'Baju mama comot kunyit, malulah...’ Wanita Ini kongsi kisah sebak di majlis anugerah sekolah, kehadiran ibu bapa bukti sokongan

No Image Caption
A
A
A

Dah dekat cuti hujung tahun, rata-rata pihak sekolah sibuk mengadakan majlis apresiasi, majlis graduasi atau pun hari anugerah cemerlang bagi meraikan kejayaan pelajar yang terlibat. Setahun sekali pastinya anak-anak rasa teruja apabila diberitahu tentang pencapaian terbaik mereka di sekolah.

Bila dapat surat jemputan, kelam-kabut beri kepada ibu ayah dan bertanya, “Ayah datang kan? Ibu jangan lupa hadir tau” tanpa mengetahui jawapan sebenar dari kedua-duanya. Si ayah mengambil masa dua ke tiga hari untuk memberikan jawapan ‘tidak’ kepada anak kerani terpaksa menghadiri mensyuarat bersama pihak pengurusan.

No Image Caption

Si ibu juga tidak dapat hadir kerana ada tugasan penting di pejabat yang tidak dapat dielakkan. Alangkah kecewa si anak bila mendengar jawapan ibu ayah ini. Tiba hari yang ditunggu-tunggu, hilang keceriaan di wajah anak yang naik ke pentas mengambil hadiah.

Seperti mana perkongsian Raja Nur Zalikha, salah seorang netizen di Facebook, beliau merupakan salah seorang pelajar yang pernah melalui situasi itu pada tahun 2000 dikala umurnya 12 tahun.

“Masa saya darjah enam, saya kena naik ke pentas untuk ambil tujuh hadiah masa hari anugerah kecemerlangan. Awal-awal lagi abah memang tidak dapat hadir kerani ada urusan kerja yang banyak.

“Mama pula sibuk mengurus kantin dan kedai makan. Mama ada berjanji akan datang dengan along untuk menjadi saksi anak bongsu nya naik ke pentas.

“Dah naik ke pentas sampai enam kali, masih tak tampak mama. Hampa? Ya, hampa sangat. Sedih? Semestinya sangat sedih. Tapi saya tetap sembunyikan.

“Sehingga nama saya naik sekali lagi untuk anugerah pelajar contoh. Tiba-tiba pengerusi majlis buat pengumuman menjemut ibu ayah naik ke pentas.

"Saya tercari-cari mama saya. Berkali-kali pengerusi majlis ulang, baru mama saya bangun dengan kakak saya” luahnya kepada pembaca.

No Image Caption

Rupa-rupanya ibu beliau malu untuk naik ke pentas kerana berpakaian tidak formal dengan baju comot terkena serbuk kunyit sebab baru pulang dari kantin.

Perasaan bangga ketika itu sukar digambarkan dengan kata-kata. Ibaratnya kejayaan itu bukanlah untuk dirinya tapi untuk ibu dan ayah.

Bahkan, anugerah tersebut ibarat bukti bahawa anak ibu ayah telah buat yang terbaik sepanjang tahun dan inilah hasilnya. Segala penat lelah ibu ayah amat berbaloi.

No Image Caption

Disebabkan pengalaman yang tak berapa manis ini, beliau yang menyandang jawatan ketua di salah sebuah syarikat swasta tidak suka bertanya banyak dan terus memberi kebenaran jika ada pekerja-pekerja bawahannya yang meminta cuti untuk menghadiri majlis apresiasi anak-anak.

“Bila dah berkahwin dan ada anak sekarang ini, baru saya tahu, betapa sukarnya mama dan abah saya dulu menjawab soalan saya yang mungkin sebenarnya boleh merobek hati anak. Sama-sama kita menjadi ibu ayah yang sentiasa ada bersama mereka. Masa tidak akan berpatah balik.

“Jangan kita lupa, mereka hanya membesar sekali sahaja dan semua yang mereka lalui, tidak akan ada lagi ulangan” ujarnya mengakhiri bicara.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang