SEJAK pagi tadi, ramai pengguna media sosial memuat naik foto keadaan sesak di sebuah stesen kereta api.

Orang ramai mendakwa masing-masing mengalami kelewatan untuk ke tempat kerja.

Jangan lupa follow Sinarplus di Instagram! 

Menurut Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail), ratusan pengguna MRT Laluan Kajang terpaksa menunggu lebih lama untuk menggunakan pengangkutan tersebut, selepas sebuah tren menghadapi masalah teknikal di Stesen MRT Phileo Damansara.

Rapid Rail dalam kenyataan memaklumkan kejadian berpunca daripada masalah teknikal yang dialami sebuah tren ketika menghampiri stesen terbabit.

Berikutan itu, pihak operasi telah mengaktifkan pelan servis alternatif dengan menggunakan satu landasan antara Stesen Phileo Damansara dengan Stesen Semantan.

Iklan

Kempen elak berbual dalam MRT, Singapura longgarkan sekatan Covid-19

“Pengguna dari arah Kwasa Sentral perlu turun dan mendapatkan tren perantara di Stesen Phileo Damansara ke Stesen Semantan dan seterusnya meneruskan perjalanan seperti biasa.

“Sebaliknya, pengguna dari arah Kajang perlu turun dan mendapatkan tren perantara di Stesen Semantan ke Stesen Phileo Damansara.

“Situasi ini menyebabkan pergerakan tren menjadi lebih perlahan dan berhenti lebih lama di platform,” kata kenyataan itu.

Baca juga Bukan beri ‘perlindungan’, ini kejadian sebenar video tular lori balak diiringi JPJ

Menurut Rapid Rail, kerja-kerja mengenal pasti masalah giat dijalankan oleh pasukan teknikal selain memastikan pengguna dapat meneruskan perjalanan ke tempat kerja dengan selamat.

Iklan

Rapid Rail juga memohon maaf atas kesulitan dialami pengguna akibat kelewatan jadual perjalanan laluan tersebut dan memaklumkan pelan servis alternatif akan terus diaktifkan sehingga perkhidmatan kembali normal.

Rapid Rail turut meminta penumpang untuk mengikuti perkembangan terkini perkhidmatan MRT menerusi platform media sosial Rapid KL bagi mendapatkan maklumat terkini.