SEJAK akhir-akhir ini, terlalu banyak perihal tatatertib dan adab sering menjadi bualan ramai.

Ia termasuklah dari segi permohonan merentas negeri.

Lebih mengejutkan apabila ada individu yang tanpa rasa bersalah mengaku diri disahkan positif Covid-19 gara-gara tidak mahu bekerja.

Semalam, tular satu insiden yang melibatkan seorang remaja perempuan berusia 19 tahun yang mendakwa dirinya mempunyai wabak berkenaan sehingga mencetuskan kebimbangan orang ramai.

Bagaimanapun, remaja itu kini sudah ditahan oleh pihak polis Johor bagi membantu siasatan kerana memalsukan laporan keputusan ujian calitan Covid-19.

Penahanan itu dilakukan selepas majikan suspek menerima mesej melalui aplikasi Whatsapp daripada pekerjanya itu.

Mesej itu antara lain memaklumkan bahawa dirinya telah disahkan positif Covid-19. Sekeping foto dalam bentuk surat turut disertakan.

Disebabkan rekod pemeriksaan itu, majikan restoran tersebut telah mengambil keputusan untuk menutup restorannya dan pergi ke klinik bersama 12 orang lagi pekerja yang lain bagi membuat ujian calitan Covid-19.

Hasilnya, tiada seorang pun yang menunjukkan keputusan positif termasuklah majikannya.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, hasil siasatan mendapati remaja itu mengaku telah menipu majikannya kerana tidak mahu datang kerja.

“Ia kerana beliau merasakan dirinya tidak sesuai bekerja sebagai seorang pelayan restoran,” beritahunya dalam satu kenyataan media.

Kes disiasat di bawah seksyen 420/468 Kanun Keseksaan atas kesalahan memalsukan laporan pemeriksaan ujian calitan Covid-19 dan pihak polis juga telah memohon perintah reman ke atas suspek.

Iklan

REMAJA DAKWA ADA COVID-19 KERANA TAKNAK KERJA

Posted by Polis Daerah Iskandar Puteri on Wednesday, April 7, 2021

Kisah ini membuatkan bukan sahaja SinarPlus, malah semua rakyat Malaysia terkedu kan?

Sanggup remaja yang baru terjah ke alam pekerjaan menipu begitu sekali.

Tindakannya itu memang menyusahkan kerana orang lain turut terpalit.

Iklan

Virus Covid-19 bukan boleh bawa main-main, sudah berjuta nyawa melayang akibat pandemik ini di seluruh dunia.

Artikel berkaitan: ‘Lulus dahulu baru isi borang’, polis buka kertas siasatan

Semoga insiden ini memberi pengajaran dan peringaran kepada orang ramai di luar sana.