Pasang penapis air di rumah, satu kehendak atau keperluan? Ini perkongsian ahli kimia mengenainya
KEBANYAKAN isi rumah di negara ini pasti memiliki penapis air di rumah.
Namun demikian, apakah ia satu kehendak semata-mata atau keperluan?
Adakah air di Malaysia selamat dan mempunyai sistem penapisan dan perawatan yang baik?
Menjawab persoalan itu, SinarPlus berkongsi pandangan daripada Pensyarah Kanan, Jabatan Kimia Fakulti Sains Universiti Teknologi Malaysia, Dr Aemi Syazwani Abdul Keyon mengenainya.
Ujarnya semasa sesi webinar Stand Up Science yang dianjur oleh Quest International University baru-baru ini, mereka dimaklumkan bahawa air di Malaysia telah melalui pelbagai proses tapisan, rawatan dan selamat diminum.
"Namun, air yang sampai di rumah kita telah melalui pelbagai jenis paip dan laluan yang tidak diketahui keadaannya.
"Mungkin baru, mungkin lama, mungkin berkarat dan sebagainya," tambah beliau.
Jadi, ulasnya, air yang bersih dan dirawat tadi, mungkin tidak sebersih dan selamat diminum jika tidak diperiksa keadaannya setelah ia tiba di rumah.
Sebenarnya, tutur Dr Aemi, penapis air yang ringkas sudah memadai bagi merawat air sebelum digunakan dalam masakan dan sebagai air minuman.
"Ini adalah keperluan terutama sekali bagi yang tinggal di kawasan yang mempunyai sistem paip yang telah berusia," katanya.
Pensyarah berkenaan turut berkongsi jenis-jenis sistem penapis air biasa didapati. Ia termasuklah:
i) Penapis air karbon aktif.
- Penapis jenis ini mampu menghilangkan bau dan sisa klorin. Namun, air tersebut masih perlu dididihkan bagi membunuh bakteria sebelum diminium.
ii) Sistem penukaran ion (ion exchange).
- Sistem yang sering digunakan ke atas hard water disebabkan kehadiran kalsium dan magnesium.
- Ini kerana penggunaan hard water mampu merosakkan sesetengah peralatan seperti mesin basuh.
iii) Osmosis berbalik dengan karbon.
- Penapis jenis ini pula mampu menghilangkan bau, warna dan rasa yang kurang enak dan mampu menapis hampir semua bahan tercemar pada air.
Jadi, bagaimana pula penapis air tergolong dalam kategori kehendak?
Menjawab persoalan itu, beritahu Dr Aemi, penapis air seperti itu mempunyai pelbagai fungsi yang dapat memudahkan kehidupan harian.
"Contohnya, penapis air yang boleh melaraskan suhu air, menghasilkan ais dan sebagainya.
Baca juga: 5 tabiat rosakkan fungsi otak, no 2 paling ramai lakukan
"Jadi, terpulang kepada individu itu sendiri. Penapis air mana pun yang menjadi pilihan anda.
"Pastikan ia diselenggara dan ditukar penapis (filter) sekurang-kurangnya dua kali setahun bagi menjamin kualiti air yang diminum. Bagi saya, tidak salah berbelanja lebih sedikit jika inginkan kemudahan dan tidak pula salah jika inginkan penapis asas kegunaan harian," ujarnya.
Oleh itu, semuanya terletak dalam tangan masing-masing.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang