BAGI mereka yang mempunyai masalah rabun malam, korang mungkin juga akan bermasalah untuk memandu pada waktu malam.

Rabun malam merupakan sejenis gangguan penglihatan yang juga dikenali sebagai nyctalopia.

Individu yang mengalami masalah ini mempunyai kesukaran untuk melihat pada waktu malam atau dalam keadaan gelap.

Menurut thediagnosa.com, ianya bukanlah penyakit secara sendiri, tetapi lebih kepada gejala kepada masalah yang lain sebagai contoh masalah rabun jauh yang tidak dirawat.

Masalah ini lebih mudah dikenal pasti apabila individu mengalami kesukaran melihat apabila bergerak dari persekitaran cahaya yang terang kepada persekitaran cahaya yang malap.

Masalah ini juga berlaku ketika memandu pada waktu malam kerana perubahan cahaya lampu jalan dan suasana malam yang gelap menyukarkan penglihatan individu yang mempunyai masalah tersebut.

Jangan memandu jika rabun malam, anda mungkin hidap 7 penyakit ini

Terdapat beberapa keadaan mata atau penyakit yang boleh menyebabkan rabun malam serta kaedah rawatan, antaranya;

1. Rabun jauh

Masalah ini sering berlaku pada individu yang mempunyai rabun jauh. Rabun jauh merupakan apabila penglihatan menjadi kabur apabila melihat objek yang berada pada jarak yang jauh.

Rawatan: Masalah rabun jauh atau juga dikenali sebagai myopia boleh dirawat dengan penggunaan kaca mata atau kanta lekap bagi rabun jauh bagi menambah baik penglihatan pada waktu siang dan malam.

2. Katarak

Katarak merupakan keadaan dimana kanta mata yang jernih menjadi keruh yang boleh disebabkan oleh proses penuaan, kecederaan mata, penyakit-penyakit tertentu atau pengambilan sesetengah jenis ubat.

Rawatan: Katarak boleh dirawat melalui pembedahan katarak. Pembedahan tersebut merupakan prosedur bagi menggantikan kanta yang telah kabur kepada kanta tiruan yang dapat membantu menambah baik penglihatan selepas pembedahan. Pembedahan katarak kebiasaannya dilakukan oleh doktor pakar mata.

3. Retinis pigmentosa

Retinis pigmentosa merupakan penyakit keturunan yang menyebabkan kehilangan medan penglihatan periferi pada kedua-dua mata secara perlahan.

Rawatan: Masalah genetik seperti Retinis Pigmentosa tidak dapat dirawat. Hal ini kerana gen yang bertanggungjawab bagi penghasilan pigmen di retina tidak dapat ditambah baik dengan penggunaan kanta atau secara pembedahan.

4. Kekurangan vitamin A

Masalah kekurangan vitamin A dikatakan menyebabkan sel mata menjadi kering seterusnya menghadkan keupayaan mata bagi mengurus ketumpatan cahaya.

Rawatan: Bagi rabun malam yang berpunca daripada masalah kekurangan vitamin A, rawatannya adalah mengambil vitamin A sebagai makanan tambahan mengikut saranan doktor.

Iklan

Pengambilan diet yang seimbang serta kaya dengan vitamin A juga dapat membantu masalah ini seperti mengambil sayur-sayuran yang mengandungi karoten seperti brokoli, bayam, lobak merah dan labu juga makanan seperti susu dan telur.

Baca juga Cucuk jarum pada tangan sendiri masukkan suplemen, doktor tegaskan ia tindakan tidak normal

5. Glaukoma

Glaukoma merupakan penyakit saraf optik yang disebabkan oleh tekanan dalam mata yang tinggi menyebabkan gangguan pada penglihatan.

Glaukoma yang kronik dan progresif juga dapat mengakibatkan kebutaan kekal.

6. Diabetes Mellitus

Iklan

Masalah Diabetes Mellitus yang tidak terkawal dapat membawa kepada komplikasi kepada mata yang dipanggil retinopati diabetik.

Komplikasi ini menyebabkan kerosakan pada retina seterusnya menyebabkan gangguan penglihatan.

7. Ubat

Ubat–ubatan seperti ubat bagi penyakit glaukoma yang bertindak mengecilkan anak mata.

Sekiranya mengalami masalah ini, langkah berjaga – jaga haruslah diambil kira bagi memastikan keselamatan korang dan juga orang disekeliling.

Elakkan diri daripada memandu pada waktu malam, berjumpalah dengan doktor korang untuk membuat rawatan.