Ramai pesakit masuk hospital demam panas, ini pesan doktor untuk ibu ayah bila anak sakit

“PERASAN tak makin ramai pesakit kita yang masuk wad disebabkan sawan panas?”

Itulah perbualan Pegawai Perubatan Pediatrik, Hospital Sultanah Fatimah, Dr Redza Zainol bersama rakannya di hospital.

Kongsinya di Twitter miliknya, semua pesakit yang dimasukkan ke hospital mengalami demam sehingga suhu setinggi 40°C.

Rata-rata pesakit terdiri daripada kanak-kanak disahkan positif Influenza A dan B.

“Dari Influenza, anak-anak dapat demam tinggi. Dari demam tu, ada yang jadi sawan pula. Dah jatuh, ditimpa tangga pula.

“Pesakit lain tak dibenarkan bercampur dengan kanak-kanak yang positif Influenza kerana risau makin merebak,” ciapnya.

Justeru ini 12 nasihat Dr Redza buat ibu ayah;

1. Influenza boleh berlaku pada semua golongan. Kanak-kanak, orang dewasa dan warga emas semua boleh dijangkiti virus Influenza. Maknanya penjaga kepada kanak-kanak yang positif Influenza pun boleh sama dijangkiti.

2. Influenza ni ialah jangkitan yang berlaku sepanjang tahun. Cumanya semasa cuti sekolah baru ni, kes Influenza meningkat atas sebab ramai yang keluar bercuti dan berjalan.

3. Ada empat jenis Influenza iaitu Influenza A, B, C dan D. Yang paling kerap menjangkiti kanak-kanak ialah Influenza A dan B.

Baca juga Kanak-kanak boleh hidap tumor otak atau telinga jika sering bermain telefon. Ini implikasi mak ayah kena tahu

Kredit foto: Freepik

4. Kalau pekerja dapat MC atas sebab sakit Influenza, duduklah di rumah. Asingkan diri. Kita nak awak sembuh dan tak sebarkan pada orang lain.

5. Kalau anak dapat MC atas sebab jangkitan Influenza, biarlah anak di rumah. Kalau tetap dihantar ke taska dan sekolah, anak tak faham konsep mengasingkan diri satu meter jauh dari kawan- kawan.

6. Adab batuk dan bersin. Tutup mulut dan hidung guna sapu tangan dan tisu. Buang tisu ke dalam tong sampah selepas habis digunakan. Kalau terpaksa guna tangan semasa batuk dan bersin, cuci tangan tu.

7. Kalau dapat ubat Tamiflu, habiskan ubat ni selama lima hari. Ada pesakit yang tak dapat ubat Tamiflu ni.

Baca juga Tidur sekatil, bayi bawah 12 bulan boleh mati mengejut, doktor kongsi 8 info mak-mak perlu tahu

Iklan

8. Cara virus Influenza merebak ialah melalui titisan salur pernafasan. Maksudnya, anak-anak yang bersin, batuk dan bercakap boleh pindahkan virus ke sekeliling.

9. Di rumah, cuba asingkan diri anak dan tak berkongsi tuala, pakaian, tempat tidur dengan ahli keluarga lain yang sihat.

10. Golongan berisiko tinggi ialah kanak-kanak bawah lima tahun, wanita hamil dan warga emas.

11. Bila balik dari tempat kerja, cuci tangan bersih-bersih dan tukar baju sebelum salam dan peluk anak di rumah.

12. Pakai face mask jika pergi ke klinik atau hospital.

Kanak-kanak tak pandai nak luahkan apa yang dirasa. Yang mereka tahu, cuma menangis dan merengek sebab mereka pun tak faham apa yang berlaku pada diri mereka.

Iklan

Kitalah ibu bapa yang mereka ada sebagai pelindung. Percaya pada gerak hati sendiri dan bawa mereka ke klinik atau hospital bila perlu.

Semoga bermanfaat!

Sumber: Twitter Dr Redza Zainol

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah yang menginspirasikan.