Jaga tutur kata, usah label malas, tak tahu malu golongan kibar bendera putih
UMUM mengetahui situasi pada hari ini sedang berjalannya kempen mengibarkan bendera putih dalam kalangan masyarakat tempatan.
Ia merupakan inisiatif membantu menghulurkan bekalan makanan dan keperluan asas lain khususnya buat mereka yang terjejas dek pandemik Covid-19.
Dengan hanya mengibarkan helaian kain ataupun pakaian berwarna putih sebagai simbolik 'bendera putih', bantuan akan disalurkan baik daripada pihak persendirian, jiran tetanga, agensi kerajaan mahupun badan bukan kerajaan.
Pun begitu, disebalik keperitan dilalui masyarakat dinasihatkan supaya tidak memperlekehkan mereka yang terpaksa mengibarkan bendera putih. Berhati-hati tatkala berbicara agar golongan terbabit tidak 'berkecil hati'.
Pakar Kesihatan dan Perubatan, Dr Kamarul Ariffin Nor Sadan turut menyarankan perkara serupa supaya kumpulan tidak terkesan menjaga tutur kata.
Baca juga Kibar Bendera Putih, petanda isi rumah putus bekalan makanan. Hulur bantuan segera
"Tak usah label orang susah ini orang yang malas, orang yang tak mahu tolong diri sendiri, orang yang suka ambil kesempatan atau sebagainya."Memang ada orang yang macam dilabelkan itu, tapi hanya segelintir. Selebihnya, orang yang memang dah gadai seluruh harta benda, jiwa raga dan kudratnya untuk secebis rezeki.
"Kita yang tak berapa terkesan ni, perlu ingat bahawa kemampuan dan keselesaan ini datang daripada mereka yang susah ini juga. Dulu mereka sokong perniagaan kita. Kita jual, mereka beli.
"Mereka kerja kuat untuk beli jualan kita. Duit mereka yang sikit itu, mereka belanja pada perniagaan kita sampai berkepuk-kepuk wang kita dalam simpanan.
"Hari ini, bila keadaan mereka terpaksa menagih bantuan untuk hidup, takkanlah kita nak pandang pada mereka ini sebagai orang-orang malas berusaha," coret beliau menerusi laman sosial Facebook.
Tambah Dr Kamarul Ariffin, kini tiba masanya golongan yang berkemampuan menghulurkan bantuan.
"Inilah masanya untuk imbang semula lebihan yang kita dapat dulu. Inilah masanya untuk kita pulangkan apa yang bukan hak kita. Inilah peluangnya."Lebih-lebih lagi apabila dah disebutkan bahawa 'tidak akan berkurang harta dengan melakukan sedekah'. Jadi apa yang dikhuatirkan? Rebutlah peluang ni untuk beramal.
"Lebihan dalam tangan kita adalah untuk mengisi kekurangan pada tangan orang lain," pesan beliau.
Justeru, bagi yang tidak mampu membantu dengan wang ringgit, doakanlah semoga urusan mereka dipermudahkan.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang