Ramai jatuh miskin selepas bersara?

Ramai jatuh miskin selepas bersara?
February 24, 2021
Oleh webadmin

KAJIAN pakar kewangan menunjukkan bahawa ramai dalam kalangan rakyat Malaysia tidak mempunyai wang simpanan walaupun untuk jangka masa pendek.

Rakyat Malaysia dikatakan tidak menabung, malah ramai yang mempunyai kurang daripada RM1,000 dalam simpanan.


Walaupun ramai yang menyimpan sebaik menerima gaji bulanan tetapi biasanya wang berkenaan akhirnya dihabiskan sebelum tiba hujung bulan.

Inilah realiti yang sedang berlaku dan dialami ramai orang pada ketika ini. Apatah lagi dalam keadaan sukar dan genting tatkala kita masih berdepan dengan pandemik Covid-19 yang belum berkesudahan.

Demi masa depan

Malaysia sedang menuju ke arah ‘aging nation’ akibat peningkatan jangka hayat serta kadar kesuburan yang menurun.

Iklan

Oleh itu, sumber kewangan untuk golongan tua serta mengurangkan perbelanjaan yang diperlukan untuk penjagaan kesihatan bakal menjadi cabaran utama pada masa akan datang.

Petikan dari The State of Household Report II, Institut Kajian Khazanah membuktikan setiap orang perlu terus komited membuat simpanan sebagai jaminan masa depan terutama saat ketika menuju persaraan kelak.

Iklan

Ini penting kerana terdapat pandangan bahawa jangka hayat rakyat Malaysia kini meningkat sehingga 75 tahun dan memerlukan simpanan yang tinggi selepas bersara bagi meneruskan kehidupan.

Malah, perbelanjaan yang diperlukan dalam tempoh selepas persaraan dikatakan melebihi RM240,000 bagi meneruskan kelangsungan kehidupan.

Sebelum ini, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pernah mendedahkan bahawa terdapat 32 peratus pencarum Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP) dikenal pasti mempunyai RM5,000 dan ke bawah dalam Akaun 1 mereka.

Beliau turut memaklumkan, 10 peratus pencarum pula mempunyai antara RM5,000 hingga RM10,000 dalam Akaun 1 mereka. Selain itu, data juga menunjukkan 42 peratus pencarum mempunyai kurang daripada RM10,000 dalam Akaun 1 mereka.

Keadaan ini memberi gambaran secara tidak langsung bahawa rakyat atau pencarum ini dilihat masih tidak bersedia dengan simpanan persaraan mereka.

Dalam kata lain, kesedaran orang ramai terhadap perkara ini masih rendah dan simpanan persaraan mereka juga ‘masih terlalu jauh’ untuk memberi jaminan kewangan yang kukuh selepas bersara.

Baca juga Kesan sampingan suntikan Vaksin Covid-19, ini apa yang perlu kita buat

Terus menyimpan

Penganalisis ekonomi, Datuk Dr Madeline Berma berkata, amat penting untuk orang ramai membuat caruman dan terus menabung bagi menjamin kesejahteraan masa depan mereka.

Beliau berkata, ini kerana ramai yang jatuh miskin selepas bersara disebabkan tidak membuat persediaan simpanan persaraan secukupnya.

“Wang saraan tidak cukup kerana mereka hanya bergantung kepada satu sumber simpanan sahaja. Golongan pekerja pula hanya bergantung kepada caruman KWSP untuk menampung hidup selepas persaraan.

“Ada yang tidak mempunyai simpanan alternatif untuk kegunaan hari tua. Malah, pesara terdedah kepada risiko pasca bersara, seperti kos tidak dirancang (sakit tenat), penurunan pendapatan dan hilang peluang mendapat pendapatan sampingan,” katanya kepada Sinar Harian.

Ramai jatuh miskin selepas bersara?Tambah Madeline, faktor lain yang menyebabkan pesara boleh jatuh miskin adalah disebabkan jumlah caruman kecil kerana tidak berlaku kenaikan gaji mendadak sepanjang bekerja.

Ia juga disebabkan pengeluaran di penghujung tempoh kerja, kelewatan mencarum disebabkan lewat dapat kerja tetap, berhenti mencarum separuh jalan kerana berhenti bekerja tetap, menjadi suri rumah, meneruskan pendidikan dan pelbagai faktor lagi.

“Kos kehidupan yang semakin meningkat dan kurang peluang selepas bersara untuk mencari peluang menambah pendapatan juga boleh menjadi punca.

“Kos kesihatan juga semakin tinggi dan rata-rata pesara menggunakan sebahagian besar simpanan mereka untuk keperluan anak-nak dan cucu seperti membeli rumah, kereta atau untuk pendidikan,” katanya.

Justeru, beliau menggalakkan pekerja-pekerja supaya meneruskan caruman dan membuat tabungan secara konsisten termasuk membuat simpanan tambahan menerusi sumbangan ahli keluarga.

“Difahamkan, pencarum boleh menambahkan caruman melebihi nilai mandatori yang disyaratkan iaitu 11 peratus.

“Saya juga mencadangkan orang ramai meningkatkan simpanan mereka dengan membuat pelaburan melalui Skim Pelaburan Ahli.

“Melalui skim ini, ahli yang mempunyai simpanan secukupnya boleh memindahkan sebahagian daripada dana dalam Akaun 1 untuk dilaburkan melalui institusi-institusi pengurusan dana (IPD)yang dilantik,” katanya.

Iklan