"Kes di Selangor cecah 4,000 sehari bukanlah petanda baik" - asrama doktor pelatih HTAR, bertukar wad sementara
PENINGKATAN kes baharu Covid-19 di negara kita khususnya negeri Selangor semakin terus mencatatkan peningkatan.
Setakat Ahad, Kementerian Kesihatan (KKM) melaporkan sebanyak 9,105 kes baharu Covid-19 dan 91 kematian direkodkan yang mana 4,682 kes adalah di Selangor.
Sehubungan itu, susulan pertambahan jumlah pesakit Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang antara pusat perubatan yang mengalami kapasiti penuh.
Pun begitu, situasi sedemikian tidak mematahkan semangat kakitangan hospital untuk terus berjuang memberikan rawatan demi kesihatan dan kesejahteraan pesakit Covid-19.
Biarpun pada ketika ini pasukan HTAR bertugas dalam keadaan fasiliti yang katil yang tidak mencukupi untuk menempatkan pesakit positif koronavirus.
HTAR dalam satu kenyataan berkata, bagi mengatasi masalah itu pimpinan tertinggi hospital termasukketua jabatan dan unit melaksanakan percaturan berani dengan mengubah fungsi beberapa kawasan menjadi wad sementara.
Tindakan yang mengambil kira semua penilaian risiko itu secara tidak langsung membantu menampung keperluan sementara situasi lonjakan kes di Jabatan Kecemasan dan Trauma HTAR.
Antara kawasan dijadikan tempat rawatan pesakit Covid-19 adalah asrama doktor pelatih dan Kompleks Rawatan Harian. Kedua-dua bahagian tersebut sudah mula menerima pesakit Covid-19 bermula 9 Julai lalu.
Sementara itu, HTAR turut menzahirkan penghargaan kepada semua kakitangan yang membantu menjayakan inisiatif mengubah fungsi kawasan itu sebagai wad sementara.
Katanya, semua kakitangan adalah wira tatkala HTAR sedang berdepan masalah ketiadaan katil untuk merawat pesakit Covid-19.
"Bilangan kes di Selangor mencecah 4,000 sehari bukanlah petanda baik bagi HTAR."Ini disebabkan kes harian yang hadir ke jabatan kecemasan juga turut meningkat dengan mendadak sehingga tiada katil lagi untuk menempatkan pesakit-pesakit.
"Tanpa usaha dan sokongan daripada semua kakitangan HTAR yang sentiasa bertungkus-lumus dan bersedia menghadapi krisi bersama, inisiatif ini tidak dapat direalisasikan," katanya.
Terdahulu, HTAR turut telah menerima kakitangan daripada Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perlis.
Menerusi Facebook Jabatan Kesihatan Negeri Perlis, beberapa foto dimuat naik memaparkan barisan frontliners sebelum bertolak ke Selangor dan Kuala Lumpur.
"Inilah pahlawan-pahlawan dari JKN Perlis yang telah bertolak ke Selangor dan Kuala Lumpur bagi sama-sama berjuang membantu rakan frontliners."Selamat berjuang semua. Rakan-rakan kita memerlukan bantuan. Mereka telah bertolak pada 8 dan 9 Julai yang lepas. Sama-sama doakan urusan mereka dipermudahkan," tulisnya.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang