Hukum hadiri majlis perkahwinan mengandungi maksiat, 17 info perlu tahu
Hukum hadiri majlis perkahwinan mengandungi maksiat, 17 info perlu tahu
UNDANGAN ke majlis-majlis atau keraian seringkali mengeratkan hubungan kekeluargaan dan persahabatan.
Majlis perkahwinan atau al walimah misalnya adalah untuk meraikan pasangan yang baharu mendirikan rumah tangga.
Pun begitu, timbul persoalan sekiranya majlis yang dihadiri itu mengandungi unsur maksiat, adakah kita perlu menghadirinya?
Baca juga: Meriahnya, ramai ingatkan majlis kenduri kahwin tepi jalan, rupa-rupanya...
Berikut 17 info anda perlu tahu di sisi Islam:
1-Al-Walimah diambil dari perkataan الولْم yang membawa erti berhimpun atau berkumpul. Ia dinamakan sedemikian kerana kedua pasangan suami isteri berkumpul padanya (majlis perkahwinan).
2-Kemudian disebutkan, al walimah merupakan makanan perkahwinan atau kesemua makanan yang dibuat untuk dijemput (orang ramai) dan selainnya.
3-Secara umumnya, menghadiri kenduri perkahwinan adalah suatu perkara yang diperintahkan.
4-Majoriti para ulama menyatakan bahawa hukum memenuhi jemputan perkahwinan adalah wajib. Sebuah hadis daripada Ibn Umar RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
إِذَا دُعِيَ أَحَدُكُمْ إِلَى الْوَلِيمَةِ فَلْيَأْتِهَا
Maksudnya: Apabila salah seorang kamu dijemput ke majlis perkahwinan (walimah), maka hadirlah ia.
Riwayat Muslim 1053
5-Hukum wajib tersebut diambil daripada perkataan Nabi SAW فَلْيَأْتِهَا yang merupakan kata perintah yang membawa hukum wajib secara asasnya di sisi kaedah fiqah.
6-Mazhab Hanafi dan juga satu pendapat dalam mazhab Syafie dan Maliki mengatakan bahawa hukumnya sunat. Manakala terdapat pendapat lain dalam mazhab Hanbali dan Syafie yang mengatakan ia fardhu kifayah dan memadai jika dihadiri oleh sebahagian daripada masyarakat. Rujuk Al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah (45/235-236).
7-Para ulama bersepakat bahawa sesiapa yang dijemput ke majlis perkahwinan dalam keadaan dia mengetahui bahawa di dalam majlis tersebut terdapat perkara yang haram seperti hidangan arak sedangkan dia tidak mampu memungkirinya, maka gugur kewajipannya menghadiri majlis tersebut. Lihat Hashiyah al-Dusuqi: 2/377, Sharh al-Zurqani: 4/53, al-Hawi al-Kabir: 12/199, Raudhah al-Talibin: 7/334).
Ini berdasarkan firman ALLAH:
قَدْ نَزَّلَ عَلَيْكُمْ فِي الْكِتَابِ أَنْ إِذَا سَمِعْتُمْ آيَاتِ اللَّهِ يُكْفَرُ بِهَا وَيُسْتَهْزَأُ بِهَا فَلَا تَقْعُدُوا مَعَهُمْ حَتَّىٰ يَخُوضُوا فِي حَدِيثٍ غَيْرِهِ
Maksudnya: Dan sungguh ALLAH telah menurunkan kekuatan kepada kamu di dalam Al Quran bahwa apabila kamu mendengar ayat-ayat Allah diingkari dan diperolok-olokkan (oleh orang-orang kafir), maka janganlah kamu duduk beserta mereka, sehingga mereka memasuki pembicaraan yang lain.
Surah Al-Nisa’ (140)
8-Berdasarkan kepada mafhum ayat di atas, perbuatan duduk di dalam sesebuah majlis yang terdapat di dalamnya pengingkaran dan penghinaan kepada ayat-ayat ALLAH adalah ditegah dan dilarang. Ini jelas ditunjukkan oleh frasa بِهَا فَلَا تَقْعُدُوا مَعَهُمْ yang datang dengan ‘La al-Naahiyah’ yang membawa hukum haram.
9-Imam Abu Ja’far al-Thabari Rahimahullah dalam tafsiran beliau ke atas ayat ini berkata:
وفي هذه الآية، الدلالة الواضحة على النهي عن مجالسة أهل الباطل من كل نوع، من المبتدعة والفسَقة، عند خوضهم في باطلهم
Maksudnya: Ayat ini menunjukkan kepada dalalah yang jelas ke atas larangan duduk bermajlis bersama ahli kebatilan dari segenap jenis lapisan. Daripada kalangan ahli bid’ah dan juga golongan yang fasiq, semasa mereka melakukan kebatilan tersebut. Lihat Al-Jaami’ al-Bayan, al-Thabari (9/320).
10-Selain itu, terdapat juga sebuah riwayat yang jelas daripada Nabi SAW tentang larangan duduk di dalam majlis yang dihidangkan padanya arak. Ini berdasarkan sebuah riwayat daripada Ibn Abbas bahawa Rasulullah SAW bersabda:
من كان يؤمنُ باللهِ واليومِ الآخرِ فلا يشربِ الخمرَ من كان يؤمنُ باللهِ واليومِ الآخرِ فلا يجلسْ على مائدةٍ يشربُ عليها الخمرَ
Maksudnya: Sesiapa yang beriman dengan ALLAH dan juga hari akhirat, janganlah dia meminum arak. Dan sesiapa yang beriman dengan ALLAH dan hari akhirat, maka janganlah dia duduk pada hidangan yang diminum padanya arak.
Riwayat al-Haithami (1/283)
Baca juga: Dipaksa pinjam RM40,000 demi majlis kahwin gah, wanita sedih lihat suami tungkus lumus bayar hutang
11-Dalam fatwa yang dikeluarkan oleh Syeikh al-Allamah Jaad al-Haq Ali Jaad al-Haq pada tahun 1979, beliau menyatakan kaitan dengan majlis yang berlangsung yang melibatkan dadah. Katanya: ALLAH memuji hamba-hamba-NYA yang menjauhi majlis-majlis yang melalaikan lagi lagha.
12-Firman ALLAH:
وَالَّذِينَ هُمْ عَنِ اللَّغْوِ مُعْرِضُونَ
Maksudnya: (Ciri orang beriman) adalah mereka yang memalingkan diri dari perkara yang lagha.
Surah al-Mukminun (3)
13-Abu Daud meriwayatkan di dalam sunannya dari Ibn Umar RA tentang katanya:
نَهَى رسُولُ الله صلَّى الله عليه وسَلَّم عَنِ الجُلُوسِ عَلَى مَائِدَةٍ يُشربُ عَلَيهَا الخَمْرُ
Maksudnya: Rasulullah SAW melarang duduk pada hidangan yang diminum arak di dalamnya.
14-Dalam mazhab Hanafi secara jelas menyatakan sesiapa yang dijemput menghadiri majlis perkahwinan sedangkan dia mengetahui terdapat kemaksiatan di dalamnya sebelum ia hadir, maka tidak perlu dihadiri jemputan tersebut. Lihat Hashiyah Ibn ‘Abidin (5/222).
15-Namun terdapat satu pendapat dalam mazhab Syafie kalangan ulama Iraq yang mengharuskan, dengan syarat memungkiri kemungkaran tersebut di dalam hatinya.
16-Keharusan itu dengan alasan kehadiran mereka mungkin akan menyebabkan penganjur majlis merasa malu lalu menghentikan atau mengurangkan kemungkaran yang dilakukan dalam majlis tersebut.
17-Imam al-Hasan al-Basri dan Muhammad bin Ka’ab telah dijemput menghadiri satu majlis perkahwinan. Dalam majlis tersebut mereka terdengar nyanyian. Muhammad bangun untuk meninggalkan majlis namun ditarik oleh al-Hasan sambil berkata: “Duduklah, kemaksiatan mereka tidak menghalang ketaatanmu.”
Sebagai kesimpulan, hukum menghadiri majlis perkahwinan yang terdapat maksiat dan kemungkaran perlulah diperincikan dari dua sudut berikut:
Pertama, bagi masyarakat awam yang mana kehadirannya ke majlis tersebut tidak memberi sebarang kesan dan perubahan kepada acara majlis, maka adalah tidak perlu untuk dia menghadirinya. Bahkan dia tidak wajib hadir ke majlis itu sekiranya mengetahui ada maksiat di dalamnya.
Kedua, bagi tokoh-tokoh ulama seperti para agamawan, sekiranya kehadiran mereka ke majlis tersebut akan menyebabkan pihak penganjur berasa malu dan segan serta boleh memberhentikan acara maksiat atau paling tidak mengurangkannya, maka kehadiran mereka pada majlis sebegitu adalah dibolehkan.
Baca juga: Hadiahkan pengantin barang dapur, sahabat lelaki ini dipuji ‘bagus daripada yang merapu’
MAJLIS KAHWIN ADA PERSEMBAHAN JOGET, NYANYIAN
Pendakwah, Ustaz Azhar Idris berkata Islam bukan agama yang anti kepada hiburan.
“Islam tidak melarang tetapi mengawal bagi mengelakkan ia berlebihan. Oleh sebab itu ada pantang larangnya.
“Bolehkah menyanyi ketika ada majlis kahwin? Jawabnya boleh.
“Ada di dalam kitab hadis, dipukulkan kompang, ada orang menyanyi tetapi mempunyai batasnya,” katanya.
Namun kata Ustaz Azhar, apa yang berlaku pada hari ini ialah persembahan nyanyian tidak lagi menghiburkan, malah seakan-akan konsert atau gig yang haram.
Namun sekiranya nyanyian sekadar menghiburkan majlis seperti persembahan lagu nasyid, lagu ketuhanan dan menzahirkan cinta kepada Islam, maka ia dibenarkan syarak.
Selain itu, Ustaz Azhar menyentuh mengenai kebiasaan karaoke dalam majlis perkahwinan masyarakat kita. Katanya, ia hanya dibolehkan kepada kaum lelaki sahaja.
Kredit foto utama: Pexels
Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, YouTube
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, YouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang