Pahala lebih besar daripada jihad, rebut keistimewaan 10 hari pertama Zulhijjah

zulhijjah
zulhijjah
A
A
A

Pahala lebih besar daripada jihad, rebut keistimewaan 10 hari pertama Zulhijjah

TIDAK lama lagi kita akan sampai ke bulan Zulhijjah, iaitu bulan terakhir dalam kalendar Islam.

Terdapat beberapa amalan yang sunnah dapat kita lakukan di dalam bulan Zulhijjah yang istimewa itu.

Antara amalan sunnah adalah puasa sunat dari 1 hingga 9 Zulhijjah. Terdapat kelebihan bagi siapa yang berpuasa pada 9 Zulhijjah kerana pada hari tersebut merupakan Hari Arafah di mana seluruh umat Islam yang menunaikan haji sedang berkumpul di Padang Arafah dan terdapat waktu mustajab untuk berdoa pada hari tersebut.

Seterusnya melaksanakan ibadah Korban pada Hari Raya Aidiladha atau pada hari Tasyriq.

Bagi sesiapa yang berkemampuan, hendaklah mereka merebut peluang ini kerana ganjarannya amatlah besar disisi ALLAH SWT.

Selain itu, kita digalakkan mengagungkan kebesaran ALLAH dengan berzikir melalui bertahmid, bertasbih, bertahlil dan bertakbir.

Keistimewaan 10 hari pertama Zulhijjah;

1. Pahala yang lebih besar daripada jihad

Tahukah anda bahawa 10 hari pertama dari bulan Zulhijjah ini dapat memberikan pahala yang lebih besar dari Jihad?

Sabda Rasulullah yang bermaksud: "Tiada amalan yang dilakukan pada hari lain yang lebih baik daripada amalan pada 10 hari ini. Para sahabat bertanya: Walaupun Jihad? Baginda menjawab: Tidak juga Jihad, kecuali jika seseorang keluar dengan nyawa dan hartanya dan tidak kembali lagi."(HR al-Bukhari)

Baca juga Kejar pahala! 4 amalan terbaik dilakukan sempena Hari Arafah 9 Julai

Kredit foto: Shams Alam Ansari

Mengapa 10 hari pertama Zulhijjah ini lebih baik dari Jihad?

Menurut al-Imam Ibn Hajar;

والذي يظهر أن السبب في امتياز عشر ذي الحجة لمكان اجتماع أمهات العبادة فيه ، وهي الصلاة والصيام والصدقة والحج ، ولا يتأتى ذلك في غيره

"Secara zahirnya, sebab yang menjadikan 10 hari pertama Zulhijjah ini lebih utama dari yang lain kerana 10 hari ini menghimpunkan semua amalan utama di dalam Islam iaitu solat, puasa, sedeqah dan haji. Himpunan amalan-amalan ini tidak berlaku dalam hari-hari yang lain. (Fath al-Bari)

2. Hari yang paling baik dalam setahun

10 hari pertama Zulhijjah dianggap sebagai hari yang paling baik dalam setahun.

Sabda Rasulullah yang bermaksud; "Sebaik-baik hari dalam dunia ini adalah 10 hari ini."

Sehingga atas dasar itu al-Imam Ibn Taimiyyah menganggap 10 hari pertama ini lebih utama dari 10 hari terakhir dari bulan Ramadan.

Kata beliau; "Sepuluh hari awal Zulhijjah lebih afdal daripada sepuluh hari akhir Ramadhan, dan malam sepuluh akhir Ramadan, lebih afdal daripada malam sepuluh awal Zulhijjah. (Majmu’ al-Fatawa, jilid 25, m/s 287)

3. Hari yang dicintai ALLAH

Sabda Rasulullah yang bermaksud; "Tidak ada hari yang lebih besar di sisi Allah dan tidak ada hari yang lebih disayangi oleh ALLAH supaya kita beramal di dalamnya melainkan pada 10 hari ini. Maka perbanyakkanlah bertahlil, bertakbir dan bertahmid" (HR al-Tabrani)

Antara amalan bulan Zulhijjah yang disarankan untuk kita melakukan amal soleh sebanyaknya, seperti;

1. Anjuran untuk tidak memotong, mencabut dan mencukur rambut, bulu mahupun kuku ke atas orang yang melakukan ibadah korban.

Sunat untuk tidak memotong, mencabut dan mencukur rambut, bulu mahupun kuku bagi orang yang melakukan ibadah korban bermula daripada 1 Zulhijjah sehingga haiwan korbannya disembelih.

Anjuran untuk tidak memotong rambut, bulu dan kuku ini sepertimana pendapat al-Imam al-Syafi’e beserta ashabnya yang lain dan ini juga adalah pendapat muktamad di dalam mazhab al-Syafi’e.

2. Berpuasa pada hari Arafah

Hari Arafah iaitu pada 9 Zulhijjah adalah bersempena amalan berwukuf di Padang Arafah yang merupakan salah satu daripada rukun fardhu bagi umat Islam yang menunaikan ibadah haji.

Bagi umat Islam yang tidak mengerjakan ibadah haji, dianjurkan untuk berpuasa, berzikir dan melakukan amalan sunat pada hari tersebut.

Baca juga Ambil peluang mustajab hari Arafah, ini checklist 10 doa terbaik kaum Hawa amalkan

Kredi foto: pexels

3. Memperbanyakkan berdoa

Kelebihan bulan Zulhijjah juga terletak pada doa yang diucapkan, terutamanya pada hari Arafah (9 Zulhijjah).

Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: "Sebaik-baik doa ialah doa yang dibaca pada hari Arafah dan sebaik-baik zikir yang aku ucapkan dan juga diucapkan para nabi sebelumku ialah, tidak ada yang berhak disembah selain ALLAH yang satu, tidak ada sekutu bagi-Nya, milik-Nya kekuasaan dan milik-Nya segala pujian, dan Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu.” (HR al-Tirmizi, hadis Hasan)

4. Menghidupkan suasana hari raya dengan takbir

Al-Bukhari meriwayatkan bahawa Ibnu Umar dan Abu Hurairah r.a. keluar ke pasar pada 10 hari awal Zulhijjah, lalu mereka bertakbir sehingga menyebabkan orang ramai turut bertakbir bersama mereka.

‘Affan turut menceritakan peristiwa ini. Beliau berkata; "Abu Hurairah dan Ibnu Umar datang ke pasar pada 10 hari terawal bulan Zuhijjah, kemudian meraka bertakbir dan orang ramai turut bertakbir bersama mereka. Mereka berdua tidak datang melainkan untuk bertakbir.”

Terdapat dua jenis takbir pada hari raya;

i. Takbir Mursal atau Muthlaq

Bermula sebaik sahaja terbenam matahari pada malam hari raya (sama ada Hari Raya Aidilfitri atau Hari Raya Aidiladha), dan ia berterusan hinggalah apabila imam mula mengangkat takbir bagi menunaikan Solat Hari Raya.

ii. Takbir Muqayyad

Bermula bermula dari solat Subuh Hari ‘Arafah (9 Zulhijjah) hinggalah selepas solat Asar pada Hari Tasyrik terakhir (13 Zulhijjah).

Baca juga Bersedekah, jaga silaturahim antara 10 amalan digalakkan, pada 10 hari pertama Zulhijjah

Lakukan kebaikan LAZIMKANLAH diri untuk mengingati ALLAH SWT dengan cara berzikir.

5. Memperbanyakkan berzikir

Antara cara merebut kelebihan bulan Zulhijjah juga adalah dengan memperbanyakkan zikir.

6. Memperbanyakkan sedekah

Daripada Abu Umamah al-Bahili berkata, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud; Orang-orang yang melakukan kebaikan akan memelihara diri mereka dari nasib buruk. Sedekah secara rahsia menghapuskan kemurkaan Tuhan dan silaturahim pula menambahkan umur.” [HR al-Thabarani]

7. Mentadabbur al-Quran

Tadabbur bermaksud menghayati atau merenung kisah-kisah di dalam al-Quran sewaktu membacanya.

8. Melakukan ibadah korban bagi yang mampu

9. Makan daging korban dan berikan sedekah kepada asnaf serta fakir miskin.

10. Larangan berpuasa pada hari-hari Tasyrik

Hari-hari Tasyrik iaitu 11, 12 dan 13 Zulhijjah merupakan amalan melontar jamrah di Mina bagi yang mengerjakan ibadah haji. Selain itu, umat Islam yang tidak mengerjakan ibadah haji, digalakkan untuk melakukan ibadah korban pada tarikh tersebut.

Tarikh-tarikh penting puasa Zulhijjah 2023

SUNNAH PUASA 1-9 ZULHIJJAH;

  • 1 Zulhijjah = Selasa, 20.06.2023
  • 2 Zulhijjah = Rabu, 21.06.2023
  • 3 Zulhijjah = Khamis, 22.06.2023
  • 4 Zulhijjah = Jumaat, 23.06.2023
  • 5 Zulhijjah = Sabtu, 24.06.2023
  • 6 Zulhijjah = Ahad, 25.06.2023
  • 7 Zulhijjah = Isnin, 26.06.2023
  • 8 Zulhijjah = Selasa, 27.06.2023
  • 9 Zulhijjah = Rabu, 28.06.2023

HARAM PUASA :

  • Hari Raya Aidiladha: 10 Zulhijjah = Khamis, 29/06/2023
  • Hari Tasyrik: 11 Zulhijjah = Jumaat, 30/06/2021
  • Hari Tasyrik: 12 Zulhijjah = Sabtu, 1/07/2023
  • Hari Tasyrik: 13 Zulhijjah = Ahad, 2/07/2023

Kita juga dianjurkan untuk menikmati makanan dan minuman sebagai bentuk syukur atas nikmat ALLAH SWT. Rasulullah SAW menyebutkan Hari Tasyrik adalah hari untuk makan dan minum.

Semoga kita dapat sama-sama memanfaatkan 10 hari terawal Zulhijjah ini dengan amalan-amalan yang bermanfaat seperti mana yang dianjurkan oleh Nabi SAW.

Sumber: Laman Web Rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, ecentral.my

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi!

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca