MINGGU ini negara kita digemparkan dengan pendedahan pelajar pengajian tinggi yang terlibat dengan aktiviti sosial sehingga membawa kepada kancah pelacuran melalui aplikasi Sugarbook.

Justeru, Timbalan Dekan (Penyelidikan & Inovasi) Fakulti Pengajian Quran Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia, Dr Ahmad Sanusi Azmi tampil membuat teguran itu menerusi laman sosial Facebook miliknya semalam.

Menurutnya, barangkali ada yang berkata, mereka yang terlibat ini kebanyakkannya adalah non-Muslim. Namun, pada hakikatnya kita tidak boleh memandang ringan mengenai isu ini.

“Ini kerana kegiatan pelacuran dalam kalangan golongan berpendidikan memberikan gambaran tentang keruntuhan aset penting negara malah merencana kehancuran institusi rumah tangga.

“Perkara ini pernah disabdakan oleh Rasulullah. Baginda SAW pernah menegaskan bahawa fenomena zina akan membawa kepada kebinasaan. Pembudayaan zina dalam kalangan mahasiswa menggambarkan rosaknya masa hadapan sesebuah negara.

“Sabda Rasulullah bermaksud sekiranya berleluasanya perbuatan zina dan riba dalam sesuatu kawasan, maka mereka telah mengundang azab Allah kepada mereka.” (HR al-Tabrani, dinilai sahih oleh al-Albani),” tulisnya.

"Henti segala platform dan ruang elak pelajar universiti terjebak Sugarbook"

Katanya, malah pertumbuhan dan peningkatan budaya zina dalam kalangan mahasiswa berupaya menghasilkan anak-anak zina.

“Ini adalah seakan satu proses ke arah pembinaan keruntuhan sesebuah negara bangsa.

“Sabda Rasulullah yang bermaksud umat ini akan sentiasa berada dalam keadaan yang baik selagimana tidak tersebarnya anak-anak zina. Sekiranya berleluasanya anak-anak zina, maka dibimbangi Allah akan merencana azab yang lebih luas buat mereka (HR Ahmad),” ujar beliau.

Sementara itu, Sugarbook turut mendedahkan senarai 10 universiti di Malaysia termasuk dua universiti awam, yang terlibat menjadi ‘Sugar Baby’ dengan seramai 12,705 pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) terjebak dalam kancah tersebut.

Iklan

Ini 10 universiti di Malaysia yang pelajarnya paling ramai menjadi ‘Sugar Baby’;

1. Sunway University: 3,105 pelajar.
2. INTI International University: 2,624 pelajar.
3. Taylor’s University: 1,696 pelajar.
4. TAR University College: 1,600 pelajar.
5. Universiti Malaya: 1,280 pelajar.
6. Monash University: 960 pelajar.
7. LimKokWing University: 864 pelajar.
8. University of Nottingham: 832 pelajar.
9. Multimedia University: 768 pelajar.
10.Universiti Teknologi MARA: 704 pelajar.

Baca juga Suami tanggung dosa apabila isteri enggan tutup aurat? Ini penjelasannya…

Iklan

Dr Ahmad Sanusi turut menggesa semua pihak memainkan peranan sewajarnya.

“Justeru segala platform dan ruang yang membawa kepada pembudayaan keji ini haruslah dihentikan. Kita tidak mahu melahirkan pelacur dalam kalangan pelajar pengajian tinggi.

“Semua pihak hendaklah menjalankan peranan masing-masing dalam menghancurkan budaya zina ini. Semoga Allah membimbing kita,” ujarnya.