Mudah nak travel naik flight lama, ini cara solat dalam kapal terbang

RAMAI yang suka travel ke luar negara yang tentunya langgar waktu solat bukan?

Lagi-lagi ketika dalam perjalanan yang panjang menggunakan pesawat kerana tidak tahu cara solat dalam kapal terbang dengan betul.

Jadi, ini kami kongsikan tata cara solat fardhu dengan betul ketika dalam pesawat.

Daripada Imran bin Husain, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud; “Sembahyanglah dengan cara berdiri, jika engkau tidak berdaya maka dengan cara duduk, dan jika engkau tidak berdaya (dengan cara duduk) maka dengan cara berbaring (sembahyang merusuk).” (HR Bukhari, hadis sahih).

Meninggal dunia dalam tandas pesawat

1. Bagi kapal terbang yang besar, jika terdapat ruang untuk dirikan solat seperti biasa dan kawasan yang bersesuaian untuk melakukannya, maka pilihlah untuk melaksanakan solat secara berdiri supaya lebih banyak rukun fi’li yang dapat kita lakukan dengan lebih sempurna.

2. Sebaliknya, jika kapal terbang bersaiz kecil dan bilangan penumpang padat serta seseorang itu tidak boleh berdiri bagi menunaikan solat, maka dibolehkan untuknya solat di tempat duduknya sahaja.

Imam al-Nawawi berkata dalam karyanya, Al Majmu’ Syarah Al Muhazzab:

أَمَّا الرَّاكِبُ فِي سَفِينَةٍ فَيَلْزَمُهُ الْإِسْتِقْبَالُ وَ اِتْمَامُ الْأَرْكَانِ سَوَاءٌ كَانَتْ وَاقِفَةً أَوْ سَائِرَةً لِأَنَّهُ لَا مَشَقَّةَ فِيهِ وَهٰذَا مُتَّفَقٌ عَلَيهِ

Maksudnya: “Ada pun orang yang sedang menaiki kapal maka wajib ke atas dirinya menghadap kiblat dan menyempurnakan segala rukun sama ada kapal tersebut berhenti atau sedang berlayar kerana sesungguhnya tiada kesukaran padanya dan ini telah disepakati para ulama.”

Tetapi, terdapat beberapa keadaan yang perlu diraikan. Antaranya;

  • Halakan tubuh badan ke arah kiblat dari awal solat hingga selesai.
  • Laksanakan rukun solat sekadar yang termampu.
  • Segala rukun qauli (bacaan yang wajib) hendaklah dilaksanakan dengan sempurna.
  • Syarat-syarat sah solat hendaklah dilakukan sebaik mungkin.

Seseorang yang mengerjakan solat di atas kapal (bot, kapal terbang dan seumpamanya) hukumnya adalah WAJIB menyempurnakan segala rukun dan syarat-syaratnya seperti solat di darat.

Perlu diingatkan bahawa seseorang itu wajib menyempurnakan segala rukun dan syarat seperti solat di darat.
Maksud menyempurnakan segala rukun dan syaratnya adalah seperti qiyam (berdiri), ruku’, iktidal, sujud dan tahiyat.

Jika tidak dapat melakukan atas sebab kenderaan yang dinaiki terumbang-ambing, maka harus bagi dirinya menyempurnakan solat dalam keadaan duduk sambil menghadap ke arah kiblat dari awal solat hingga salam.

Baca juga Niat, syarat & cara tunai solat jamak qasar bagi musafir lebih dua marhalah, 18 info perlu tahu

ADAKAH BOLEH SOLAT HORMAT WAKTU DALAM KAPAL TERBANG?

Syeikh Hasan bin Ahmad bin Muhammad bin Salim menjelaskan dalam kitab Taqrirat as-Sadidah:

وَمِثْلُ ذٰلِكَ الصَّلَاةُ فِي الطَّائِرَةِ، فَتَجُوزُ مَعَ الصِّحَّةِ صَلَاةَ النَّفْلِ، وَأَمَّا صَلَاةُ الْفَرْضِ إِنْ تَعَيَّنَتْ عَلَيهِ أَثْنَاءُ الرِّحْلَةِ وَكَانَتِ الرِّحْلَةُ طَوِيلَةٌ، بِأَنْ لَمْ يَسْتَطِعِ الصَّلَاةَ قَبْلَ صُعُودِهَا أَوْ إِنْطِلَاقِهَا أَوْ بَعْدَ هُبُوطِهَا فِي الْوَقْتِ، وَلَوْ تَقْدِيمًا أَوْ تَأْخِيرًا، فَفِي هٰذَا الْحَالَةِ يَجِبُ عَلَيهِ أَنْ يُصَلِّيِ لِحُرْمَةِ الْوَقْتِ مَعَ اسْتِقْبَالِ الْقِبْلَةَ وَفِيهَا حَالَتَانِ: 1. إِنْ صُلِّيَ بِإِتْمَامِ الرُّكُوعِ وَالسُّجُودِ: فَفِي وُجُوبِ الْقَضَاءِ عَلَيهِ خِلَافٌ، لِعَدَمِ اسْتِقْرَارِ الطَّائِرَةَ فِي الْأَرْضِ وَالْمُعْتَمَدِ أَنَّ عَلَيهِ الْقَضَاءَ 2 – وَإِنْ صَلَّى بِدُونِ إِتْمَامُ الرُّكُوعِ وَالسُّجُودِ أَوْ بِدُونِ اسْتِقْبَالَ الْقِبْلَةَ مَعَ الْإِتْمَامِ فَيَجِبُ عَلَيهِ الْقَضَاءُ بِلَا خِلَافٌ

Maksudnya: “Seperti hal demikian solat di dalam kapal terbang, melakukannya dibolehkan pada solat sunat. Sedangkan pada solat fardhu, jika dia hanya mampu melakukan di tengah perjalanan kerana perjalanan jauh dan ia tidak mampu melaksanakan solat pada waktunya, sama ada sebelum atau selepas mendarat kapal terbang, meskipun dengan cara jama’ taqdim atau takkhir, maka dalam keadaan demikian wajib baginya untuk solat hormat waktu dengan tetap menghadap ke arah kiblat.”

Iklan

Untuk mengetahui waktu solat ketika berada di dalam kapal terbang, anda boleh bertanya kepada krew kapal atau menunggu pengumuman daripada mereka.

Namun ada juga saranan daripada hadis Rasulullah SAW untuk kita melihat sendiri.

Daripada Abdullah bin Amr RA, Rasulullah SAW bersabda:

وَقْتُ الظُّهْرِ إِذَا زَالَتْ الشَّمْسُ وَكَانَ ظِلُّ الرَّجُلِ كَطُولِهِ مَا لَمْ يَحْضُرْ الْعَصْرُ وَوَقْتُ الْعَصْرِ مَا لَمْ تَصْفَرَّ الشَّمْسُ وَوَقْتُ صَلَاةِ الْمَغْرِبِ مَا لَمْ يَغِبْ الشَّفَقُ وَوَقْتُ صَلَاةِ الْعِشَاءِ إِلَى نِصْفِ اللَّيْلِ الْأَوْسَطِ وَوَقْتُ صَلَاةِ الصُّبْحِ مِنْ طُلُوعِ الْفَجْرِ مَا لَمْ تَطْلُعْ الشَّمْسُ فَإِذَا طَلَعَتْ الشَّمْسُ فَأَمْسِكْ عَنْ الصَّلَاةِ فَإِنَّهَا تَطْلُعُ بَيْنَ قَرْنَيْ شَيْطَانٍ.

Maksudnya: “Waktu solat zuhur adalah jika matahari telah tergelincir dan bayangan sesorang seperti panjangnya selagimana belum tibanya waktu solat Asar. Waktu solat Asar selagimana matahari belum menguning.

Waktu solat maghrib selagimana warna merah (syafaq) belum menghilang. Waktu solat isya` sehingga tengah malam, dan waktu solat Subuh bermula terbitnya fajar selagimana matahari belum terbit, jika matahari terbit, maka tahanlah daripada melakukan solat, kerana ia terbit di antara dua tanduk syaitan.” (HR Muslim, hadis sahih).

Perlu difahami tidak semua kapal terbang ada menyediakan ruang yang besar dan selesa.

Iklan

Jika ada maka kita bersyukur, jika tidak ada ambillah inisitif untuk tetap mendirikan solat walaupun ruang terhad, cukuplah apabila ruang tersebut memadai untuk kita menunaikan solat.

Jika dilihat situasi sekarang, boleh saja jika kita solat dalam keadaan duduk di kerusi. Bukanlah ruang menjadi alasan untuk kita tidak mendirikan solat.

Semoga bermanfaat!

Baca juga Melewatkan solat tiba-tiba haid, perlukah qada? Info ini wanita perlu tahu

Sumber: Ustazah Asma’ Harun

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi!