMM menasihatkan pengguna aplikasi internet agar sentiasa berhati-hati memberikan maklumat peribadi ketika melayari media sosial atau aplikasi dalam talian, terutamanya untuk berhubung dengan orang-orang yang tidak dikenali contohnya di laman pencarian teman.

Iklan

Artikel berkaitan: “Henti segala platform dan ruang elak pelajar universiti terjebak Sugarbook”

“SKMM akan terus memantau dan menyiasat bersama PDRM aplikasi Sugarbook dan akan mengambil tindakan terhadap pengguna dan pemilik platform itu sekiranya didapati melakukan aktiviti yang melanggar undang-undang negara ini.

“Jika terdapat unsur kegiatan pelacuran, tindakan lanjut akan dijalankan oleh PDRM.

“Ibu bapa dan penjaga pula dinasihatkan untuk sentiasa mengawasi tingkah laku dalam talian anak di bawah jagaan masing-masing dan peka dengan perubahan gaya hidup yang boleh menimbulkan keraguan,” katanya.