BEBERAPA hari lalu, tular satu kes yang menjadi bualan orang ramai terutamanya di media sosial mengenai isu juadah Puding Buih yang dikatakan menjadi penyebab kepada keracunan makanan.

Isu tersebut berlaku di Terengganu dan hampir 100 orang mangsa terlibat rata-ratanya di Kuala Terengganu dan Marang.

Menerusi perkongsian di Facebook, Dr Rusyainie Ramli menjelaskan apabila dilihat pada resipi Puding Buih, telur yang digunakan adalah telur mentah yang dipukul sehingga menjadi seperti meringue (pencuci mulut) dan kemudiannya dicampur dengan agar-agar cair yang sudah sedikit sejuk.

Kongsinya lagi, telur yang tidak dimasak sempurna mempunyai risiko menyebabkan keracunan makanan kerana ia boleh mengandungi bakteria Salmonella, walaupun keadaan telur secara fizikalnya nampak elok.

“Ada dua cara bagaimana Salmonella boleh berada dalam telur,” tulisnya.

1. Ayam betina itu sendiri dijangkiti dengan Salmonella dan seterusnya merebak melalui kandungan dalam telur yang dihasilkan sebelum kulit terbentuk.

2. Kulit telur mungkin dicemari dengan Salmonella yang terdapat pada najis ayam ketika ia bertelur.

Jadi bagaimana nak elak bakteria Salmonella dalam telur?

1. Masak telur sehingga ia sempurna. Tidak ada yang cair atau separuh masak. Suhu dalam telur yang dimasak sepatutnya paling kurang 71 darjah Celsius.

2. Makanan yang menggunakan telur mentah atau separuh masak sebagai bahannya, seharusnya telur itu telah dipasturkan.

3. Simpan telur dalam peti sejuk dalam suhu 4 darjah Celsius. Pastikan telur itu tidak bercampur dengan makanan lain dalam peti sejuk.

4. Telur yang sudah retak dalam bekas yang dibeli atau disimpan mestilah dibuang. Jangan beli telur pecah yang dijual dalam plastik.

Iklan

5. Makan segera atau simpan dalam peti sejuk telur atau makanan berasaskan telur yang sudah dimasak. Kalau telur itu dah dimasak, dibiarkan pada suhu bilik, ia mesti dimakan dalam masa 2 jam.

6. Telur mesti dibasuh dengan bersih sebelum digunakan.

7. Membasuh tangan dengan air dan sabun setiap kali mengendalikan telur mentah atau telur yang belum dibasuh dan termasuk semua peralatan memasak yang bersentuh dengan telur mentah.

Iklan

“Simptom keracunan makanan disebabkan Salmonella seperti cirit-birit, muntah, demam dan sakit pada bahagian abdomen mangsa.

“Simptom mula terasa dalam masa 6 jam selepas memakan makanan yang dicemari Salmonella dan boleh berlarutan sehingga 4 hingga ke 7 hari.

“Diharapkan peniaga makanan yang menyediakan makanan di rumah agar melengkapkan diri dengan pengetahuan pengendalian makanan bagi meminimakan risiko mencemari makanan jualan kerana makanan yang diisediakan di rumah belum tentu menjamin kebersihan dan keselamatan makanan itu,” tulisnya lagi.