Masuk IJN sehari sebelum meninggal dunia akibat kesukaran bernafas, pemergian Tun Abdullah satu kehilangan besar
NEGARA berduka atas pemergian bekas Perdana Menteri ke-5, Tun Abdullah Ahmad Badawi yang menghembuskan nafas terakhir pada petang Isnin di Institut Jantung Negara (IJN), pada usia 85 tahun.
Memetik laporan mStar, Allahyarham sebelum itu dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi Jantung (CCU) selepas mengalami kesukaran bernafas pada hari Ahad, namun beliau disahkan meninggal dunia pada jam 7.10 malam semalam di sisi ahli keluarga tersayang menerusi satu kenyataan dari IJN.
"Beliau segera ditempatkan di CCU dan dipantau rapi oleh pasukan pakar jantung kami.
"Walaupun pelbagai usaha dilakukan, namun beliau menghembuskan nafas terakhir dengan tenang," menurut kenyataan tersebut.
Ketua Pegawai Eksekutif IJN, Prof Dr Ezani Md Taib, turut menyifatkan detik menjaga Allahyarham sebagai satu penghormatan besar buat seluruh pasukan.
Berita pemergian beliau sebelum itu dimuat naik oleh menantunya, Khairy Jamaluddin, menerusi laman Instagram Story miliknya.

Tun Abdullah berkahwin dengan Tun Endon Mahmood pada tahun 1965 namun perkahwinan namun cuma bertahan 40 tahun apabila Endon meninggal akibat barah payu dara pada tahun 2005.
Mereka dikurniakan dengan dua cahaya mata iaitu Kamaluddin Abdullah dan Nori Abdullah. Tun Abdullah kemudian berkahwin dengan Tun Jeanne Abdullah pada 9 Jun 2007.
Untuk rekod, Tun Abdullah berkhidmat sebagai Perdana Menteri Malaysia dari tahun 2003 hingga 2009, menggantikan Tun Dr Mahathir Mohamad.
Cukup terkenal dengan gaya kepimpinan yang lembut tetapi tegas, beliau telah membawa pendekatan Islam Hadhari dalam pentadbiran negara.
"Setiap pemimpin hadir dengan legasi dan nilai tersendiri.
"Pemergian Tun Abdullah adalah satu kehilangan besar buat negara.
"Marilah kita semua mendoakan semoga roh beliau dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman. Al-Fatihah." Al-Fatihah.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
