SUSULAN Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Bersyarat dan PKP Pemulihan masih dilaksanakan, Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) mengambil keputusan melanjutkan pengecualian lesen memandu (LM) dan Lesen Kenderaan Motor (LKM).

Pengecualian tersebut hanya bagi pemilik kenderaan persendirian yang dilanjutkan mulai 1 April hingga 31 Mei ini.

Namun, pemandu perlu memastikan kenderaan masing-masing memiliki perlindungan insurans yang sah dan menunjukkan salinan sijil perlindungan (e-cover note insurans) kepada anggota penguatkuasa trafik sekiranya diminta.

Perkara tersebut dimaklumkan menerusi satu kenyataan oleh Menteri Pengangkutan Malaysia, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

Menurut kenyataan itu, jika LM dan LKM telah tamat tempoh antara tarikh 1 Februari sehingga 31 Mac 2021, ia perlulah diperbaharui dalam tempoh 60 hari bermula 1 April sehingga 31 Mei 2021.

“Individu yang LM dan LKM mereka tamat tempoh pada mana-mana tarikh antara 1 April sehingga 31 Mei 2021 pula hendaklah memperbaharui LM dan LKM masing-masing dalam tempoh 60 hari bermula 1 Jun sehingga 31 Julai 2021.

“Pengecualian ini diperkenalkan pada peringkat awal pada Mac 2020 lalu, bertujuan mengelakkan kesesakan di tempat awam serta memastikan usaha kerajaan memutuskan rantaian jangkitan wabak Covid-19 dapat berjalan dengan baik.

“Justeru itu, tempoh sehingga 60 hari diberikan agar orang ramai mempunyai lebih banyak masa dan ruang serta kelonggaran sebagaimana yang diperlukan,” katanya.

Pengecualian perbaharui lesen memandu dilanjutkan mulai 1 April hingga 31 Mei

Menurutnya lagi, sekiranya orang ramai gagal melakukannya, ia akan menjadi satu kesalahan dan tindakan yang berkaitan boleh dikenakan.

Iklan

Baca juga Mohon sekarang! Bantuan modal perniagaan MAIWP 2021

Beliau berkata pengecualian itu dibuat bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dalam usaha mengurangkan kesesakan di tempat awam.

Iklan

Wee bagaimanapun berkata pengecualian itu tidak diberikan kepada pemilik kenderaan perdagangan dan pemegang Lesen Vokasional iaitu GDL dan PSV kerana perkhidmatan pembaharuan berkaitan mereka dibenarkan beroperasi sebagai perkhidmatan perlu sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Oleh itu orang ramai bolehlah memperbaharui LM atau LKM dalam tempoh yang ditetapkan dan jangan lupa sentiasa patuh SOP yang ditetapkan bagi memutuskan rantaian Covid-19.